Semua UMNO bahagian perlu segera gerakan jentera pilihan raya umum
SELAYANG 6 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam meminta ahli-ahli UMNO di semua peringkat bahagian melengkapkan persediaan awal bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut beliau, banyak kelemahan perlu diatasi terutama menangani masalah ahli UMNO yang masih belum mendaftar sebagai pengundi biar pun layak berbuat demikian.
“Banyak kerja perlu dilakukan ketika ini terutama dalam soal menangani masalah 500,000 ahli UMNO yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.
“Oleh itu, saya minta semua ketua bahagian bermesyuarat dan mengenal pasti senarai nama ahli UMNO dalam kawasan masing-masing yang masih belum mendaftar dan bawa mereka mendaftar sebagai pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Empat Peringkat UMNO cawangan Selayang di sini hari ini.
Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, semua ahli UMNO mempunyai tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan untuk memastikan parti terus menjadi kukuh dan pilihan utama masyarakat Melayu.
“Untuk memastikan hasrat itu tercapai, ahli UMNO keseluruhannya perlu bersiap sedia dari sekarang dengan menggerakkan jentera pilihan raya parti.
“Kita perlu sedar ahli UMNO yang tidak berdaftar sebagai pengundi ini kerana mempunyai tanggapan bahawa undi mereka tidak penting dan sesiapa saja boleh menjadi pemimpin mereka.
“Tanggapan ini amat bahaya sekali dan oleh itu menjadi tanggungjawab semua ahli untuk membetulkan anggapan tersebut, seterusnya mengajak mereka menjadi pengundi yang baik,” kata beliau.
(Sumber : UTUSAN MALAYSIA)
Tuesday, May 8, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment