Maybank diminta kekal semula syarat 50% pemilikan bumiputera
Oleh: YULPISMAN ASLI dan WAN SYAMSUL WAN SEADEY
KUALA LUMPUR 11 Mei – Kepimpinan UMNO meminta Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengekalkan keputusan asal mengenakan syarat pemilikan 50 peratus kepentingan bumiputera dalam firma-firma guaman yang mahu menjadi panel bank tersebut.
Mereka menyifatkan pendirian bank terbesar negara itu sebagai satu tindakan munasabah bagi memastikan wujud perkongsian adil antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha Maybank itu seharusnya diteruskan kerana ia bertujuan untuk membantu bumiputera.
‘‘Niat Maybank baik, seharusnya isu itu hanya dibincangkan di luar sahaja tetapi telah dibawa masuk ke Kabinet dan keputusan sudah diputuskan.
‘‘Saya harap ia dapat diselesaikan dengan segera tanpa melibatkan isu sentimen antara kaum,’’ katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mohd. Ali berkata, tindakan Maybank itu adalah satu pendekatan untuk memberikan suasana persaingan yang lebih baik kepada firma-firma guaman.
Minggu lalu Maybank menetapkan mulai 1 Julai ini panel peguam sedia ada bank itu dan yang baru dilantik perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga rakan kongsi bumiputera, satu daripadanya mestilah bumiputera yang menguasai kepentingan minimum 50 peratus.
Bagaimanapun, langkah Maybank itu dikritik oleh para pemimpin bukan bumiputera termasuk menteri-menteri MCA.
Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal berkata, syarat baru Maybank itu tidak harus dipertikaikan mana-mana pihak kerana ia jelas mempertahankan hak Melayu.
‘‘Sepatutnya isu ini tidak timbul. Kita rasa janggal bila ia diperkatakan oleh banyak pihak termasuk dibawa ke Kabinet.
‘‘Mengapa tidak lihat perkara ini sebagai satu usaha menggalakkan perkembangan orang Melayu sendiri yang hak mereka semakin hilang?’’ katanya.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, Maybank sebenarnya telah memulakan langkah patriotik yang harus dicontohi oleh institusi-institusi perbankan lain.
‘‘Niat baik bank itu untuk mewujudkan perkongsian pintar antara bumiputera dan bukan bumiputera telah disalah tafsir oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
‘‘Syarat baru bank itu berhubung ekuiti panel peguam boleh memperbetulkan kedudukan bumiputera sendiri di samping membantu kemajuan negara,’’ katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Beliau menambah, langkah bank itu turut dilihat dapat meningkatkan taraf ekonomi bumiputera yang agak rendah jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, beliau tidak faham mengapa ada pihak yang memandang serong usaha Maybank itu.
‘‘Ini hak dan urusan Maybank yang jelas ingin membantu bumiputera dalam aspek-aspek berkaitan.
‘‘Mengapa tidak ada pihak yang mempersoalkan institusi kewangan lain yang terang-terang tidak pernah membantu bumiputera?’’ ujarnya.
Muhammad tidak faham mengapa masih ada tekanan diberi oleh beberapa pihak berkaitan hak bumiputera.
Ahli MT UMNO, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin pula berpendapat, langkah Maybank itu menguntungkan orang Melayu.
‘‘Maybank memberi perkhidmatan terbaiknya tetapi pada masa yang sama ia tidak melupakan hak kaum lain di negara ini.
‘‘Seharusnya semua pihak memberi sokongan kepada mereka (Maybank) kerana dengan terang ia menyokong hak bumiputera dengan tidak mengusik keperluan bangsa lain,’’ jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan Maybank itu dilihat trend sebenar globalisasi serta pasaran terbuka melalui penggabungan kemahiran dan pengetahuan.
‘‘Maybank jelas berniat positif dalam usaha memperbanyakkan kerjasama selain keseimbangan ekuiti sesama kaum.
‘‘Langkah ini jelas akan meletakkan satu tahap yang tinggi kepada usaha kerja bumiputera dan seharusnya tidak akan wujud khidmat perbezaan standard atau tidak kompetitif,’’ jelasnya.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, langkah Maybank itu perlu untuk memastikan tiada syarikat yang akan memperkecilkan kemampuan bumiputera.
‘‘Ia tidak ada kena mengena dengan isu perkauman sebaliknya membuka seluas-luasnya peluang kepada bumiputera untuk terus ke hadapan,’’ katanya.
(SUMBER : AKHBAR UTUSAN MALAYSIA)
Sunday, May 13, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment