Sunday, May 20, 2007

RAKYAT PERAK BANJIRI BANDAR DIRAJA


(Raja Puan Besar Tuanku Zara Salim)

KUALA KANGSAR, 19 Mei (Bernama) -- Lebih 10,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang membanjiri bandar Diraja Kuala Kangsar untuk berkongsi kegembiraan perkahwinan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Tuanku Zara yang tiba di kemuncaknya malam ini dengan istiadat persandingan diraja.

Bandar diraja itu malam ini bagaikan taman cahaya apabila dimandikan dengan cahaya lampu neon dan pelita daripada lampu-lampu panjut di sepanjang satu kilometer di tebing Sungai Perak serta pertunjukan bunga api selama setengah jam bermula pukul 9.25 malam.

Lebih 6,500 pengunjung termasuk 5,000 jemputan khas turut dijamu dengan pelbagai juadah makanan seperti nasi beriyani dan nasi tomato pada Jamuan Rakyat di Arena Square tajaan Raja Muda Perak sempena perkahwinan baginda dengan Tuanku Zara.

Mereka juga berkesempatan untuk menyaksikan secara langsung istiadat persandingan diraja di Balai Rong Seri, Istana Iskandariah, Bukit Chandan yang dipaparkan melalui siaran litar tertutup di dua skrin besar di Arena Square.

Pengunjung yang tiba seawal pukul 6 petang menjadikan bandar Kuala Kangsar yang sebelum ini tenang pada sebelah siangnya, menjadi sesak selepas sejam kemudiannya dengan kenderaan bertali arus.

Bagaimanapun seramai 100 anggota polis yang bertugas sejak petang berjaya mengawal lalu lintas dengan kebanyakan daripada jalan di sekitar bandar itu terutamanya Jalan Taiping dijadikan laluan sehala.

Jeti penambang berdekatan dengan Arena Square yang menyediakan bot penambang dari Sayong ke Lembah (Bandar Kuala Kangsar) pula kelihatan tidak putus-putus dengan penumpang yang ingin turut serta menyaksikan lampu panjut dan menghadiri jamuan rakyat itu.

Beberapa pengunjung yang ditemui berkata mereka tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan istiadat persandingan diraja itu yang turut dihadiri Sultan-Sultan, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan golongan kenamaan.

Persara kerajaan, Shaharani Hassan, 65, dari Parit, Perak berkata beliau tiba di Arena Square seawal pukul 6.30 petang bersama ahli keluarganya dengan dua buah kereta.

"Pakcik dah pakat nak mari ke sini minggu lepas lagi sejak tengok berita perkahwinan Raja Muda Perak di TV. Sambil-sambil tu nak bawa cucu-cucu tengok bunga api dan lampu panjut," katanya.

Bagi bekas anggota tentera yang hanya mahu dikenali sebagai Alias, beliau datang bersama keluarganya untuk bersama-sama meraikan kegembiraan pasangan diraja itu.

"Kami datang bukan nak makan tapi sama-sama tengok sendiri Raja Muda dan Raja Puan Besar bersanding. Maklumlah dah lama rakyat Perak tunggu Raja Muda berkahwin," katanya yang berasal dari Lenggong, Perak.

Istiadat persandingan itu turut disiarkan secara langsung menerusi paparan skrin besar di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.

Empat ambulans daripada Hospital Kuala Kangsar, Hospital Sg. Siput dan Hospital Changkat Melintang dengan 19 anggota juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Arena Square dan Istana Iskandariah sepanjang istiadat berlangsung.

No comments: