Thursday, April 19, 2007

NAJIB JAWAB TOHMAHAN

BERITA UTUSAN MALAYSIA


TPM selar pembangkang kaitkan dirinya dengan kes Altantuya

KUALA SELANGOR 18 April – Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar sikap parti pembangkang yang gemar menggunakan strategi serangan peribadi dengan membuat tuduhan melulu termasuk mengaitkan dirinya dengan kes Altantuya.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak takut dikaitkan dengan kes tersebut kerana semua pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih mengetahui keadaan sebenar.

‘‘Jangan hendak main tipu, jangan main politik kotor. Polis tahu, Peguam Negara tahu dan Perdana Menteri pun tahu,’’ katanya ketika melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di sini malam ini.

Pada 16 Oktober lalu, seorang penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat membunuh seorang model sambilan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 28, bersama dua anggota polis di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara pukul 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober 2006.

Cebisan mayat Altantuya ditemui di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November 2006.

Turut hadir pada majlis malam ini, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan beberapa pemimpin parti komponen BN lain.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO turut kesal dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus-terusan menggunakan strategi serangan peribadi untuk memalukan dirinya.

Tegasnya, beliau juga boleh menggunakan kaedah yang sama untuk membongkar segala rahsia peribadi pemimpin pembangkang tersebut.

“Kalau saya hendak bongkar saya pun boleh buat macam itu tetapi saya tidak mahu kerana memikirkan dia mempunyai isteri dan anak.

“Jika nak lawan lawanlah, jangan sentuh soal peribadi, kita pun boleh bongkar rahsia,” katanya.

Menurutnya, Anwar yang pernah menjadi Menteri Kewangan, bertanggungjawab terhadap kejatuhan ekonomi negara pada tahun 1998 kerana mengikut telunjuk Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ekoran tindakan itu, tambahnya, kerajaan terpaksa campur tangan bagi mengelakkan daripada negara menjadi bangkrap.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, BN bukan sebuah parti yang memainkan politik perkauman seperti parti pembangkang.

Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletakkan calon Melayu di Ijok, jelasnya, mem- buktikan parti pembangkang itu secara terang-terangan memainkan politik perkauman.

‘‘Ada yang kata kita patut beri kerusi kepada UMNO untuk bertanding dalam DUN Ijok.

‘‘Ini kerana 52 peratus pengundi di Ijok ialah Melayu, tetapi kita letak calon MIC kerana kita pentingkan persepakatan kaum melalui BN,” katanya.

Menurutnya, DUN Ijok mempunyai 27 peratus pemilih India iaitu yang paling besar dalam negara.

Malah, katanya, Ijok mempunyai lebih pemilih India berbanding Sungai Siput (kawasan Presiden MIC) iaitu 22 peratus dan melebihi Hulu Selangor (kawasan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel) iaitu 20 peratus.

‘‘Jadi memanglah berpatutan kita letakkan calon MIC di sini kerana kita meletakkan kepentingan semua kaum,” tegasnya.

Mengulas calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau berkata, walaupun Abdul Khalid merupakan tokoh korporat yang hebat tetapi beliau tidak mendapat sokongan akar umbi dan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang baik seperti calon BN.

1 comment:

bakaq a.k.a ~penarik beca said...

Tuan/Puan pemilik blog yang dihormati

Salam

Mohon maaf kerana mengacau. Jika Tuan/Puan sudi dan mempunyai masa, harap lawati Malaysiakita Posting terkini Tuan/Puan disenaraikan. Salam.