Friday, July 4, 2008

SENTIMEN PERKAUMAN SEMPIT AMAT BAHAYA

Oleh Ibrahim Yahaya
(Sinar Harian : 2/7/2008)

Salah satu formula terbaik membolehkan Malaysia sentiasa aman dan makmur kecuali pada 13 Mei 1969 ialah semangat perpaduan kental di kalangan rakyat. Perpaduan ini tersemai berasaskan rasa hormat antara rakyat dan disuburkan lagi kerana semua pihak menghayatinya setiap masa.

Perpaduan ini sentiasa dicemburui oleh pihak luar. Bagi mereka yang melihat kelebihannya sentiasa berusaha mempelajari formula itu dan bagi anasir jahat, mereka akan mencari peluang untuk merobohkannya dalam pelbagai cara.

Dalam usaha kerajaan mengamalkan dasar keterbukaan sekarang, ada pihak yang mengambil kesempatan kelonggaran ini dengan mempersoalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan terutama hak keistimewaan bangsa Melayu. Ini satu aliran kurang sihat yang boleh memusnahkan perpaduan selama ini dan menghancurkan negara.

Apakan tidaknya, jika mereka terus mempersoalkan hak bangsa Melayu, sudah pasti perasaan menghormati antara satu sama lain akan berkubur begitu saja. Bangsa Melayu yang dipersoalkan hak mereka sudah tentu tidak duduk diam dan sudah pasti akan mempertahankannya sehingga ke titisan darah terakhir.

Persoalannya mengapa tindakan ini semakin rancak sekarang? Ini tidak lain daripada tindakan beberapa pihak terutama parti politik yang meniupkan sentimen perkauman sempit, rancak menyemarakkan konsep Malaysian Malaysia dan menjaja label sama rata, sama rasa.

Kumpulan ini mengetahui bahawa apa yang ingin diperjuangkan mampu menimbulkan masalah tetapi tetap ingin mencuba nasib mereka. Bagi mereka, untung sabut timbul terutama dalam memukau golongan muda yang tidak ketahuan. Hasrat jahat inilah yang akan memusnahkan negara ini. Ia perlu ditentang habis-habisan.

Jika label itu terus disokong dan didokong oleh golongan yang tidak memahami sejarah, akibatnya akan berlakulah pertembungan amat dahsyat dengan kumpulan mempertahankan hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan.

Antara golongan tidak sensitif ini ialah Majlis Peguam yang menganjurkan Forum Kontrak Sosial dan Ketuanan Melayu pada 28 Jun lalu.

Ada juga parti politik yang memperjuangkan konsep ketuanan rakyat dan memandang sepi mereka yang mempertahankan Ketuanan Melayu. Mereka sebenarnya sedang bermain api dan kesilapan kecil akan membakar seluruh kelambu. Jangan biarkan negara ini terbakar menjadi abu.

Tindakan kumpulan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan ramai pihak termasuk Perdana Menteri, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, wakil rakyat Melayu dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menentangnya. Mereka amat marah dengan sikap tidak bertanggungjawab berkenaan.

Datuk Seri Mohd Ali dalam blognya - http://www.mohdalirustam.com, mengingatkan Majlis Peguam Malaysia jangan mempertikaikan kontrak sosial yang memberi hak keistimewaan kepada orang Melayu. Jangan menghina bangsa Melayu. Tindakan empat peguam termasuk seorang peguam Melayu yang ingin mengkaji semula kontrak sosial itu boleh dianggap satu penghinaan terhadap bangsa Melayu.

Menurutnya, peguam Melayu ini boleh dianggap sebagai petualang bangsa dan telah dijadikan kuda tunggangan oleh pihak lain. Perkara ini sepatutnya tidak perlu dibangkitkan lagi kerana ia jelas termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Bagi Datuk Seri Ali, jika mereka ingin mengkaji semula hak keistimewaan bangsa Melayu, tidak mustahil kita juga boleh mengkaji hak keistimewaan kaum lain seperti Hak Kerakyatan. Sebagai parti orang Melayu, UMNO akan terus mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan orang lain tidak perlu mempertikaikan kontrak sosial yang dipersetujui bersama selepas kemerdekaan. Jika tidak negera ini akan jadi neraka.

Datuk Seri Ali menegaskan UMNO, dalam berjuang menjaga kepentingan bangsa Melayu, tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di negara ini. Inilah prinsip UMNO dan UMNO akan tetap mempertahankannya sampai bila-bila.

Dalam Persidangan Dewan Rakyat pada 30 Jun lalu, ramai Ahli Parlimen (MP) termasuk MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, meminta golongan yang mempersoalkan hak keistimewaan bangsa Melayu memberhentikan tindakan memporak-perandakan masyarakat negara ini. Beliau meminta mereka mempelajarilah sejarah negara ini.

Datuk Mukriz Tun Dr Mahathir (MP Jerlun), Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak); Datuk Mohamad Aziz (Sri Gading) dan Dr Mohd Puad Zakarshi (Batu Pahat), memberi amaran kepada golongan ini tidak membangkitkan kemarahan bangsa Melayu kerana ia boleh menimbulkan kesan yang buruk.

Bagi Datuk Tajuddin, beliau boleh mengumpulkan semua orang Melayu yang tidak berpuas hati dengan tindakan Majlis Peguam dan kumpulan lain jika mereka terus berdegil dengan sikap “membakar” perasaan penduduk asal di negara ini.

Sebenarnya mereka yang menganjurkan forum seumpama itu tidak mahu menerima atau mengakui hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Mereka juga mencari political mileage dengan memainkan perasaan rakyat terutama mengenai ketuanan rakyat dan Ketuanan Melayu.

Seorang penulis rencana dalam akhbar perdana pada Isnin lalu (30 Jun), Muzaffar Mokhtar, mengulas panjang lebar mengenai ikatan erat kedua-dua perkara itu.

Beliau menegaskan konsep ketuanan rakyat dalam bidang politik telah bertapak semenjak negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris lebih 50 tahun yang lalu. Konsep ketuanan rakyat adalah teras asas bagi mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi pelbagai parti yang berwibawa.

Ini kerana dalam sebuah demokrasi, rakyatlah yang berkuasa mutlak melalui undi mereka untuk menentukan parti politik atau gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan.

Melalui konsep ketuanan rakyat aspirasi golongan majoriti dihormati manakala kepentingan sah kaum minoriti dilindungi berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kewujudan ketuanan rakyat tanpa kewujudan Ketuanan Melayu di Malaysia bermakna penindasan golongan minoriti terhadap kaum majoriti. Jika ini berlaku maka ia tiada beza dengan apa yang pernah berlaku sebelum tahun 1994 di negara Afrika Selatan iaitu yang dinamakan sistem aparteid.

Dalam membicarakan konsep ketuanan Melayu, Muzaffar menulis perkara pertama yang harus diinsafi oleh semua pihak adalah konsep ini tidak sekali-kali membawa konotasi perhubungan submisif yang wujud antara tuan dan hamba.

Konsep ketuanan Melayu wujud semata-mata hasil manifestasi faktor demografik negara dan kontrak sosial antara kaum yang diijmakkan semasa negara mencapai kemerdekaan.

Ia sebenarnya telah dibayar dengan harga yang cukup mahal oleh orang Melayu apabila mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Tanah Melayu akan selama-lamanya berubah dari negara yang bersifat eka kaum kepada pelbagai kaum. Orang Melayu tidak mempunyai pilihan di dalam soal ini. Sudahlah apabila golongan imigran di bawa masuk ke bumi Tanah Melayu orang Melayu tidak dirundingi, untuk memperoleh kemerdekaan mereka terpaksa pula menerima kerakyatan yang diberikan kepada kaum imigran.

Pada pandangan Muzaffar, persepsi bahawa wujud pertembungan di antara ketuanan rakyat dan ketuanan Melayu timbul kerana ketidakprihatinan malahan ketidakpedulian sesetengah pihak terhadap dokumen paling asas negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Saya amat bersetuju dengan penulis bahawa golongan yang menolak Ketuanan Melayu sebenarnya menolak legitimasi sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan hari ini.

Golongan ini sebenarnya menolak kedudukan Islam sebagai agama rasmi tunggal negara, menolak Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta menolak hak-hak keistimewaan Melayu sebagai pribumi asal Tanah Melayu.

Oleh itu, setiap pemimpin Melayu tanpa mengira ideologi politik, perlu bangun mempertahankan hak mereka daripada terus diganggu oleh golongan yang tidak bertanggungjawab itu. Mereka perlu melakukan serentak agar golongan ini boleh merasai bahawa mereka sebenarnya cuba meratakan sebuah gunung keramat.

Namun, gunung ini akan dapat diratakan jika tiada usaha mencegah mana-mana pihak yang ingin memulakan hasrat itu.

No comments: