Friday, March 21, 2008

BADAN SATUKAN ORANG MELAYU

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Sekumpulan 25 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan orang Melayu, hari ini sepakat menubuhkan "Badan Bertindak Perpaduan Melayu" yang bertujuan mengajak orang Melayu tanpa mengira ideologi politik supaya bersatu demi menjaga kepentingan bangsa serta memelihara kescucian agama Islam.

Penubuhan badan bertindak itu dipersetujui oleh para pemimpin badan amal Melayu dan Islam di Kuala Lumpur menerusi Deklarasi Maulidul Rasul bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul Khamis.

Pengerusi Penaja gabungan itu Osman A.Bakar berkata semangat perpaduan di kalangan orang Melayu kini semakin terhakis dan ini dapat dilihat menerusi pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lepas.

Katanya oleh itu adalah penting bagi semua orang Melayu, tanpa mengira ideologi politik diberi kesedaran mengenai apa yang akan berlaku kepada bangsa sekiranya masalah perpecahan itu tidak ditangani segera.

"Perpecahan itu juga menyebabkan dasar-dasar kerajaan yang selama ini menjaga kepentingan orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), dicabar perlaksanaannya," katanya kepada Bernama malam ini.

Menyedari hakikat itu, katanya satu perhimpunan iltizam Maulidur Rasul akan diadakan sama ada di Kuala Lumpur atau Putraja tidak lama lagi, bagi mengajak semua pemimpin Melayu dan Islam tanpa mengira ideologi politik supaya bersatu dan bekerjasama bagi menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara.

Beliau berkata badan bertindak ini juga akan menubuhkan rangkaian kumpulan bertindak perpaduan Melayu bagi memajukan aktiviti ke arah memupuk perpaduan Melayu di seluruh negara secara berterusan.

Ditanya mengenai pendekatan yang akan diambil badan bertindak ini, Osman berkata ia bukan sebuah badan pendesak, tetapi lebih kepada usaha mengajak rakyat menghayati perkembangan politik semasa dan menyedari tentang bahaya perkembangan itu kepada survival semua kaum di Malaysia.

Osman berkata menyedari bahawa masa depan orang Melayu dan agama Islam serta hubungan etnik di Malaysia dalam keadaan tidak menentukan, maka badan gabungan itu juga akan menggalakkan dialog dengan kaum lain dalam negara.

"Ini sejajar dengan pelan bertindak badan itu ke arah memperkasakan perpaduan nasional dan semangat muhibah antara semua kaum dengan menganjurkan dialog dengan NGO pelbagai kaum dan agama di Malaysia," katanya.

Friday, March 7, 2008

FIKIR MASA DEPAN : PM

Oleh Fazli Abdullah dan Norakmah Mat Youb

GEORGETOWN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu rakyat, terutama masyarakat Cina, supaya berfikir semasak-masaknya sama ada mahu mempunyai wakil dalam Kabinet atau di Parlimen apabila mengundi pada pilihan raya umum, esok.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata perkara itu amat penting kerana ia akan menentukan masa depan negara dan rakyat.

Beliau berkata, masalah tidak akan timbul jika rakyat memilih BN kerana ia boleh mewakili semua kaum di negara ini.

"Kalau bagi (pilih) BN, tiada masalah tetapi kalau tiada wakil parti komponen lain (dalam Kabinet), maka tentulah ada sesuatu kekurangan yang saya fikir tidak baik.

"Jadi, anda mahu suara yang kuat dalam Parlimen atau anda mahu suara dalam Kabinet yang lebih berkesan membentangkan segala pandangan pelbagai masyarakat," katanya selepas melancarkan projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan menaik taraf serta pembinaan Pusat Jantung dan Pembedahan Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon.

Beliau ditanya apa akan berlaku sekiranya DAP berjaya menawan hati pengundi Cina dalam pilihan raya kali ini.

Abdullah menjelaskan, jika DAP berjaya menawan hati pengundi Cina, sudah tentu tiada suara masyarakat Cina dalam BN.

Ditanya adakah itu bermakna tidak akan ada perwakilan dari kalangan masyarakat Cina, Abdullah berkata: "Macam mana (untuk ada wakil), (sebab) semua kalah.

"Kalau DAP boleh menawan hati pengundi Cina, apa yang akan berlaku ialah tidak akan ada suara Cina dalam BN yang mewakili mereka. Kehadiran mereka pun tidak ada. Itu yang akan berlaku."

Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu itu berlaku kerana ia akan mewujudkan kerajaan yang diwakili satu kaum saja. Apa yang kerajaan mahu ialah rakyat semua kaum mempunyai wakil dalam Kabinet.

"Saya mahu ada wakil daripada rakyat yang bukan Melayu, Cina, Kadazan Dusun dan sebagainya dalam jemaah menteri. Ini yang kita mahu, barulah kerajaan ini benar-benar mewakili rakyat dan suara rakyat akan dapat didengar dalam Kabinet seperti yang berlaku sekarang.

"Saya harap ini akan berlaku. Tapi pilihan raya ini, terserah kepada rakyat untuk menentukannya. Saya harap mereka berfikir betul-betul. Pernah suatu ketika dulu, MCA tiada suara langsung, MIC pun tidak ada dan selepas itu, barulah dirasa oleh mereka," katanya.

Di KEPALA BATAS: Abdullah yang ditemui selepas majlis tahlil dan bacaan surah Yasin di Majlis Al-Jamiul Badawi, meminta pengundi membuat pilihan bijak bagi memastikan kesinambungan kemajuan negara.

"Ia penting untuk masa depan negara dan itu menjadi harapan kita," katanya.(Sumber : Berita Harian)

DAP TIDAK BANTU CINA

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Masyarakat Cina akan menghadapi masalah yang lebih besar jika mereka mengundi DAP apabila perwakilan MCA dalam kerajaan lemah, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy hari ini.

Sambil mengingatkan kaum itu pada keputusan pilihan raya umum 1986 apabila MCA hanya memperoleh 17 kerusi Parlimen berbanding 24 yang dimenangi DAP, masyarakat kaum itu berhadapan dengan pelbagai halangan berikutan kekuatan politik parti itu yang lemah.

Beliau berkata pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan menteri pendidikan, mengambil beberapa pendekatan yang tidak memihak kepada kaum Cina seperti melantik individu yang tidak bertutur bahasa berkenaan mengendalikan sekolah-sekolah Cina.

Menteri Pengangkutan itu yang tidak mempertahankan kerusi Parlimen Selayang kerana masalah kesihatan, berkata pembangkang, termasuk DAP tidak akan dapat membantu mereka.

"Walaupun DAP mempunyai lebih ramai wakil di Parlimen ketika itu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kaum Cina menyelesaikan masalah," katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini hari ini. Turut hadir ialah pemimpin veteran parti itu, Tan Sri Wong See Wah dan Datuk Wong Mook Leong.

DS Chan berkata keadaan berbeza selepas pilihan raya 1999 apabila terdapat lebih ramai wakil MCA dan parti politik berasaskan kaum Cina lain di Parlimen.

"Kami berjaya mendapatkan biasiswa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) bagi seramai 2,300 pelajar Cina," katanya.

Dalam menggesa sokongan berterusan masyarakat Cina, DS Chan berkata MCA akan dapat memberi perkhidmatan.

"Jangan sia-siakan kekuatan politik dengan mengundi pembangkang. Strategi mereka ialah untuk memecahkan undi Cina dengan menumpukan dan meletakkan calon mereka di kawasan majoriti Cina," katanya.

Thursday, March 6, 2008

ARAH TUJU PENGUNDI BUKAN MELAYU

Oleh Ziauddin Sharuddin dan Magendran Rajagopal


SUKAR untuk meramalkan kecenderungan pengundi Cina setiap kali pilihan raya umum, kerana pendirian mereka boleh berubah, termasuk pada saat akhir jika timbul isu misalnya yang boleh menggugat ekonomi atau kesejahteraan perniagaan mereka.

Bagi masyarakat India pula, calon MIC kebanyakannya terpaksa bergantung harap kepada pengundi Melayu untuk menang tetapi pada pilihan raya umum kali ini dengan berbaki dua hari, MIC perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan bukan saja orang Melayu, malah di kalangan pengundi India sendiri setelah beberapa insiden berlaku sebelum ini.

Namun, sejarah membuktikan pendirian masyarakat India dan Cina jauh berbeza apabila memilih calon pilihan masing-masing. Misalnya, pengundi Cina beberapa kali membuat kejutan dengan menjadikan MCA dan Gerakan sebagai mangsa, sekali gus membuka laluan kepada pembangkang DAP.

Pada pilihan raya umum 1986, DAP mendapat 24 kerusi Parlimen, berbanding 17 milik MCA dan Gerakan (lima). Pilihan raya berikutnya pada 1990, DAP dengan 20 kerusi Parlimen mengatasi MCA yang hanya memiliki 18 kerusi dan Gerakan, kekal lima.

Tiga pilihan raya umum seterusnya - 1995, 1999 dan 2004, giliran MCA dan Gerakan pula menidakkan kelebihan DAP.

Bagaimana pula senario kali ini? Betulkah kaum kedua terbesar itu dikatakan lebih cenderung memberi undi kepada pembangkang.

Bagi pengundi Cina yang majoriti tinggal di kawasan bandar, isu yang penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, labelkan sebagai ‘kesejahteraan perut’ seperti ekonomi, harga barang dan minyak serta keselamatan menjadi keutamaan.

MCA dan Gerakan yang menjadi sandaran kaum Cina, terus berdepan cabaran hebat DAP, yang secara teori berbilang kaum, tetapi majoriti ahli dan pemimpin adalah kaum Cina. Pertarungan ketiga-tiga parti tertumpu di kawasan majoriti kaum Cina, terutama Lembah Klang dan Lembah Kinta serta Pulau Pinang.

Bagaimanapun isu lebih panas dan bersifat sentimen yang dimainkan DAP untuk menyerang MCA dan Gerakan adalah tohmahan bahawa kedua-dua parti itu bukan lagi menjadi pengawal kepada masyarakat Cina, tetapi kepada Umno.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mendakwa setiap satu undi kepada MCA dan Gerakan atau parti komponen BN lain, bermakna satu undi kepada Umno, sekali gus menghakis demokrasi dan hak setiap rakyat.

Isu sama juga digunakan menyerang kerajaan pimpinan Gerakan di Pulau Pinang dengan menggembar-gemburkan bahawa Gerakan dan MCA hanya boneka kepada parti yang sebenar berkuasa, Umno.

Malah, isu calon Ketua Menteri menjadi bahan kempen pembangkang, DAP berikutan keputusan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertanding kerusi Parlimen Batu Kawan pada pilihan raya kali ini.

Menghadapi serangan hebat DAP, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, mengingatkan masyarakat Cina supaya tidak termakan umpan DAP kerana untuk menjadikan MCA dan masyarakat Cina kuat bukan dengan cara mengundi DAP.

Katanya, jumlah kerusi yang lebih sedikit bermakna suara MCA menjadi lemah dan merugikan masyarakat Cina dalam kerajaan BN.

Persoalan sekarang, bolehkah diterima bahawa pengundi Cina lebih cenderung kepada pembangkang pada hari pengundian.

Adakah DAP mampu mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Bintang dan Seputeh di Lembah Klang; Ipoh Timur dan Ipoh Barat di Lembah Kinta serta Tanjong dan Bukit Gelugor di Pulau Pinang, serta merampas kawasan milik MCA dan Gerakan.

Jangan lupa di Pulau Pinang, DAP berdepan jalan sukar untuk menguasai Pulau Pinang. Lihatlah keanehan dalam pilihan raya lalu. Parlimen Tanjong dimenangi calon DAP, tetapi kedua-dua DUN dalam Parlimen itu, Padang Kota dan Pengkalan Kota diwakili Gerakan dan MCA.

Bukan rahsia bahawa pengundi Cina memilih BN di DUN demi memastikan Ketua Menteri tetap daripada kaum itu, manakala DAP dihantar membangkang di Kuala Lumpur (Dewan Rakyat). Jika senario ini berterusan, DAP mungkin menang sorak, tetapi ayam sabung rebah di gelanggang.

Mengambil pandangan pakar sejarah yang juga penganalisis masyarakat Cina, Prof Emeritus Khoo Kay Kim, bahawa setakat ini tidak pasti ke manakah undi itu pergi.

“Memang benar bahawa cakap-cakap orang sekarang ialah pengundi Cina menyokong pembangkang, tetapi adakah kita pasti bahawa cakap-cakap itu diterjemahkan kepada undi. Sesetengah orang hanya bercakap tetapi apabila mengundi, keadaan berbeza,” katanya.

Di sebalik kenyataan berapi pemimpin DAP sepanjang kempen pilihan raya, masyarakat Cina adalah pragmatik dan amat mementingkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Mampukah DAP memenuhi harapan itu?

Sementara itu, tidak keterlaluan jika dikatakan Pilihan Raya Umum 2008 menjadi penentu hala tuju politik MIC, terutama bagi Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu, yang menerajui parti tunggal mewakili kaum India dalam BN sejak 1979 dan menganggotai Kabinet sejak 20 Oktober tahun yang sama.

Gelombang kemarahan `segelintir’ masyarakat India mendakwa mereka tersisih daripada arus perdana pembangunan negara yang ditampilkan menerusi demonstrasi jalanan 25 November lalu dan 16 Januari tahun ini sedikit sebanyak mencemarkan imej MIC dan tempiasnya sudah tentu terkena pada BN yang diharap tidak diterjemahkan dalam bentuk undi Sabtu ini.

Meskipun Samy Vellu mengakui peratusan undi kaum India untuk calon MIC mungkin merosot, beliau tetap yakin parti itu dapat mengulangi kemenangan 100 peratus di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun, tidak ada yang membuat penilaian kesan kemerosotan undi kaum India ini terhadap calon parti komponen BN lain yang sebelum ini hanya bimbangkan pecahan undi Melayu serta Cina dan yakin sokongan padu pengundi India akan memberi kelebihan kepada calon BN.

Memang diakui undi masyarakat India tidak membentuk majoriti di mana-mana kawasan Parlimen atau DUN di negara ini. Namun undi mereka yang selama ini boleh dikatakan 99 peratus memihak kepada BN menjadi faktor penentu di kebanyakan kawasan.

Secara keseluruhan, 62 daripada 219 kerusi Parlimen dan 135 daripada 505 kerusi DUN mempunyai lebih 10 peratus pengundi berketurunan India yang berdaftar pada pilihan raya umum 2004 tetapi MIC memastikan kemenangan 100 peratus semua kerusi yang ditandinginya sejak pilihan raya umum 1982.

Kawasan majoriti Melayu turut menjadi masalah kepada BN, khususnya MIC, kerana liputan meluas mengenai tuntutan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) mungkin menimbulkan kerisauan masyarakat Melayu sehingga mendorong mereka untuk tidak memilih calon berketurunan India, tidak kira parti mana diwakili.

Ada yang mendakwa 80 peratus pengundi India tidak akan menyokong BN pada pilihan raya umum kali ini dan ada pula mendakwa MIC masih ada sokongan 50 peratus pengundi kaum India. Namun tidak seperti pengundi Melayu yang boleh memilih Pas atau pengundi Cina yang boleh memangkah DAP, pengundi India tidak ada parti pembangkang untuk mewakili mereka.

MIC juga bernasib baik kali ini kerana pemimpin Hindraf sendiri mengakui sebahagian besar penyokong perjuangan mereka lewat mendaftar dan tidak layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Jika ditakdirkan MIC lolos rintangan kali ini, Samy Vellu, yang akan berusia genap 72 tahun pada hari mengundi, wajar bersyukur kerana tidak mengakhiri sejarah 29 tahun selaku Presiden MIC dan Menteri Kabinet dalam keadaan begitu mengaibkan sehingga dicemuh, dicerca serta dihina masyarakat sendiri. (Sumber: Berita Harian)

Wednesday, March 5, 2008

SIRIH PULANG KE GAGANG (3)


PENDIDIKAN TUMPUAN UTAMA

Oleh ZULKIFLI JALIL

GERAI No.40 Wan Zai di Bandar Perda, Bukit Mertajam tidak putus-putus dikunjungi pelanggan. Entah apa rahsia resipi rempah ratusnya, ikan bawal goreng di situ diakui keenakannya.

Saban hari dari pukul 10 pagi hingga 5 pagi - pekerjanya hanya rehat 5 jam - gerai Wan Zai terus dibanjiri ramai. Lebih-lebih lagi semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 ini dengan kelibat pelanggan turut meliputi para penyokong parti-parti politik - tidak ketinggalan petugas media.

Gerai Wan Zai, antara petunjuk kecil bahawa Bukit Mertajam bukan lagi 'bandar mati' sebaliknya kian berkembang pesat. Arus kepesatannya turut menempias kawasan Parlimen Permatang Pauh - kerusi panas yang menjadi perhatian pemerhati politik dan rakyat seluruh negara ketika ini.

Ironinya seperti Bukit Mertajam, tiada isu pembangunan di Permatang Pauh. Sebutlah apa sahaja kemudahan dan prasarana. Semuanya tersergam. Daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), politeknik sehinggalah pasar, pusat tuisyen, tempat beristirehat dan taman permainan kanak-kanak.

''Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan penduduk Permatang Pauh meskipun sudah sembilan tahun di bawah pembangkang. Begitupun, apa yang dikehendaki oleh penduduk termasuk pengundi sekarang ialah bukti dan komitmen perkhidmatan wakil rakyatnya."

Begitulah reaksi Datuk Pirdaus Ismail, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh ketika ditemui Utusan Malaysia selepas mengunjungi Kampung Lobak yang didiami masyarakat Cina di Bukit Mertajam kelmarin.

Pirdaus berkata beliau tidak kecewa apabila tewas tipis 590 undi kepada Parti Keadilan pada pilihan raya umum lalu. ''Saya anggap ia satu takdir dan sebenarnya banyak iktibar yang saya peroleh. Antaranya, saya mesti bekerja lebih kuat untuk memupuk dan mengukuhkan kepercayaan pengundi kepada BN," katanya.

Hikmahnya, sebaik sahaja keputusan pilihan raya 21 Mac 2004 diumumkan, Pirdaus tidak duduk diam. Beliau terus menyelami permasalahan penduduk Permatang Pauh yang berjumlah 58,449, sebahagian besarnya iaitu 40,619 orang Melayu.

Di sebalik semua ini, kedudukan sebagai pegawai khas kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein seolah-olah memberi kelebihan kepada beliau untuk membantu memanjangkan masalah persekolahan yang dihadapi penduduk untuk diberi perhatian sekali gus disegerakan penyelesaiannya oleh kementerian.

''Seolah-olah saya menjadi penghubung di antara mereka kepada kementerian. Alhamdulillah, banyak masalah yang dihadapi oleh pentadbiran sekolah pondok, sekolah agama, sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah dipermudahkan penyelesaiannya," kata Pirdaus.

Sepanjang empat tahun ini, banyak peruntukan bernilai ratusan ribu ringgit disalurkan oleh kementerian kepada sekolah-sekolah sekitar Permatang Pauh dan Bukit Mertajam. Penat jerih Pirdaus berhasil.

Sambil menyatakan rasa syukur kerana dicalonkan semula untuk mencabar penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Pirdaus berkata, sokongan padu daripada penduduk semakin ketara kepada BN termasuk daripada pengundi atas pagar. Beliau yakin kerusi tersebut akan kembali ke pangkuan BN pada tarikh 8 Mac ini.

Selain pertemuan Pirdaus dengan Wan Azizah, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah dan DUN Penanti, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid masing-masing dicabar oleh calon PKR, Ramli Bulat dan Muhammad Fairuz Khairuddin.

Calon Pas, Hamdan Abdul Rahman yang menjadi wakil rakyat DUN Permatang Pasir sejak dua penggal lalu, akan mempertahankan kerusi itu dan kali ini dicabar oleh calon BN, Ahmad Sahar Shuib.

Pertarungan di kawasan yang sebelum ini menjadi kubu kuat UMNO itu menjadi tumpuan ramai kerana keputusannya akan menentukan survival PKR. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 sebelum dipecat dari Kabinet dan UMNO pada 1998.

Pirdaus yang meredah hujan lebat di Kampung Lobak ketika ditanya sekali lagi peluangnya Sabtu ini, berkata: ''Orang gelar saya YBK (Yang Berhormat Kalah) tetapi saya percaya Tuhan bersama saya. Dan jika ditakdirkan saya menang, saya berjanji akan sentiasa berada di sini untuk menyelesaikan masalah rakyat.

''Perkara pertama yang akan saya lakukan selepas menang ialah untuk terus membantu meningkatkan kualiti dan prasarana sekolah-sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil."

Kelibat bekas Imam Masjid Negara akan terus kelihatan dari pagi sehingga dini hari di Permatang Pauh. Seperti pekerja gerai 40 Wan Zai, Pirdaus lebih bersengkang mata.

Beliau mengakui hanya lena dua jam sehari. (Sumber : Utusan Malaysia)

TAN SENG GIAW HANYA BERSELIPAR

KEPONG 24 Feb. - Dengan hanya berselipar, berseluar panjang dan berkemeja lengan pendek, calon DAP, Dr. Tan Seng Giaw, 66, menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon, Pejabat Kecil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cawangan Kepong, Jinjang, pagi ini.

Beliau yang diiringi kira-kira 100 penyokongnya berkata, baginya menghantar borang pencalonan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, seolah-olah melawat rumah kawan.

''Tiada apa-apa perasaan seperti gugup atau apa. Ini (hantar borang pencalonan) sudah menjadi perkara biasa bagi saya,'' katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di sini hari ini.

Seng Giaw yang menyandang kerusi Parlimen Kepong selama enam penggal akan ditentang oleh muka baru Barisan Nasional (BN), Lau Hoi Keong, 39, dari parti Gerakan.

Sementara itu, Hoi Keong berkata, sebagai calon 'under dog' di Parlimen Kepong, beliau tetap yakin untuk memberi saingan sengit kepada Seng Giaw.

''Kita sudah bersedia dan seperti pilihan raya yang lepas, kerusi Kepong ini masih kekal satu lawan satu,'' katanya. (Utusan Malaysia)

Tuesday, March 4, 2008

DISASTER IF ANWAR IS PM

By JANE RITIKOS and LISA GOH

PETALING JAYA: If Datuk Seri Anwar Ibrahim becomes Prime Minister, it will be an “unmitigated disaster” for Malaysia, a former Parti Keadilan Nasional (before they joined forces with Parti Rakyat Malaysia to become PKR) deputy-president said at a forum yesterday.


Dr Chandra Muzaffar (pic) said that while the former deputy prime minister was a good speaker, he was not the sort of leader the country needed as he was now singing a different tune from when he was in the Government.

Dr Chandra, who was the party's deputy-president for two-and-a-half years, said it was sad that many non-Malays in the country were taken in by Anwar’s multi-ethnic stand.

“Today, he is portraying a totally different image and it is sad that quite a lot of non-Malays believe in this man. He is saying today that he wants to abolish the NEP (New Economic Policy) and that is music to their ears.

“We are so communal that we cannot evaluate a person objectively,” said Dr Chandra, who was one of five speakers at The Star-Asian Centre for Media Studies Public Forum on the 2008 Malaysian General Election at Menara Star yesterday.

Dr Chandra recalled that when Anwar was Education Minister, he had compelled schools to switch from using (the term) Bahasa Malaysia to Bahasa Melayu.


Animated talk: Sim making a point at the forum yesterday.
“Tunku Abdul Rahman wanted the use of Bahasa Malaysia to bring all the communities together and he (Anwar) forced Bahasa Melayu upon the school system. He was also responsible for putting non-Chinese educated administrators in Chinese schools.”

Dr Chandra said that Anwar, in dealing with the Kampung Jawa clash between the Hindus and Indian Muslims in Penang, had said then that “he would make sure the temple bells would not ring in the country anymore”.

Dr Chandra said the most important quality of a leader in a multi-ethnic country was honesty and when a leader spoke on sensitive ethnic issues, he must say the same thing to non-Malays as to the Malays.

“You cannot play games because it is very dangerous,” he said.

Dr Chandra also said that although Barisan Nasional was flawed, there was no other coalition in the country.

Speaking of his “bitter experience”, he said the Opposition tried to form an alliance called Barisan Alternatif (BA), comprising PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional and Parti Rakyat Malaysia, and he was tasked with forming a Just Malaysia manifesto for the 1999 elections.

“BA did very well and it was one of the best performances by the Opposition but after the elections, PAS decided to pursue an ultraconservative Islam in Terengganu and this made it difficult for us.

“DAP emphasised on an aggressive type of secularism which did not understand the role of religion in the country. A deep chasm was developed and the Opposition could not hold the middle ground and I don’t think they can for many, many years,” he said.

On Sunday, former Gerakan president Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik also lashed out at Anwar and described him as a “chameleon” who changed colour depending on the type of audience he was facing.

Relating his experience with Anwar, Dr Lim said: “I was with him as a member of the Cabinet Committee on Education from 1987 to 1990 when Anwar was Education Minister and he gave us hell.”

“One day, I even asked him if he wanted to remove Chinese schools. I told him if that was what he wanted, he should say so,” he said on efforts taken at that time by the Chinese community to remove Section 21 of the Education Act 1961, which gave powers to the minister to close down schools and to change national-type schools to national schools.

“We argued for five years but he never moved,” Dr Lim said, adding that it was Datuk Seri Najib Tun Razak who repealed the section when he became Education Minister.
(The Star)

Monday, March 3, 2008

MACAM ADA TIGA ISTERI : ZAINAL

Oleh Zulfa Mohamad

NIBONG TEBAL: “Saya rasa macam ada tiga isteri, sebab ketiga-tiganya hendak ikut berkempen,” kata Datuk Zainal Abidin Osman, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal mengulas mengenai tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.

Zainal Abidin yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, ketiga-tiga calon DUN di kawasan Parlimennya hendak mengikut ke mana saja beliau pergi, seolah-olah seperti 'isteri mahu ikut suami’.

Tiga calon DUN itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah bagi DUN Sungai Bakap; Datuk Mahmud Zakaria (Sungai Acheh) dan Tan Cheng Liang (Jawi).

"Setiap kali saya hendak keluar berkempen, ketiga-tiga calon berkenaan hendak ikut seolah-olah saya mempunyai tiga isteri. Akhirnya, saya pergi seorang saja.

"Isteri saya pun seorang saja iaitu Datin Shazarina Shamsudin," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan wakil komponen parti BN di Jawi Inn di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, kata Zainal Abidin, ketiga-tiga calon berkenaan memberi sokongan kepadanya dan bekerjasama bagi memastikan kemenangan BN.

Terdahulu, beliau merasmikan bangunan baru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas Sungai Acheh yang dibina dengan kos RM170,000.

Zainal Abidin turut melawat tiga penyokong BN yang cedera akibat dirempuh sebuah kereta Nissan Sentra ketika memasang poster jam 12.30 tengah malam kelmarin di Jalan Sungai Kechil.

Jasni Yusof, 39; Md Rizal Kamarudin, 28, dan Hafizal Md Sharif, 25, masing-masing cedera di muka, belakang dan kaki dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sungai Bakap. (Sumber : Berita Harian)

BANYAK KEMUDAHAN UNTUK RAKYAT





KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan Barisan Nasional (BN) tidak akan mensia-siakan sokongan penduduk luar bandar, sebaliknya membalasnya dengan membawa lebih kemajuan di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, BN akan mengotakan janjinya untuk memajukan dan menambah kemudahan infrastruktur di luar bandar bagi membolehkan penduduk di kawasan itu menjalani kehidupan lebih selesa.

"Inilah yang kita dapat buktikan kepada rakyat. Kerajaan juga sentiasa mencari kemajuan lain yang akan dilaksanakan di luar bandar sama ada yang berhubung kait dengan sektor pertanian atau pembangunan perusahaan.

"Dengan ini, mereka bakal menikmati pendapatan tambahan," katanya ketika merasmikan Jambatan Pinang Tunggal dan jalan baru menghubungkan Pinang Tunggal-Kepala Batas-Sungai Petani di sini, semalam.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.

Jalan sepanjang 1.9 kilometer dan berharga RM7.8 juta itu, dibina sejak Mei 2005 dan siap sepenuhnya pada Mei 2007. Jambatan sepanjang 211 meter yang membabitkan kos RM11.2 juta pula dibina pada November 2003 dan siap Mei 2004.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memikirkan apa saja kemudahan yang boleh diberikan kepada penduduk untuk memastikan kesenangan rakyat kerana menyedari masyarakat luar bandar sentiasa menyokong BN.

"Kerajaan tidak akan mensia-siakan sokongan mereka dan akan mencari serta membina lebih banyak lagi kemudahan untuk kesenangan mereka," katanya.

DS Abdullah berkata, jambatan dan jalan sangat penting kepada rakyat kerana kemudahan itu boleh memberi kesan limpahan, termasuk mewujudkan aktiviti perdagangan dan perniagaan di sesuatu kawasan.

"Dengan adanya jalan dan jambatan baru, akan berlaku kemajuan di kawasan berkenaan, sekali gus memanfaatkan penduduk di situ," katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN juga akan berusaha memajukan lagi penduduk di luar bandar supaya dapat menikmati pendapatan tambahan kerana mereka antara penyokong utama kejayaan BN dan negara.

Dalam ucapannya itu, DS Abdullah turut menasihatkan orang ramai tidak bimbang untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum, Sabtu ini. (Sumber : Berita Harian)

Sunday, March 2, 2008

FITNAH YANG NYATA

KLEBANG : Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, hari ini melabel tindakan parti pembangkang PAS yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri Melaka muflis sebagai satu fitnah dan pembohongan yang nyata.

Menurut Mohd Ali, dakwaan PAS yang kononnya Kerajaan Negeri Melaka muflis kerana berhutang RM1 bilion, adalah semata-mata untuk mengaburi mata orang ramai dalam usahanya meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum ini.

Katanya, pinjaman RM1 bilion tersebut adalah antara usaha kerajaan negeri mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi Melaka tidak lama dulu dengan pembinaan empangan baru, pemasangan paip untuk mendapatkan bekalan air dari negeri lain serta mengantikan paip-paip air yang lama.

"Pinjaman tersebut adalah untuk memastikan penduduk Melaka mendapat bekalan air bersih yang cukup walaupun semasa berlakunya krisis bekalan air. Setiap bulan kita telah membayar balik pinjaman tersebut, bukan seperti yang didakwa PAS bahawa kerajaan kononnya muflis.

"Ini adalah satu fitnah...satu pembohongan yang nyata PAS dalam usaha mereka mengaburi mata orang ramai," tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena lawatan kerjanya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang baru-baru ini.

Turut hadir termasuklah calon kerusi Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron; calon kerusi DUN Klebang, Datuk Seet Har Cheow; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Roslan Ibrahim serta lebih 500 penyokong Barisan Nasional (BN), termasuk ahli-ahli parti komponen BN.

Dalam ucapannya, Mohd Ali turut menyelar hasrat PAS untuk menjadikan Malaysia sebuah 'negara kebajikan' sebagai satu langkah yang 'tidak masuk akal.'

Katanya, janji PAS yang kononnya mereka yang tidak bekerja akan diberi elaun RM1,500 sebulan sebagai satu tindakan yang 'tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak.'

"Mana mereka nak dapat duit untuk laksanakan semua ini? Ingat duit turun dari langit ke? Kalau macam ini, baik tak payah kerja. Duduk rumah saja pun dapat duit free (percuma).

"Dulu mereka ada kata kalau mereka menang di Kelantan mereka akan hapuskan macam-macam cukai. Tetapi mengapa pula bila sudah menang semua ini tidak dilaksanakan? Nampak sangat pembohongan mereka," tambahnya.

Pada masa yang sama, Mohd. Ali turut menasihatkan para pengundi supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai dakyah yang ditabur pembangkang.

"Kita di BN selama ini berusaha untuk membentuk sebuah negara dan masyarakat yang selamat, aman dan makmur. Bukan seperti pembangkang. Mereka hanya tahu pasal demonstrasi (jalanan) saja," tambah beliau.

Semasa lawatan beliau, Mohd Ali turut merasmikan sebuah tabika Kemas sebelum meluang masa melawat tabika tersebut dan beramah-mesra dengan kanak-kanak di situ. (Sumber: Melaka Hari Ini)

MAJUKAN SELANGOR SECARA SYUMUL

"TOLONG saya satu minit pada 8 Mac ini, pangkah BN dan saya akan tolong rakyat Selangor selama lima tahun." Itu janji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada rakyat negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.

Ungkapan itu sering disuarakannya di kebanyakan majlis bersama masyarakat yang dihadirinya ketika ini. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak sukar dimengertikan kerana beliau sudah menterjemahkannya sejak memimpin Selangor pada 2000.

Malah, Kerajaan Selangor mengukir lima kejayaan penting dalam tempoh empat tahun selepas Pilihan Raya Umum 2004 yang bukan saja membanggakan pemimpin dan penduduknya, malah menyumbang satu per empat ekonomi negara.

Ibu negerinya, Shah Alam juga terus pesat membangun dengan infrastruktur dan kemudahan moden yang mengagumkan, walaupun baru tahun kelapan dinobatkan sebagai bandar raya iaitu pada 10 Oktober 2000.

Kejayaannya bermula apabila ia diisytiharkan negeri maju pada 27 Ogos 2005 dan sejak itu, Kerajaan Selangor membentuk matlamat yang digelar ‘Matlamat Wawasan Selangor Maju 2005’.

Matlamat itu bertujuan menjadikan Selangor maju secara menyeluruh atau syumul dengan menekankan keseimbangan pencapaian antara jasmani dan rohani dalam persekitaran ekonomi dan kualiti hidup yang mapan, berteraskan teknologi maklumat dan tradisi keilmuan, mewujudkan masyarakat madani dan insan rabani dalam konteks tamadun berwawasan.

Selangor menempa kejayaan seterusnya apabila berjaya menurunkan kadar kemiskinan tegar dan kemiskinan mutlak di negeri itu. Kadar kemiskinan tegar menurun daripada 1.1 peratus pada 1990 kepada 0.05 peratus dan boleh dianggap sifar kemiskinan tegar, manakala kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 7.6 peratus pada 1990 kepada 1.1 peratus.

Satu lagi kejayaan dilakar Selangor apabila mencapai kestabilan ekonomi dengan kadar ekonomi berkembang antara lima hingga lapan peratus dan sentiasa melebihi kadar pertumbuhan negara setiap tahun.

Kejayaan Selangor tidak terhenti setakat itu kerana negeri itu mencatatkan pertumbuhan pesat dalam sektor industri apabila menyumbang lebih 56 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan 25 peratus kepada KDNK negara. Lebih 35 peratus penempatan industri terletak di negeri itu.

Prestasi pelaburan di Selangor juga menunjukkan jumlah pelaburan asing dan tempatan yang semakin meningkat iaitu RM5 bilion pada 2004, RM8.4 bilion (2005), RM9.6 bilion (2006) dan RM11.2 bilion pada 2007 dengan 35,000 hingga 40,000 peluang pekerjaan baru, diwujudkan.

Pembangunan sektor perindustrian dan perkhidmatan juga banyak dijalankan antaranya Pembangunan Wilayah Lembah Klang 2 (WLK2), Tanan Sains Selangor 2 di Bukit Baja, Sepang Canal City dan Projek Tebatan Banjir serta Sepang Gold Coast.

Pada masa sama, Selangor mencipta kejayaan dalam sektor pertanian berdasarkan tiga kaedah pelaksanaan dalam memperkasa sektor ini dengan meningkatkan hasil pertanian, mengeksploitasi dan mencari kaedah baru bagi meningkatkan hasil pendapatan petani dan menambah nilai produk pengeluaran pembungkusan, kualiti, isi kandungan serta promosi.

Pelaksanaan dijalankan menerusi pembangunan pertanian berproduktiviti tinggi, aktiviti perladangan berskala besar, teknologi pertanian terkini secara berkesan, penggunaan baka tanaman, ternakan dan perikanan yang ada nilai eksport dan menghasilkan produk berkualiti serta selamat dimakan.

Ketika ini ada lapan program pertanian yang dijalankan kerajaan negeri antaranya Program Fruits Salad, Penternakan Lembu Secara Feedlot, Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembakaran Sifar Jerami Padi, Pengurusan Berpusat Tanah Sawah, Dana Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Program Perikanan dan Peningkatan Pendapatan Nelayan yang bukan saja memberi peluang kepada masyarakat sekitar mengusahakan tanah terbiar dan bekerja, malah juga menambahkan pendapatan bulanan.

Walaupun sudah mencapai lima kejayaan besar sehingga negeri itu menjadi produk pertama Wawasan 2020 negara, kerajaan negeri tetap berusaha terus memajukan Selangor dalam setiap sektor.

Bagi tujuan itu, Kerajaan Selangor menggalakkan pemimpin dan pegawai kerajaan di negeri itu supaya berusaha meningkatkan prestasi jabatan masing-masing.

Berikutan itu, kerajaan negeri melancarkan Tahun Produktiviti Selangor 2008 Januari lalu bertujuan memastikan Selangor terus berdaya saing pada peringkat global merentasi cabaran globalisasi.

Persaingan yang perlu dihadapi negeri itu bukan saja dengan negara Asean malah juga dengan negara ekonomi besar seperti Amerika Syarikat, Eropah, India, Jepun, Korea dan China.

Kerajaan negeri juga melaksanakan beberapa program bagi memastikan penduduk mendapat kualiti hidup terbaik walaupun pelbagai kemudahan asas sudah disediakan dengan baik. Ini dilakukan dengan melaksanakan Konsep 3P iaitu Perumahan, Pendidikan Kemahiran dan Pekerjaan. (Sumber : Berita Harian)

Saturday, March 1, 2008

SIRIH PULANG KE GAGANG (2)





MASJID SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

Oleh Ghafani Awang Teh

PELANCONGAN keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat bersejarah sesuatu agama adalah produk pelancongan yang berkembang pesat. Banyak negara sudah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing turut mempromosikan pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan.

Malaysia turut mengambil langkah sama, tetapi tidak dinafikan usaha itu terutama menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan menjadi isu negatif di kalangan masyarakat yang beranggapan kedatangan pelancong terutama bukan beragama Islam boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah.

Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Berdasar pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28)



Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid.

Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.”

Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu.

Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid, pihak pengurusan perlu membuat peraturan sesuai umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadat.

Dari aspek pelancongan, kita dapati Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah di Arab Saudi menjadi tempat kunjungan paling popular di dunia. Pada musim haji saja kira-kira 3 juta umat Islam mengunjungi Makkah dan Madinah.

Menurut Lembaga Pelancongan Arab Saudi menjelang 2020 dijangkakan seramai 45.5 juta orang Islam akan mengunjungi dua tempat suci itu dengan anggaran pendapatan sebanyak SR80 bilion setahun. Perbelanjaan besar umat Islam itu memberi peluang perniagaan yang besar kepada penduduk Arab Saudi.

Walaupun masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita tidak sehebat di Arab Saudi, tetapi ia berpotensi besar untuk menarik pelancong terutama orang bukan Islam menziarahi masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita.

Berdasarkan pemerhatian, perkara yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazzin, peranan makmum dan cara umat Islam menunaikan sembahyang.

Bagi umat Islam, daya tarikan ini kelihatan perkara biasa, tetapi bagi orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan suasana rumah ibadat agama lain.

Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap produk pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui pelancongan.

Bagaimanapun bukan mudah untuk menarik pelancong datang menziarahi masjid kecuali pihak pengurusan masjid mampu mengambil langkah tertentu seperti menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, persekitaran bersih dan ceria serta kemudahan tandas selesa.

Begitu juga fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi luas kepada masyarakat setempat dan perkhidmatan pemandu pelancong selain menyediakan ruangan pameran serta galeri.

Pada masa ini antara masjid yang berpotensi besar menarik pelancong ialah masjid negeri dan Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal Jerteh di Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kampung Laut Kelantan dan Masjid Ulu Melaka, Melaka.

Masjid yang paling berjaya menarik pelancong ialah Masjid Negara. Menurut laporan, Masjid Negara mendapat kunjungan kira-kira 255,800 pelancong asing sepanjang 2007.

Selari dengan usaha memakmurkan masjid ini, maka marilah kita merenungi firman Allah bermaksud: “Bahawasanya yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka yang memakmurkan masjid itu mendapat hidayah daripada Allah.” (Surah at-Taubah, ayat 18)



Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

(SUMBER : BERITA HARIAN)

SIRIH PULANG KE GAGANG (1)









Gambar oleh HAH.