Friday, March 21, 2008

BADAN SATUKAN ORANG MELAYU

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Sekumpulan 25 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan orang Melayu, hari ini sepakat menubuhkan "Badan Bertindak Perpaduan Melayu" yang bertujuan mengajak orang Melayu tanpa mengira ideologi politik supaya bersatu demi menjaga kepentingan bangsa serta memelihara kescucian agama Islam.

Penubuhan badan bertindak itu dipersetujui oleh para pemimpin badan amal Melayu dan Islam di Kuala Lumpur menerusi Deklarasi Maulidul Rasul bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul Khamis.

Pengerusi Penaja gabungan itu Osman A.Bakar berkata semangat perpaduan di kalangan orang Melayu kini semakin terhakis dan ini dapat dilihat menerusi pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lepas.

Katanya oleh itu adalah penting bagi semua orang Melayu, tanpa mengira ideologi politik diberi kesedaran mengenai apa yang akan berlaku kepada bangsa sekiranya masalah perpecahan itu tidak ditangani segera.

"Perpecahan itu juga menyebabkan dasar-dasar kerajaan yang selama ini menjaga kepentingan orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), dicabar perlaksanaannya," katanya kepada Bernama malam ini.

Menyedari hakikat itu, katanya satu perhimpunan iltizam Maulidur Rasul akan diadakan sama ada di Kuala Lumpur atau Putraja tidak lama lagi, bagi mengajak semua pemimpin Melayu dan Islam tanpa mengira ideologi politik supaya bersatu dan bekerjasama bagi menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara.

Beliau berkata badan bertindak ini juga akan menubuhkan rangkaian kumpulan bertindak perpaduan Melayu bagi memajukan aktiviti ke arah memupuk perpaduan Melayu di seluruh negara secara berterusan.

Ditanya mengenai pendekatan yang akan diambil badan bertindak ini, Osman berkata ia bukan sebuah badan pendesak, tetapi lebih kepada usaha mengajak rakyat menghayati perkembangan politik semasa dan menyedari tentang bahaya perkembangan itu kepada survival semua kaum di Malaysia.

Osman berkata menyedari bahawa masa depan orang Melayu dan agama Islam serta hubungan etnik di Malaysia dalam keadaan tidak menentukan, maka badan gabungan itu juga akan menggalakkan dialog dengan kaum lain dalam negara.

"Ini sejajar dengan pelan bertindak badan itu ke arah memperkasakan perpaduan nasional dan semangat muhibah antara semua kaum dengan menganjurkan dialog dengan NGO pelbagai kaum dan agama di Malaysia," katanya.

No comments: