Tuesday, April 10, 2007

TAK PAYAH LE...WAJIBKAN DAFTAR

09 April, 2007 20:44 PM

Kerajaan Belum Bercadang Wajibkan Penulis Blog Mendaftar, Kata Abdullah


KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kerajaan belum bercadang mewajibkan semua penulis blog tempatan mendaftar, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata kerajaan berpendapat undang-undang dan peraturan sedia ada sudah mencukupi untuk bertindak terhadap penulis blog yang melampau jika diperlukan.

"Undang-undang sedia ada sudah mencukupi. Ia akan dikuatkuasakan bila ia perlu dikuatkuasakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kampus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini.

Perdana Menteri berkata beliau turut menerima maklumat bahawa ramai pihak menyatakan kekesalan dengan aktiviti penulis blog yang menyebarkan maklumat tidak berasas.

Abdullah berkata beliau tidak yakin tindakan mendaftar penulis blog akan menyelesaikan sepenuhnya masalah penyebaran maklumat tidak berasas itu.

"Walaupun diminta berdaftar, mungkin sesetengah daripada mereka tidak mematuhi arahan dan menggunakan saluran lain melalui server luar (negara)," katanya.

Ditanya mengenai satu laporan luar negara tentang urusniaga balak yang mengaitkan nama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Abdullah berkata: "Saya tidak sedar mengenainya".

Menurut laporan agensi asing pada 29 Mac, Taib dibabitkan dengan sogokan daripada eksport balak berjumlah 1.1 bilion yen (RM32 juta).

Laporan itu menyebut bahawa sembilan syarikat perkapalan Jepun yang mengangkut kayu gergaji dari Sarawak didakwa gagal melaporkan pendapatan keseluruhan berjumlah kira-kira 1.1 bilion yen bagi tempoh tujuh tahun sehingga Mac lepas.

Laporan itu mendakwa wang terbabit merupakan sogokan kepada pegawai Sarawak menerusi sebuah ejen di Hong Kong yang mempunyai hubungan dengan Taib dan keluarganya.

-- BERNAMA

No comments: