Saturday, July 28, 2007

TINDAKAN UNDANG-UNDANG KE ATAS PENULIS BLOG - KHAIRY



KIMANIS (Sabah), 28 Julai (Bernama) -- Tindakan undang-undang perlu diambil ke atas penulis blog yang menyebarkan laporan berbentuk fitnah di laman blog mereka, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar).

Katanya penulis blog sebegitu tidak pernah memikirkan sensitiviti orang lain.

"Tidak ada undang-undang di alam siber kecuali undang-undang rimba. Jadi tindakan harus diambil supaya 'monyet-monyet' lain takut dan mengambil iktibar daripadanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Papar, Kimanis dan Sipitang di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib telah membuat laporan berhubung komen orang ramai dalam laman blog itu dalam siaran 11 Julai lepas, yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Khairy berkata beliau turut difitnah dalam laman blog itu, tetapi belum mengambil tindakan undang-undang kerana khuatir akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

No comments: