Monday, March 3, 2008

MACAM ADA TIGA ISTERI : ZAINAL

Oleh Zulfa Mohamad

NIBONG TEBAL: “Saya rasa macam ada tiga isteri, sebab ketiga-tiganya hendak ikut berkempen,” kata Datuk Zainal Abidin Osman, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal mengulas mengenai tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.

Zainal Abidin yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, ketiga-tiga calon DUN di kawasan Parlimennya hendak mengikut ke mana saja beliau pergi, seolah-olah seperti 'isteri mahu ikut suami’.

Tiga calon DUN itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah bagi DUN Sungai Bakap; Datuk Mahmud Zakaria (Sungai Acheh) dan Tan Cheng Liang (Jawi).

"Setiap kali saya hendak keluar berkempen, ketiga-tiga calon berkenaan hendak ikut seolah-olah saya mempunyai tiga isteri. Akhirnya, saya pergi seorang saja.

"Isteri saya pun seorang saja iaitu Datin Shazarina Shamsudin," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan wakil komponen parti BN di Jawi Inn di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, kata Zainal Abidin, ketiga-tiga calon berkenaan memberi sokongan kepadanya dan bekerjasama bagi memastikan kemenangan BN.

Terdahulu, beliau merasmikan bangunan baru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas Sungai Acheh yang dibina dengan kos RM170,000.

Zainal Abidin turut melawat tiga penyokong BN yang cedera akibat dirempuh sebuah kereta Nissan Sentra ketika memasang poster jam 12.30 tengah malam kelmarin di Jalan Sungai Kechil.

Jasni Yusof, 39; Md Rizal Kamarudin, 28, dan Hafizal Md Sharif, 25, masing-masing cedera di muka, belakang dan kaki dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sungai Bakap. (Sumber : Berita Harian)

No comments: