Thursday, July 17, 2008

DEMONSTRASI ANJURAN PEMBANGKANG AMALAN BARAT

SAYA ingin mengulas mengenai demonstrasi yang kerap menjadi agenda pihak tertentu di negara ini bagi mendapatkan sokongan rakyat. Harus diingat, demonstrasi menyebabkan polis terpaksa melakukan sekatan dan akhirnya memberikan kesan teruk kepada lalu lintas.

Ketenteraman awam juga terganggu dan perhimpunan ini merugikan masa dan tenaga. Jika inilah caranya pembangkang mendapatkan sokongan rakyat, maka cubalah kita fikirkan apakah kesannya jika mereka memerintah kelak. Pada ketika itu adakah mereka juga suka jika rakyat melakukan bantahan di jalanan.

Jika kerajaan membiarkan keadaan ini, negara akan terlalu bebas hingga pentadbiran dan keselamatan awam akan menjadi taruhan. Apakah kita ingin kembali kepada cara jahiliah dengan mengadakan bantahan di jalanan? Apa lebih mendukacitakan apabila ada parti yang kononnya memperjuangkan Islam menghalalkan demonstrasi hanya kerana inginkan kerusi dan sokongan rakyat.



Pelbagai sebab yang dicari untuk mereka menghalalkan cara demonstrasi sebagai satu cara memprotes kerajaan yang memerintah. Paling mengecewakan dan menyedihkan apabila ada ulama dan mufti pun tidak tahu menghargai nikmat dan bersyukur dengan keamanan yang kita kecapi. Apakah mereka sudah tidak tahu kewajipan yang Allah syariatkan untuk mempertahankan pemerintah yang sah.

Relakan mereka untuk terus menyokong usaha demonstrasi yang dianjurkan parti pembangkang bertopengkan agama dan hak kebebasan rakyat?

Adakah kita sebagai rakyat menganggap usaha demonstrasi sebagai satu cara yang sewajarnya di lakukan di sebuah negara Islam seperti kita?

Yang jelas amalan ini adalah cara Barat yang diguna pakai oleh parti pembangkang yang berkepentingan dan mahu menghancurkan kesatuan yang kita bina selama ini.

PEJUANG BANGSA,
Kedah Darul Aman.
(surat pembaca Berita Harian)
17 Julai 2008

No comments: