Wednesday, May 11, 2011

PULIHARA TAPAK WARISAN DUNIA

Daripada Leslean Arshad

PARIS, 11 Mei (Bernama) - Malaysia, yang memiliki pelbagai pengiktirafan dalam warisan dan budaya, berminat untuk menawarkan perkhidmatan bagi melindungi dan memulihara warisan budaya dunia.

Semasa berucap pada mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) Selasa, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia sangat berminat untuk memainkan penting sebagai anggota Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC), jika dipilih tahun ini.

Menyambut baik komitmen Unesco bagi memulihara warisan budaya dunia, TS Muhyiddin berkongsi pandangannya dengan anggota forum berkenaan bahawa bagi memastikan tapak-tapak warisan dilindungi dan kekal sebagai lambang keamanan, dialog dan perdamaian, ia memerlukan kebertangungjawaban bersama.

"Malaysia dengan ini bersedia menawarkan perkhidmatan ke arah melindungi dan memulihara warisan budaya dunia demi kebaikan generasi masa hadapan," katanya.

Beliau berkata Malaysia telah melatih ramai pakar dalam bidang arkeologi, perlindungan dan pengurusan warisan budaya dan alam semula jadi dengan kepakaran mereka boleh digunakan bagi meningkatkan perlindungan warisan dunia.

TS Muhyiddin turut memaklumkan forum itu bahawa Malaysia juga kini giat mempromosi dan memulihara warisan kebudayaan dan alam semula jadinya mengikut mandat Akta Warisan Kebangsaan, yang mengambil contoh beberapa akta warisan termasuk konvensyen berhubung Perlindungan Budaya Dunia dan Warisan Alam 1972.

Selain itu, Malaysia turut mendapat pengiktirafan Unesco Memory of the World, inskripsi Tapak Warisan Dunia dan dalam senarai daftar wakil Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Nyata 2003.

Dalam ucapannya yang turut menyentuh tentang Pendidikan Untuk Semua (EFA), TS Muhyiddin mengulangi sokongan kukuh Malaysia kepada usaha-usaha Unesco untuk memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dengan menambah baik penyelarasan global EFA serta memperkukuhkan kerjasama antarabangsa.

TS Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan Malaysia pada masa ini sedang melaksanakan tindakan-tindakan komprehensif bagi meningkatkan hasil pendidikan dengan memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti sebagai elemen utama dalam Program Tansformasi Kerajaan (GTP).

Beliau berkongsi pengalaman mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam pendidikan berhubung usaha memperluaskan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak dengan menambah kadar pengambilan prasekolah, meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan menyediakan insentif bagi kepimpinan sekolah dan guru-guru cemerlang.

TS Muhyiddin berkata kedua-dua sektor swasta dan awam di Malaysia kini terlibat dan usaha bersepadu bagi mengembangkan akses kepada pendidikan awal.

"Menerusi kerjasama erat dengan sektor swasta, kerajaan Malaysia akan membuka lebih banyak kelas prasekolah bagi memberi peluang kepada semua kanak-kanak Malaysia mendapat pendidikan awal berkualiti tanpa meminggirkan peruntukan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan mereka yang memerlukan pendidikan berterusan ketika tempoh rawatan di hospital dan pusat-pusat lain," katanya.

Dalam ucapannya yang turut menyentuh tentang usaha mempromosikan budaya keamanan, TS Muhyiddin menggesa Unesco supaya memberi bantuan kepada Pihak Berkuasa Palestin bagi pembangunan penuh pendidikan dan institusi-institusi kebudayaan di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Jerusalem Timur sebagai sokongan berterusan ke arah kedamaian dan kestabilan di rantau, yang boleh dikatakan sebenarnya sebagai tapak pusaka tiga agama utama dunia.

Malaysia menjadi anggota Unesco sejak Jun 1958 dan menjadi anggota Lembaga Eksekutif yang terdiri daripada 58 negara.- BERNAMA

No comments: