Wednesday, May 11, 2011

UCAPAN PRESIDEN UMNO MALAYSIA


KUALA LUMPUR, 10 Mei -- Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh ahli parti untuk meningkatkan usaha dan bekerja keras bagi mencipta masa depan negara yang cemerlang termasuk di persada antarabangsa.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan bukan wujud secara semulajadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam kepimpinan dan ahli UMNO sepanjang 65 tahun penubuhannya.

"Dalam usia 65 tahun, UMNO telah menempuh pelbagai cabaran serta dugaan dan pengalaman ini telah menjadikan UMNO parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata. Ia telah mencanai UMNO dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan landskap politik semasa," katanya.

"Dalam usia 65 tahun, UMNO telah menempuh pelbagai cabaran serta dugaan dan pengalaman ini telah menjadikan UMNO parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata. Ia telah mencanai UMNO dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan landskap politik semasa,"

Beliau berkata demikian dalam perutusan melalui UMNO-Online sempena Ulang Tahun UMNO ke-65 yang akan diraikan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Mei ini.

Ujarnya, badai yang melanda UMNO pada pilihan raya umum yang lalu bukanlah alasan untuk terus bersikap pesimistik atau tersu mengeluh panjang dan mengenang perkara lalu.

"Hakikatnya, jika kita masih lagi tidak mengenal pasti apa kesilapan kita dan mengambil langkah-langkah pembetulan maka sebenarnya ia hanya menempah masa depan yang kelam untuk parti dan rakyat. Kini adalah masa untuk bertindak dan bekerja bukannya masa untuk bernostalgia dan beremosi.

"Justeru seluruh ahli parti perlu meningkatkan usaha untuk memantapkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. Bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera, jangan sesekali biarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya."

Tegasnya lagi, ingatlah jasa-jasa lalu akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika kita gagal dalam ujian yang besar ini.

"UMNO perlu terus gagah dan relevan untuk melakar jasa-jasa baru demi agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO ketujuh turut mengimbas perjuangan UMNO yang bermula sebelum merdeka telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah parti politik yang bukan hanya mampu menyatukan orang Melayu tetapi juga untuk menerajui pemerintahan negara.

"Sejarah telah membuktikan betapa besarnya peranan dan sumbangan UMNO malah kita tidak akan lupa jasa-jasa tokoh-tokoh seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta lain-lain tokoh UMNO yang begitu banyak berjasa.

"Kita perlu meneruskan perjuangan pendahulu-pendahulu kita untuk menjadi juara rakyat dan bersama-sama rakan-rakan komponen BN perlu memastikan agar hari ini untuk warga Malaysia adalah lebih baik dari hari semalam." - MediaUMNO

No comments: