Friday, March 7, 2008

DAP TIDAK BANTU CINA

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Masyarakat Cina akan menghadapi masalah yang lebih besar jika mereka mengundi DAP apabila perwakilan MCA dalam kerajaan lemah, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy hari ini.

Sambil mengingatkan kaum itu pada keputusan pilihan raya umum 1986 apabila MCA hanya memperoleh 17 kerusi Parlimen berbanding 24 yang dimenangi DAP, masyarakat kaum itu berhadapan dengan pelbagai halangan berikutan kekuatan politik parti itu yang lemah.

Beliau berkata pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan menteri pendidikan, mengambil beberapa pendekatan yang tidak memihak kepada kaum Cina seperti melantik individu yang tidak bertutur bahasa berkenaan mengendalikan sekolah-sekolah Cina.

Menteri Pengangkutan itu yang tidak mempertahankan kerusi Parlimen Selayang kerana masalah kesihatan, berkata pembangkang, termasuk DAP tidak akan dapat membantu mereka.

"Walaupun DAP mempunyai lebih ramai wakil di Parlimen ketika itu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kaum Cina menyelesaikan masalah," katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini hari ini. Turut hadir ialah pemimpin veteran parti itu, Tan Sri Wong See Wah dan Datuk Wong Mook Leong.

DS Chan berkata keadaan berbeza selepas pilihan raya 1999 apabila terdapat lebih ramai wakil MCA dan parti politik berasaskan kaum Cina lain di Parlimen.

"Kami berjaya mendapatkan biasiswa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) bagi seramai 2,300 pelajar Cina," katanya.

Dalam menggesa sokongan berterusan masyarakat Cina, DS Chan berkata MCA akan dapat memberi perkhidmatan.

"Jangan sia-siakan kekuatan politik dengan mengundi pembangkang. Strategi mereka ialah untuk memecahkan undi Cina dengan menumpukan dan meletakkan calon mereka di kawasan majoriti Cina," katanya.

No comments: