Monday, July 30, 2007

KENAL PASTI SIAPA DIA GOBLOK

MELAKA, 29 Julai (Bernama) -- Rakyat perlu bijak mengenal pasti laman blog kerana terdapat kalangan penulis laman blog yang "goblok" hingga sanggup menjadi alat kepada anasir asing menjatuhkan negara.

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata penulis "goblok" itu merupakan golongan yang paling tidak bijak dan jahat.

"Menjadi penyokong kepada anasir luar untuk menjatuhkan negara, orang ini adalah goblok," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2007 di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini, hari ini.

Zainuddin berkata penulis "goblok" itu tidak berfikiran Asia sebaliknya lebih kepada barat kononnya mereka dididik di negara barat dan menganggap kebebasan demokrasi anjuran barat yang terbaik.

"Kita dari dahulu sampai sekarang, kita ada anasir yang paling bahaya iaitu orang yang sanggup menjadi alat kepada negara asing untuk merosakkan negara termasuk menjejaskan ekonomi dan perpaduan rakyat," katanya.

Beliau berkata penulis "goblok" terbabit cuba mempergunakan media untuk menyiarkan tulisan mereka yang berbentuk khabar angin dan fitnah semata-mata untuk menimbulkan perpecahan.

Katanya semua pihak tidak perlu melayan tulisan penulis "goblok" terbabit yang mahu menjadikan laman blog mereka sebagai penting.

Beliau berkata kerajaan tidak menghalang penulis laman blog persendirian yang menulis lebih kepada ilmu, hubungan antara kawan, keluarga dan rakan.

Terdahulu ketika berucap, Zainuddin berkata konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2007 yang disertai 50 kenderaan pacuan empat roda menjelajah ke seluruh Malaysia, adalah penting untuk menyuburkan semangat sambutan kemerdekaan negara ke-50.

Beliau meminta rakyat memberi sokongan padu dengan hadir beramai-ramai menyambut ketibaan konvoi tersebut di tempat masing-masing.

Konvoi itu terdiri daripada 30 buah kenderaan pacuan empat roda Jabatan Penerangan manakala 20 buah lagi dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan. Konvoi itu akan kembali semula ke Melaka pada 16 Ogos ini.

Sempena pelancaran konvoi itu, Larian Merdeka turut diadakan di sini dengan disertai kira-kira 2,400 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan anggota Komuniti Bestari di Melaka.

No comments: