28 April, 2007 21:08 PM
BN Kekalkan Kerusi DUN Ijok
KUALA SELANGOR, 28 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dengan majoriti 1,850 undi apabila calonnya K. Parthiban menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada pilihan raya kecil hari ini.
Kemenangan BN itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Haris Kassim di pusat penjumlahan undi di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai di sini, kira-kira pukul 8.40 malam ini.
Parthiban, 39, bekas guru dan Setiausaha MIC Tanjung Karang, Selangor memperoleh 5,884 undi manakala Abdul Khalid, 61, tokoh korporat dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad memperoleh 4,034 undi.
BN juga berjaya meningkatkan majoriti undi pada kali ini berbanding majoriti 1,649 undi pada pilihan raya umum 2004.
Pengalaman bertanding dalam pilihan raya itu juga adalah pengalaman pertama bagi kedua-dua calon.
Sebanyak 10,049 orang atau 81.88 peratus daripada 12,272 pemilih telah mengundi mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang ini di sembilan pusat pengundian yang menyediakan 28 saluran pengundian.
Pilihan raya kecil Ijok juga mencatat peratusan keluar mengundi paling tinggi dalam sejarah pilihan raya kecil yang pernah diadakan di negara ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk K. Sivalingam, 59, dari BN pada 4 April lepas di Chennai, India, akibat serangan jantung.
Pada pilihan raya umum 2004, Sivalingam menang dengan kelebihan 1,649 undi mengalahkan calon PKR, Abdol Rahman Moharam, dan calon Bebas, Mohamed Shariff Nagoorkani.
Pemilih berdaftar di DUN Ijok terdiri daripada 51 peratus Melayu, 28 peratus kaum India dan 21 peratus Cina.
Daripada 12,272 pengundi, sebanyak 39 orang adalah pemilih pos.
Kawasan DUN Ijok yang merupakan kerusi tradisi MIC sejak 1990, merupakan antara kubu kuat BN.
Ini adalah cubaan kedua PKR untuk merebut kerusi itu selepas pilihan raya umum 2004.
Sunday, April 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment