Thursday, July 19, 2007

SABAH OH SABAH!

Sabah adalah antara negeri tumpuan parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tidak hairanlah ramai pemimpin pembangkang termasuk DSAI turun padang untuk menyampaikan ceramah politik bagi memastikan mereka berjaya menembus kubu kuat UMNO dalam PRU akan datang. Malah mereka sudah memperincikan kawasan yang boleh ditawan termasuk kawasan berlakunya perbalahan dalaman pemimpin UMNO. Pelbagai dakwaan dan tuduhan juga turut disebarkan terhadap Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Musa Aman.

Sejak kebelakangan ini, disebarkan berita bahawa Ketua Menteri Sabah, menghadapi pelbagai dugaan dan tekanan bukan saja daripada masyarakat Cina di negeri itu tetapi di kalangan pemimpin UMNO tempatan. Ia dikatakan bermula dengan perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat yang banyak dikaitkan dengan isu patung Mazu di Kudat dan yang terbaru ialah pakatan pemimpin UMNO untuk menjatuhkannya.

Datuk Musa dikatakan menjadi sasaran "musuh-musuh politiknya" berikutan pelbagai dakwaan bahawa beliau mengamalkan amalan kronisme yang teramat sangat sehinggakan pemimpin UMNO di negeri itu sudah tidak tahan lagi dengan gelagatnya. Ketua Menteri itu dikatakan banyak memberi projek pembangunan kepada adik-beradik dan keluarganya termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang baru bernilai RM1.8 bilion. Pelbagai risalah juga dikeluarkan termasuk risalah "81 Dalil Kenapa Musa Aman Harus Letak Jawatan Ketua Menteri Sabah".

Malah-malah pelbagai kenyataan pernah dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO Sabah berhubung isu berkenaan. Antaranya ialah: "Jika mahu mahkan, jangan mahkan sampai habis", "Biarlah kekayaan itu dikongsikan bersama bukan sendiri sahjak yang mahu mombolotnya" dan "Lapangan tarbang baru bagus. Semua kapaltarbang boleh turun. Masalahnya, Ketua Manteri sahjak yang tidak mahu turun". Mereka menyifatkan abang Ketua Menteri, Ayob Aman sebagai raja kepada segala raja di Sabah yang boleh menentukan segala-galanya.

Musuh-musuh politik Datuk Aman juga ingin menyakinkan rakyat Sabah bahawa gerakan besar-besaran kini diadakan untuk menjatuhkan Datuk Musa termasuk mengabungkan semua pemimpin politik negeri yang tidak menyukainya. Ini termasuk Ketua UMNO Kalabakan, Datuk Abdul Ghafur Salleh dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Salleh Tun Said Keruak. Kedua-dua mereka ini dikatakan mahu berbaik-baik dengan TS Chong untuk menumbangkan Datuk Musa. Malah, Datuk Ghafur dan Datuk Salleh dilihat beberapa kali bersama TS Chong untuk membincangkan strategi bagi menyakinkan pucuk pimpinan Pusat untuk mengetepikan Datuk Musa dalam PRU12.

Krisis kepemimpinan Negeri Sabah yang diheboh-hebohkan oleh musuh politik Datuk Musa kini sudah sampai ke kemuncaknya dengan penubuhan Kelab USNO yang dikatakan dipelopori oleh veteran USNO yang tidak sebulu dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri itu. Mereka mahu memberi isyarat kepada pucuk pemimpin UMNO Pusat bahawa mereka mampu menggerakkan rakyat untuk terus menyokong kembali pemimpin USNO dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun, segala tohmahan dan dakwaan itu dinafikan oleh Datuk Ghafur ketika merasmikan Persidangan Wanita dan Puteri Bahagian UMNO Kalabakan, minggu lalu. Dalam berita yang disiarkan oleh media arus perdana , Datuk Ghafur menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar-khabar angin untuk melemahkan kepemimpinan negeri."Tolong hentikan pembohongan ini. Beberapa pemimpin kini sedang berusaha untuk mewujudkan kekeliruan dengan harapan untuk meranapkan perpaduan yang wujud ketika ini. Saya menyertai UMNO dari Berjaya dan saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada parti."

Datuk Ghafur menjelaskan bahawa pertemuan beliau dan Datuk Salleh bersama TS Chong adalah atas arahan Perdana Menteri bagi menyelesaikan secara baik isu membabitkan patung Mazu di Kudat itu. Pertemuan itu dikatakan satu komplot untuk menjatuhkan Ketua Menteri sedangkan ia adalah tugasan dan tanggungjawab beliau dan Datuk Salleh.

Datuk Ghafur berharap rakyat Sabah tidak percayakan khabar angin yang boleh meruntuhkan perpaduan UMNO di negeri itu. Rakyat Sabah, katanya, perlu belajar daripada kesilapan yang berlaku di Kelantan di mana PAS berjaya menawan negeri itu bukan kerana PAS kuat tetapi perpecahan di kalangan pemimpin UMNO. Beliau berkata UMNO Kalabakan memberi sokongan padu kepada Datuk Musa.

No comments: