Tuesday, July 10, 2007

PERBUATAN TIADA MARUAH : ALI



Melaka : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyiarkan gambar palsu membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bermaruah, Mohd Ali berkata, tindakan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua menyiarkan gambar palsu di laman bloknya adalah berniat jahat.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, tindakan menyiarkan gambar palsu itu adalah perbuatan terkutuk dan taktik kotor pembangkang untuk menjatuhkan pemimpin negara.

"Tindakan menyiarkan gambar palsu ini sebagai satu perbuatan yang hina dan patut dikutuk oleh setiap lapisan rakyat.

"Dia (Tian Chua) sepatutnya meminta maaf dan tindakan undang-undang wajar dikenakan ke atasnya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Al-Rajhi Bank di Taman Melaka Raya, di sini semalam.

Akbar ini sebelum ini melaporkan PKR memaparkan gambar palsu Datuk Seri Najib Razak dengan Altantuya Shaariibu di internet.

Gambar itu yang diakui oleh Chua sebagai 'khayalan dan hasil seni semata-mata' disiarkan melalui blognya baru-baru ini.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin turut dilaporkan mempertahankan tindakan Chua menyiarkan gambar itu.

Mohd Ali berkata, dengan jelas rakyat telah menolak PKR ketika pilihan raya kecil Machap dan Ijok tetapi pemimpin mereka masih bernafsu untuk menagih simpati rakyat.

Katanya, pemimpin pembangkang lebih suka menabur fitnah dan rakyat jangan sekali-kali mudah terpengaruh dengan taktik kotor mereka.

"Menabur fitnah adalah taktik kotor mereka dan diharap rakyat jangan mudah terpengaruh dengan cara berpolitik mereka," katanya.

No comments: