Sunday, March 2, 2008

MAJUKAN SELANGOR SECARA SYUMUL

"TOLONG saya satu minit pada 8 Mac ini, pangkah BN dan saya akan tolong rakyat Selangor selama lima tahun." Itu janji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada rakyat negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.

Ungkapan itu sering disuarakannya di kebanyakan majlis bersama masyarakat yang dihadirinya ketika ini. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak sukar dimengertikan kerana beliau sudah menterjemahkannya sejak memimpin Selangor pada 2000.

Malah, Kerajaan Selangor mengukir lima kejayaan penting dalam tempoh empat tahun selepas Pilihan Raya Umum 2004 yang bukan saja membanggakan pemimpin dan penduduknya, malah menyumbang satu per empat ekonomi negara.

Ibu negerinya, Shah Alam juga terus pesat membangun dengan infrastruktur dan kemudahan moden yang mengagumkan, walaupun baru tahun kelapan dinobatkan sebagai bandar raya iaitu pada 10 Oktober 2000.

Kejayaannya bermula apabila ia diisytiharkan negeri maju pada 27 Ogos 2005 dan sejak itu, Kerajaan Selangor membentuk matlamat yang digelar ‘Matlamat Wawasan Selangor Maju 2005’.

Matlamat itu bertujuan menjadikan Selangor maju secara menyeluruh atau syumul dengan menekankan keseimbangan pencapaian antara jasmani dan rohani dalam persekitaran ekonomi dan kualiti hidup yang mapan, berteraskan teknologi maklumat dan tradisi keilmuan, mewujudkan masyarakat madani dan insan rabani dalam konteks tamadun berwawasan.

Selangor menempa kejayaan seterusnya apabila berjaya menurunkan kadar kemiskinan tegar dan kemiskinan mutlak di negeri itu. Kadar kemiskinan tegar menurun daripada 1.1 peratus pada 1990 kepada 0.05 peratus dan boleh dianggap sifar kemiskinan tegar, manakala kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 7.6 peratus pada 1990 kepada 1.1 peratus.

Satu lagi kejayaan dilakar Selangor apabila mencapai kestabilan ekonomi dengan kadar ekonomi berkembang antara lima hingga lapan peratus dan sentiasa melebihi kadar pertumbuhan negara setiap tahun.

Kejayaan Selangor tidak terhenti setakat itu kerana negeri itu mencatatkan pertumbuhan pesat dalam sektor industri apabila menyumbang lebih 56 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan 25 peratus kepada KDNK negara. Lebih 35 peratus penempatan industri terletak di negeri itu.

Prestasi pelaburan di Selangor juga menunjukkan jumlah pelaburan asing dan tempatan yang semakin meningkat iaitu RM5 bilion pada 2004, RM8.4 bilion (2005), RM9.6 bilion (2006) dan RM11.2 bilion pada 2007 dengan 35,000 hingga 40,000 peluang pekerjaan baru, diwujudkan.

Pembangunan sektor perindustrian dan perkhidmatan juga banyak dijalankan antaranya Pembangunan Wilayah Lembah Klang 2 (WLK2), Tanan Sains Selangor 2 di Bukit Baja, Sepang Canal City dan Projek Tebatan Banjir serta Sepang Gold Coast.

Pada masa sama, Selangor mencipta kejayaan dalam sektor pertanian berdasarkan tiga kaedah pelaksanaan dalam memperkasa sektor ini dengan meningkatkan hasil pertanian, mengeksploitasi dan mencari kaedah baru bagi meningkatkan hasil pendapatan petani dan menambah nilai produk pengeluaran pembungkusan, kualiti, isi kandungan serta promosi.

Pelaksanaan dijalankan menerusi pembangunan pertanian berproduktiviti tinggi, aktiviti perladangan berskala besar, teknologi pertanian terkini secara berkesan, penggunaan baka tanaman, ternakan dan perikanan yang ada nilai eksport dan menghasilkan produk berkualiti serta selamat dimakan.

Ketika ini ada lapan program pertanian yang dijalankan kerajaan negeri antaranya Program Fruits Salad, Penternakan Lembu Secara Feedlot, Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembakaran Sifar Jerami Padi, Pengurusan Berpusat Tanah Sawah, Dana Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Program Perikanan dan Peningkatan Pendapatan Nelayan yang bukan saja memberi peluang kepada masyarakat sekitar mengusahakan tanah terbiar dan bekerja, malah juga menambahkan pendapatan bulanan.

Walaupun sudah mencapai lima kejayaan besar sehingga negeri itu menjadi produk pertama Wawasan 2020 negara, kerajaan negeri tetap berusaha terus memajukan Selangor dalam setiap sektor.

Bagi tujuan itu, Kerajaan Selangor menggalakkan pemimpin dan pegawai kerajaan di negeri itu supaya berusaha meningkatkan prestasi jabatan masing-masing.

Berikutan itu, kerajaan negeri melancarkan Tahun Produktiviti Selangor 2008 Januari lalu bertujuan memastikan Selangor terus berdaya saing pada peringkat global merentasi cabaran globalisasi.

Persaingan yang perlu dihadapi negeri itu bukan saja dengan negara Asean malah juga dengan negara ekonomi besar seperti Amerika Syarikat, Eropah, India, Jepun, Korea dan China.

Kerajaan negeri juga melaksanakan beberapa program bagi memastikan penduduk mendapat kualiti hidup terbaik walaupun pelbagai kemudahan asas sudah disediakan dengan baik. Ini dilakukan dengan melaksanakan Konsep 3P iaitu Perumahan, Pendidikan Kemahiran dan Pekerjaan. (Sumber : Berita Harian)

1 comment:

Anonymous said...

Kenapa saya sokong YAB Khir --

1/ YAB Khir tak lupa budi
a. Tak pernah maki hamun Tun Dr Mahathir, tak seperti kebanyakan menteri
b. Tak pernah lupa ibu-bapa
c. Tak sombong dengan rakyat biasa yang menaikkan beliau

2/ YAB Khir tak celupar
a. Tak gah dan tak berdegar-degar
b. Tak ngaku pandai dan tak bodoh sombong
c. Alim tapi tak extremis

3/ YAB Khir alternatif kepada KJ/Hishammuddin
a/ YAB Khir ialah ketua belia Malaysia dan Asia
b/ Disegani dan dihormati di INdonesia
c/ Tak gentar dengan graduan Oxford


Lebih kurang macam tu lah. Bagilah dia seminit oi!