Tuesday, May 31, 2011

SKANDAL SEKS DI PERANCIS

PARIS 30 Mei - Timbalan Menteri Perkhidmatan Awam Perancis, Georges Tron yang meletak jawatan semalam berikutan dakwaan melakukan serangan seksual ke atas dua wanita, memfailkan dakwaan fitnah terhadap wanita-wanita berkenaan.

Kerajaan pimpinan Presiden Nicolas Sarkozy, semalam dikejutkan dengan tindakan Tron mengumumkan peletakan jawatannya selepas beliau berhadapan siasatan berhubung dakwaan serangan seksual dan rogol yang dikemukakan dua pekerja wanita sebuah Dewan Perbandaran.

Surat peletakan jawatan timbalan menteri itu diserahkan kepada Presiden dan Perdana Menteri, Francois Fillon, semalam.

Dalam surat tersebut, Tron yang menyertai kerajaan Sarkozy pada Mac tahun lalu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai 'tidak masuk akal' dan bersifat 'dendam peribadi' selepas beliau memecat dua wanita berkenaan.

Jelas beliau, seorang daripada wanita itu dipecat kerana menipu, sementara seorang lagi dibuang kerja kerana 'berkelakuan tidak senonoh'.

Peguam bekas timbalan menteri itu semalam turut menyifatkan wanita-wanita tersebut sebagai 'kaki pembohong'.

Dua wanita itu yang masing-masing berumur 34 dan 36 tahun dalam aduan mereka mendakwa, Tron telah melakukan serangan seksual terhadap mereka semasa bekerja di Dewan Perbandaran Draveil ketika beliau bertugas sebagai Datuk Bandar.

Insiden itu didakwa berlaku antara 2007 hingga 2010.

Pendedahan terbaru ini berlaku dua minggu selepas Perancis dikejutkan dengan penahanan bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Khan yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel di New York. - Agensi.

No comments: