Sunday, May 20, 2007

ZAM SELAR MEDIA SALAHGUNA KETELUSAN KERAJAAN



Datuk Seri Zainuddin Maidin

SUNGAI PETANI, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyelar pengamal media tertentu yang menyalahgunakan ketelusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memainkan isu politik yang bersifat perkauman.

Katanya perbuatan itu juga boleh merungkai kontrak sosial yang selama ini diterima dengan baik oleh kaum utama Melayu, Cina dan India.

"Bagi saya apa jua kebebasan (media) tak boleh keluar daripada kontrak sosial," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra parti komponen Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Merbok di sini Sabtu malam.

Beliau berkata perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial itu tidak perlu diungkit oleh media kerana ia membawa kepada kesan negatif.

Zainuddin yang juga anggota Parlimen Merbok kecewa kerana perkara seperti peristiwa 13 Mei telah cuba dibangkitkan semula selain dasar Maybank dalam mengenakan syarat pemilikan 50 peratus kepentingan Bumiputera dalam firma guaman dan isu bangunan Parlimen "bocor" yang turut diutarakan secara meluas oleh media tertentu.

Penyalahgunaan ketelusan yang diberikan Abdullah sebagai peneraju negara, boleh merobek asas kekuatan bangsa Malaysia yang selama ini hidup dalam suasana bersatu padu, katanya.

Mengenai penerbitan buku "13 Mei: Di sebalik Dokumen Sulit Rusuhan 1969" oleh bekas anggota parlimen Petaling Jaya (DAP) Dr Kua Kia Soong, beliau berkata buku itu hanya membangkitkan perasaan tidak senang orang ramai.

Katanya walaupun kerajaan belum mengharamkan buku tulisan bekas tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu namun laporan media tertentu sengaja menyebut ia telah diharamkan dan buku itu telah habis dijual.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pandangan negatif individu tertentu terhadap kerajaan melalui laman blog mereka.

"Mereka cuba timbulkan perasaan sakit hati orang ramai (melalui blog mereka)," katanya.

Ketika berucap sebelum itu, beliau berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kira-kira 30 tahun lalu telah berjaya membentuk masyarakat Malaysia yang kukuh dan kekuatan negara melalui perpaduan kaum perlu sentiasa dipertahankan.

No comments: