KLEBANG : Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, hari ini melabel tindakan parti pembangkang PAS yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri Melaka muflis sebagai satu fitnah dan pembohongan yang nyata.
Menurut Mohd Ali, dakwaan PAS yang kononnya Kerajaan Negeri Melaka muflis kerana berhutang RM1 bilion, adalah semata-mata untuk mengaburi mata orang ramai dalam usahanya meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum ini.
Katanya, pinjaman RM1 bilion tersebut adalah antara usaha kerajaan negeri mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi Melaka tidak lama dulu dengan pembinaan empangan baru, pemasangan paip untuk mendapatkan bekalan air dari negeri lain serta mengantikan paip-paip air yang lama.
"Pinjaman tersebut adalah untuk memastikan penduduk Melaka mendapat bekalan air bersih yang cukup walaupun semasa berlakunya krisis bekalan air. Setiap bulan kita telah membayar balik pinjaman tersebut, bukan seperti yang didakwa PAS bahawa kerajaan kononnya muflis.
"Ini adalah satu fitnah...satu pembohongan yang nyata PAS dalam usaha mereka mengaburi mata orang ramai," tambahnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena lawatan kerjanya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang baru-baru ini.
Turut hadir termasuklah calon kerusi Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron; calon kerusi DUN Klebang, Datuk Seet Har Cheow; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Roslan Ibrahim serta lebih 500 penyokong Barisan Nasional (BN), termasuk ahli-ahli parti komponen BN.
Dalam ucapannya, Mohd Ali turut menyelar hasrat PAS untuk menjadikan Malaysia sebuah 'negara kebajikan' sebagai satu langkah yang 'tidak masuk akal.'
Katanya, janji PAS yang kononnya mereka yang tidak bekerja akan diberi elaun RM1,500 sebulan sebagai satu tindakan yang 'tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak.'
"Mana mereka nak dapat duit untuk laksanakan semua ini? Ingat duit turun dari langit ke? Kalau macam ini, baik tak payah kerja. Duduk rumah saja pun dapat duit free (percuma).
"Dulu mereka ada kata kalau mereka menang di Kelantan mereka akan hapuskan macam-macam cukai. Tetapi mengapa pula bila sudah menang semua ini tidak dilaksanakan? Nampak sangat pembohongan mereka," tambahnya.
Pada masa yang sama, Mohd. Ali turut menasihatkan para pengundi supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai dakyah yang ditabur pembangkang.
"Kita di BN selama ini berusaha untuk membentuk sebuah negara dan masyarakat yang selamat, aman dan makmur. Bukan seperti pembangkang. Mereka hanya tahu pasal demonstrasi (jalanan) saja," tambah beliau.
Semasa lawatan beliau, Mohd Ali turut merasmikan sebuah tabika Kemas sebelum meluang masa melawat tabika tersebut dan beramah-mesra dengan kanak-kanak di situ. (Sumber: Melaka Hari Ini)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Attention!
Post a Comment