Sunday, April 29, 2007

KONGSI KUASA BN RESIPI KEJAYAAN

28 April, 2007 22:58 PM

Kemenangan Di Ijok Bukti BN Masih Popular

KUALA SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok malam ini menunjukkan parti pemerintah itu masih popular di kalangan rakyat dan rakyat terus mempunyai keyakinan kepada BN.

Katanya kemenangan ini juga menggambarkan sokongan rakyat kepada kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kemenangan ini signifikan dan besar ertinya kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan kempen yang sangat agresif...mereka telah buat macam-macam tohmahan dan fitnah terhadap pemimpin-pemimpin BN tetapi kita tetap sabar dan tabah," katanya kepada pemberita di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai selepas pengumuman kemenangan itu.

Sambil menyifatkan majoriti yang diterima juga lebih baik daripada pilihan raya umum 2004, Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat telah memilih sebuah parti yang bertanggungjawab dengan mengambil kira nasib masa depan "yang tidak dapat dipisahkan daripada BN".

"Rakyat tolak pembangkang...dan memberi kepercayaan kepada BN," katanya.

K. Parthiban, 38, memenangi kerusi DUN Ijok setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 61, dengan majoriti 1,850 undi dalam pilihan raya kecil hari ini.

Mengenai peratusan tinggi keluar mengundi iaitu 81.88 peratus, Najib berkata: "(Ini menunjukkan) demokrasi amat segar di hati sanubari pengundi dan mereka menggunakan hak dalam perlembagaan...saya anggap satu yang baik."

Najib juga berkata dengan kemenangan itu, BN telah mencapai lima kemenangan dalam pilihan raya kecil dengan empat daripadanya dengan undi majoriti yang bertambah, termasuk dalam pilihan raya kecil terbaru ini. Empat pilihan raya kecil yang telah dimenangi BN sebelum ini ialah di Kuala Berang (Terengganu), Permatang Pasir (Kelantan), Batu Talam (Pahang) dan Machap (Melaka).

Mengenai tuduhan pembangkang konon wujudnya pengundi hantu, Najib sekali lagi menafikannya dengan berkata: "Tidak ada pengundi hantu sama sekali."

Mengenai harapannya pada Parthiban, Najib berharap wakil rakyat muda kelahiran Kuala Selangor itu akan memenuhi harapan pengundi di DUN Ijok.

Najib juga ditanya sama ada kemenangan BN di DUN Ijok bermakna pilihan raya umum sudah dekat.

"Ini adalah satu petanda yang baik untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata tempoh mengadakan pilihan raya umum akan bergantung kepada banyak faktor lain.

"Tetapi kita tidak mahu mendedahkannya...saya yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) tahu bila hendak mengadakan (pilihan raya umum akan datang)," katanya.

No comments: