26 April, 2007 19:04 PM
Pencalonan Parthiban Bukti BN Pentingkan Tradisi Kongsi Kuasa
KUALA SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilihan K. Parthiban sebagai calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok membuktikan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan tradisi perkongsian kuasa antara kaum di negara ini selain mementingkan keharmonian dan persefahaman masyarakat majmuk.
Perdana Menteri berkata tidak ada mana-mana pihak termasuk daripada parti komponen BN yang mempertikaikan pencalonan Parthiban, bekas guru berumur 38 tahun yang juga Setiausaha MIC Tanjung Karang untuk bertanding kerusi DUN itu yang kosong setelah kematian penyandangnya dari BN Datuk K. Sivalingam pada 4 April lepas.
"Tidak ada masalah daripada segi sokongan, tidak ada siapa yang pertikai kerana tradisi BN berkongsi kuasa.
"BN bermuafakat termasuk (dalam soal) pemilihan calon yang dipilih pucuk pimpinan parti," katanya ketika berucap melancarkan tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Estet Selangor di Dewan Seri Harmoni Ijok, di sini.
Kenyataan Abdullah itu menafikan dakwaan parti pembangkang dalam kempen mereka yang berbaur perkauman apabila mereka mendakwa kononnya berlaku perselisihan di kalangan komponen BN kerana calon MIC itu tidak direstui Umno dan pengundi Melayu yang merupakan penduduk majoriti Ijok.
Sebanyak 51 peratus pengundi berdaftar di Ijok terdiri daripada kaum Melayu, manakala India (28 peratus) dan bakinya kalangan Cina dan kaum lain.
Perdana Menteri berkata sebelum ini juga menjadi amalan BN meletakkan calon yang boleh diterima dengan baik di kalangan penduduk setempat selain mampu memberi khidmat sama rata tanpa mengira kaum.
"Calon-calon yang terdahulu seperti mendiang Tan Sri N. S Maniam dan Datuk M. Mahalingam yang pernah jadi wakil rakyat dulu memang sangat-sangat disayangi penduduk di sini dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat yang baik," katanya.
Abdullah berkata Parthiban sendiri mempunyai kualiti sama iaitu calon terbaik dengan latar belakang yang sesuai untuk penduduk Ijok.
Katanya latar belakang calon itu yang sanggup tidak berkahwin semata-mata untuk memastikan kejayaan adik-adiknya setelah kematian ibu bapanya menunjukkan Parthiban seorang yang bertanggungjawab, tahu menghargai keluarga dan paling layak mewakili penduduk Ijok.
Secara berseloroh, Abdullah yang memandang ke arah Parthiban secara spontan bertanya: "betul ke tak kawin lagi? saya pun tak kawin lagi," hingga menimbulkan gelak ketawa di kalangan kira-kira 2,000 orang yang hadir pada majlis itu.
Perdana Menteri berkata dalam pertemuannya dengan Parthiban hari ini, calon itu berjanji untuk menjadi wakil rakyat yang disayangi penduduk dan memberi jaminan akan memberi khidmat kepada rakyat semua kaum di kawasan itu.
Menurutnya walaupun sebelum ini ada kedengaran bahawa wakil rakyat BN terdahulu iaitu Datuk K.Sivalingam gagal bertugas dengan baik, pemimpin itu yang baru meninggal dunia kerana sakit jantung, diketahui mempunyai masalah kesihatan.
"Mungkin dia (Sivalingam) selalu sakit dan tak dapat bekerja. Sebab itu kita kali ini pilih pemimpin muda yang sihat dan boleh bekerja seperti Parthiban yang menjadi calon paling baik," katanya.
Sementara itu, ketika berucap di Bilik Gerakan MCA di Pekan Ijok, di sini pula, Abdullah meminta masyarakat Cina untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN.
"Kalau kita mahu perpaduan di negara ini kita perlu sokong-menyokong antara satu sama lain," katanya kepada kira-kira 800 masyarakat Cina yang kebanyakannya penghuni kawasan rumah kedai di kawasan itu.
Menurutnya Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang berjaya kerana selama ini semua kaum utama terdiri Melayu, India dan Cina bersepakat dan menjayakan perkongsian kuasa dalam membentuk kerajaan negara ini.
"Ini sangat penting bagi Malaysia, dan Malaysia berjaya kerana kekuatan ini iaitu kerana kesepakatan semua kaum dan perkongsian kuasa," katanya.
Beliau berkata dengan sokongan dan pemilihan Parthiban sebagai bakal wakil rakyat di kawasan itu akan membolehkan tradisi untuk melihat semua wakil rakyat di negara ini terdiri daripada berbilang kaum dapat diteruskan.
"Dalam pemerintahan mesti ada wakil semua kaum, walaupun sedikit.
"Sebenarnya inilah yang rakyat mahu iaitu melihat ada wakil dari semua kaum supaya rakyat dan negara terus maju," katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta semua pengundi berbilang kaum di DUN Ijok untuk memastikan semangat berkompromi antara kaum di negara ini diteruskan dengan mengundi Parthiban.
"Semua mesti keluar awal untk mengundi BN," katanya mengakhiri ucapan sambil diikuti sorakan "BN Boleh" bagi menandakan persetujuan mereka yang hadir untuk menyokong calon BN itu.
Lawatan Perdana Menteri dengan mengunjungi beberapa bilik gerakan parti komponen BN di DUN Ijok disambut baik semua pihak kerana mampu membakar dan menaikkan semangat jentera BN untuk menghadapi gerakan parti pembangkang yang diketuai oleh PKR.
Daripada kaca mata penduduk Ijok pula, kunjungan Abdullah itu menunjukkan keprihatinan pemimpin itu terhadap kebajikan mereka apabila sanggup "turun padang" melihat sendiri keadaan dan pembangunan di kawasan itu.
Thursday, April 26, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment