Monday, March 3, 2008
BANYAK KEMUDAHAN UNTUK RAKYAT
KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan Barisan Nasional (BN) tidak akan mensia-siakan sokongan penduduk luar bandar, sebaliknya membalasnya dengan membawa lebih kemajuan di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri berkata, BN akan mengotakan janjinya untuk memajukan dan menambah kemudahan infrastruktur di luar bandar bagi membolehkan penduduk di kawasan itu menjalani kehidupan lebih selesa.
"Inilah yang kita dapat buktikan kepada rakyat. Kerajaan juga sentiasa mencari kemajuan lain yang akan dilaksanakan di luar bandar sama ada yang berhubung kait dengan sektor pertanian atau pembangunan perusahaan.
"Dengan ini, mereka bakal menikmati pendapatan tambahan," katanya ketika merasmikan Jambatan Pinang Tunggal dan jalan baru menghubungkan Pinang Tunggal-Kepala Batas-Sungai Petani di sini, semalam.
Turut hadir, isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Jalan sepanjang 1.9 kilometer dan berharga RM7.8 juta itu, dibina sejak Mei 2005 dan siap sepenuhnya pada Mei 2007. Jambatan sepanjang 211 meter yang membabitkan kos RM11.2 juta pula dibina pada November 2003 dan siap Mei 2004.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memikirkan apa saja kemudahan yang boleh diberikan kepada penduduk untuk memastikan kesenangan rakyat kerana menyedari masyarakat luar bandar sentiasa menyokong BN.
"Kerajaan tidak akan mensia-siakan sokongan mereka dan akan mencari serta membina lebih banyak lagi kemudahan untuk kesenangan mereka," katanya.
DS Abdullah berkata, jambatan dan jalan sangat penting kepada rakyat kerana kemudahan itu boleh memberi kesan limpahan, termasuk mewujudkan aktiviti perdagangan dan perniagaan di sesuatu kawasan.
"Dengan adanya jalan dan jambatan baru, akan berlaku kemajuan di kawasan berkenaan, sekali gus memanfaatkan penduduk di situ," katanya.
Beliau berkata, kerajaan BN juga akan berusaha memajukan lagi penduduk di luar bandar supaya dapat menikmati pendapatan tambahan kerana mereka antara penyokong utama kejayaan BN dan negara.
Dalam ucapannya itu, DS Abdullah turut menasihatkan orang ramai tidak bimbang untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum, Sabtu ini. (Sumber : Berita Harian)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment