Oleh Warga Risau (Sungai Buloh)
KE mana arah rakyat pelbagai kaum hendak dibawa? Adakah kita mahu keadaan yang hari demi hari dilanda prasangka antara kaum yang tidak sudah-sudah? Apa sahaja perkara yang menyinggung perasaan antara kaum dibangkitkan dari semasa ke semasa.
Melihat trend yang dimainkan oleh orang politik dan penyokongnya, perpaduan kaum kita berada dalam bahaya.
Kerajaan kena hentikan semua ini. Paling bahaya jika saluran media televisyen digunakan untuk menyebarkan dakyah yang boleh mempengaruhi minda rakyat ke arah perasaan benci antara satu sama lain, terutama berkaitan dengan perpaduan kaum.
Sebab itu saya menyokong tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan sementara slot tiga program bual bicara iaitu What Say You yang dikendalikan dalam bahasa Mandarin di saluran RTM2, Bersemuka Dengan Media dan Eksklusif Bersama KSU (Ketua Setiausaha) di RTM1 dalam bahasa Melayu.
Tetapi antara ketiga-tiga program itu, saya rasa What Say You sudah lari daripada matlamat. Nampak sangat agenda program sudah terpesong. Pengendali program itu nampak semacam sengaja mahu mempersoalkan perkara-perkara sensitif termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kalau pun hendak membincangkan sesuatu isu secara terbuka, penerbit juga kena berhati-hati. Dari sudut kaum Cina, ia bagus untuk menghentam dan mengkritik kepimpinan dan orang Melayu serta dasar-dasar kerajaan.
Tetapi bagaimana perasaan orang Melayu? Bagaimana sebuah stesen kerajaan boleh membenarkan perkara-perkara negatif disiarkan.
Kepada pemimpin Cina, mereka tidak perlu gundah dan kecewa dengan penstrukturan semula program What Say You. Mereka kena fikir kesan program itu kepada perpaduan nasional.
Program yang dihentikan itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana dua lagi program yang dikendalikan dalam bahasa Melayu turut dihentikan tapi tidak pula menimbulkan apa-apa isu di kalangan orang Melayu. Jadi, tolong jangan politikkan program yang hanya mahu mengapi-apikan sentimen perkauman.
Memandangkan program What Say You disiarkan pada waktu puncak pukul 7 malam, tetapi menduduki tangga bawah dalam program bual bicara maka pada saya elok program ini dihentikan sahaja.
Jika mahu diteruskan pastikan kandungannya dan pengendali program memahami aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara harmoni dan memahami perasaan berbilang kaum.
Satu lagi isu yang kini diheboh-hebohkan di kalangan masyarakat Cina ialah program berita Mandarin yang disiarkan pada pukul 8 malam di RTM2 akan dialihkan ke pukul 8 malam di RTM1 dalam penstrukturan semula program RTM pada Januari tahun depan.
Mereka langsung tidak mahu beralah. Melalui penstrukturan semula itu, jumlah waktu siaran berita Mandarin sebanyak sejam akan dikurangkan kepada setengah jam sehari. Tetapi kini sesetengah pemimpin MCA meminta waktu siaran berita Mandarin di RTM dikekalkan sebanyak sejam sehari atau dilanjutkan waktu penyiarannya.
Persoalannya, adakah siaran berita Mandarin sekarang ditonton oleh masyarakat Cina atau mereka sibuk menonton siaran bahasa Mandarin di Astro. Jika sesuatu perubahan yang ingin dilakukan oleh RTM sudah ditentang sejak dari awal, sampai bila RTM dapat berubah.
Biarlah RTM melakukan pembaharuan pada Januari 2009. RTM mempunyai tanggungjawab besar dalam pembangunan negara dan pemikiran rakyat.
Oleh itu, saya menggesa pihak tertentu supaya tidak terlalu sensitif dengan perkara sebegini dan meminta mereka memfokuskan kepada konsep pemberitaan baru melalui RTM yang disampaikan kepada masyarakat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment