Friday, March 7, 2008

FIKIR MASA DEPAN : PM

Oleh Fazli Abdullah dan Norakmah Mat Youb

GEORGETOWN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu rakyat, terutama masyarakat Cina, supaya berfikir semasak-masaknya sama ada mahu mempunyai wakil dalam Kabinet atau di Parlimen apabila mengundi pada pilihan raya umum, esok.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata perkara itu amat penting kerana ia akan menentukan masa depan negara dan rakyat.

Beliau berkata, masalah tidak akan timbul jika rakyat memilih BN kerana ia boleh mewakili semua kaum di negara ini.

"Kalau bagi (pilih) BN, tiada masalah tetapi kalau tiada wakil parti komponen lain (dalam Kabinet), maka tentulah ada sesuatu kekurangan yang saya fikir tidak baik.

"Jadi, anda mahu suara yang kuat dalam Parlimen atau anda mahu suara dalam Kabinet yang lebih berkesan membentangkan segala pandangan pelbagai masyarakat," katanya selepas melancarkan projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan menaik taraf serta pembinaan Pusat Jantung dan Pembedahan Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon.

Beliau ditanya apa akan berlaku sekiranya DAP berjaya menawan hati pengundi Cina dalam pilihan raya kali ini.

Abdullah menjelaskan, jika DAP berjaya menawan hati pengundi Cina, sudah tentu tiada suara masyarakat Cina dalam BN.

Ditanya adakah itu bermakna tidak akan ada perwakilan dari kalangan masyarakat Cina, Abdullah berkata: "Macam mana (untuk ada wakil), (sebab) semua kalah.

"Kalau DAP boleh menawan hati pengundi Cina, apa yang akan berlaku ialah tidak akan ada suara Cina dalam BN yang mewakili mereka. Kehadiran mereka pun tidak ada. Itu yang akan berlaku."

Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu itu berlaku kerana ia akan mewujudkan kerajaan yang diwakili satu kaum saja. Apa yang kerajaan mahu ialah rakyat semua kaum mempunyai wakil dalam Kabinet.

"Saya mahu ada wakil daripada rakyat yang bukan Melayu, Cina, Kadazan Dusun dan sebagainya dalam jemaah menteri. Ini yang kita mahu, barulah kerajaan ini benar-benar mewakili rakyat dan suara rakyat akan dapat didengar dalam Kabinet seperti yang berlaku sekarang.

"Saya harap ini akan berlaku. Tapi pilihan raya ini, terserah kepada rakyat untuk menentukannya. Saya harap mereka berfikir betul-betul. Pernah suatu ketika dulu, MCA tiada suara langsung, MIC pun tidak ada dan selepas itu, barulah dirasa oleh mereka," katanya.

Di KEPALA BATAS: Abdullah yang ditemui selepas majlis tahlil dan bacaan surah Yasin di Majlis Al-Jamiul Badawi, meminta pengundi membuat pilihan bijak bagi memastikan kesinambungan kemajuan negara.

"Ia penting untuk masa depan negara dan itu menjadi harapan kita," katanya.(Sumber : Berita Harian)

No comments: