Oleh ZULHISHAM ISHAK
KOTA KINABALU 13 Julai - Ahli UMNO yang 'tidak bersih' rekod politiknya diminta supaya tidak menawarkan diri untuk bertanding sebarang jawatan pada pemilihan pucuk pimpinan parti yang akan bermula dengan peringkat cawangan Khamis ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya mereka turut menawarkan diri untuk bertanding, ia hanya akan menjejaskan nama UMNO selain turut memberi kesan buruk kepada parti.
"Bagi mereka yang tidak bersih, tidak perlulah bertanding merebut jawatan. Kalau kita pegang juga jawatan, mungkin kita akan menyusahkan parti dan parti akan tergugat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Perdana dan Pengurusan Islam Kepada Pemimpin Wanita di Hotel Le Meridien di sini hari ini.
Pemilihan UMNO di peringkat cawangan akan bermula dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini, bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November manakala peringkat Pusat yang menjadi tumpuan perebutan jawatan tertinggi parti dari 16 hingga 21 Disember.
Menjelang pemilihan itu, Zahid turut mengingatkan ahli-ahli UMNO di semua peringkat supaya tidak mengamalkan budaya politik kotor seperti rasuah, fitnah, lobi melobi dan tikam belakang.
Budaya itu jika digunakan, katanya, hanya akan memberi gambaran negatif terhadap parti selain turut memecah belahkan UMNO.
"Pada pemilihan kali ini semua ahli perlu mematuhi tata etika yang telah ditentukan oleh MT UMNO. Dalam tempoh lima bulan ini, kita perlu berhati-hati memandangkan pemilihan akan bermula di peringkat cawangan yang semuanya berjumlah 20,000 cawangan.
"Saya harap jangan ada pihak yang bertanding melibatkan wang, menabur fitnah atau memburuk-burukkan peribadi calon lain termasuk kempen yang berlebihan semata-mata untuk menonjolkan diri," katanya.
Zahid yang merupakan Menteri di Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila setiap kali pemilihan UMNO, akan berlaku perpecahan di kalangan ahlinya.
"Ini kerana setiap kali pemilihan UMNO akan berlaku perpecahan kerana setiap calon mempunyai pengikutnya sendiri. Sekiranya kalah, jangan pula tidak menyokong calon yang menang atau bertindak meninggalkan parti," ujarnya.
Katanya, jika budaya tidak sihat itu terus diamalkan oleh ahli parti, dikhuatiri pihak pembangkang akan menjadikan kelemahan calon UMNO sebagai modal politik pada pilihan raya akan datang.
Beliau turut menyelar perbuatan sesetengah ahli UMNO yang mendedahkan secara terbuka hasrat untuk merebut jawatan melalui media massa kerana perbuatan itu disifatkannya sebagai tidak sihat.
Jelasnya, perbuatan itu akan menimbulkan pandangan negatif terhadap UMNO kerana pemilihan parti tersebut menjadi tumpuan rakyat dan jika terdapat sebarang masalah ia harus diselesaikan secara dalaman.
"Perebutan jawatan berlaku bukan sahaja dalam UMNO tetapi dalam semua parti. Salah seorang presiden parti pembangkang ada memberitahu saya bahawa perebutan kuasa turut berlaku dalam partinya.
"Tetapi perkara itu tidak didedahkan kepada umum kerana ia diselesaikan secara dalaman dan hal tersebut hanya diketahui di kalangan anggota parti sahaja, orang luar tidak tahu," katanya.
Ditanya adakah beliau akan bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan kali ini, beliau berkata: "Ia sudah menjadi 'rahsia umum' kerana sudah pun diketahui."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment