Thursday, April 26, 2007

JANGAN PERLEKEH KEBIJAKSANAAN RAKYAT

26 April, 2007 19:38 PM

Zainuddin Persoal Tindakan Media Asing


KUALA SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin hari ini mempersoalkan kecenderungan sesetengah media asing yang memberikan liputan dan publisiti kepada individu tertentu dari sebuah parti yang telah hilang kredibilitinya di Malaysia.

"Kita pun tidak faham apa sebab. Kita tidak boleh `undermind intelligence' (perlekeh kebijaksanaan) rakyat Malaysia, parti yang ada sekarang di Parlimen dilantik melalui proses pilihan raya," katanya selepas melancarkan Komuniti Bestari Mukim Ijok di sini

Mengikut konsep demokrasi, keutamaan diberikan kepada orang yang mendapat sokongan yang banyak dan kalau pembangkang ketuanya ialah Lim Kit Siang dari DAP.

"Kita dapat melihat ada satu usaha integrated (bersepadu) untuk mencampuri urusan dalaman negara kita," katanya.

Zainuddin juga berkata mengapa sesetengah media Inggeris, Dubai, Timur Tengah, British, Amerika Syarikat memberikan perhatian dan liputan kepada individu ini yang telah kalah pada pilihan raya.

"Mereka mempunyai agenda untuk campur tangan dalam politik di Malaysia untuk mengganggu gugat kestablilan poliik di negara ini," katanya.

Beliau berkata malangnya ada juga di antara "orang suratkhabar kita" yang merasa seronok apabila diangkat oleh media asing kononnya mengangkat kebebasan bersuara dan sebagainya sedangkan acuan kebebasan di negara kita tidak sama dengan Barat.

"Kenapa kita ambil penilaian orang luar untuk approve (benarkan) apa kita buat. Ini seolah-olah ada `recognisation from the West this is right' (ada pengiktirafan dari Barat, kira baiklah)," katanya.

Zainuddin juga berkata beliau kesal dengan tindakan pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan kepada polis semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok semata-mata untuk menimbulkan kemarahan pihak kerajaan.

"Ini adalah tidak baik kerana pihak polis bertindak mengikut peraturan dan jika polis ingin menahan seseorang penjenayah yang berada di tengah-tengah kumpulan pembangkang, mereka seharusnya faham bahawa polis hendak menahan penjenayah berkenaan dan bukan mengambil tindakan terhadap mereka."

Zainuddin berkata semua parti sepatutnya sedar bahawa ketiadaan polis untuk berkawal di sesuatu kawasan pilihan raya atau pilihan raya kecil hanya akan memburukkan lagi keadaan dan tindakan pembangkang yang cuba menghakis keyakinan orang ramai terhadap polis adalah satu tindakan yang tidak wajar.

No comments: