Monday, July 21, 2008

MUZAKARAH UNTUK AGAMA DAN BANGSA

Oleh HAMDEN RAMLI dan NORLIZA ABDUL RAHMAN

PUTRAJAYA 20 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan bahawa muzakarah bersama Pas telah diadakan sebanyak tiga kali bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.

Beliau berkata, UMNO ikhlas untuk menjayakan pertemuan dengan Pas demi perpaduan Melayu dan kepentingan masa depan umat Islam.

Katanya, pertemuan dengan pemimpin peringkat tinggi itu tidak disertai oleh Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

‘‘Saya dah ada pertemuan sebenarnya dan pertemuan ini pada peringkat awal. Tak perlulah saya bagi maklumat yang lain, nanti saudara buat spekulasi yang bukan-bukan.

‘‘Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah. Yang lain tak boleh tanya... (pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan,” katanya seolah-olah membayangkan muzakarah itu melibatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ditanya adakah sebarang syarat diletakkan dalam pertemuan itu, beliau berkata: “Tak ada (syarat). Buat apa kita meletakkan syarat, menyusahkan sahaja. Kita bincang dengan ikhlas apa jua pandangan yang difikirkan wajar untuk kita bincang.”

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan perisytiharan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan sambutan Hari Koperasi Negara 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Abdullah diminta mengulas mengenai muzakarah bagi membincangkan soal perpaduan Melayu dan umat Islam seperti dicadangkan oleh Abdul Hadi menerusi satu wawancara bersama Harakah, lidah rasmi Pas, minggu lalu.

Mengenai saranan Nik Abdul Aziz supaya muzakarah itu dilakukan menerusi pihak ketiga, beliau berkata: ‘‘Biarlah pada peringkat ini, ia dilakukan antara kita sahaja.

Kita belum lagi memikirkan sama ada orang yang ketiga itu perlu ada, atau tidak.’’

Semalam, ketika mengadakan pertemuan dengan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Abdullah menyatakan kesediaan untuk memulakan muzakarah itu secepat mungkin.

Ditanya sama ada muzakarah itu boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan parti komponen lain Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata, hal-hal berkaitan Islam amat penting untuk dibincangkan.

‘‘Pada masa ini saya belum bercakap dengan mereka (parti komponen BN), tetapi hal-hal berkaitan agama amat penting untuk kita tidak berbalah kerana kalau hal agama jadi isu politik, ia akan menjadi masalah,” tegasnya.

No comments: