Daripada Leslean Arshad
PARIS, 12 Mei (Bernama) -- Sokongan terhadap Malaysia yang menawarkan diri untuk menduduki kerusi Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) menunjukkan kemajuan yang mengalakkan hasil interaksi dengan negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Katanya Malaysia menyuarakan hasrat untuk bertanding bagi menganggotai jawatankuasa itu dalam satu pertemuan yang dihoskan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini Selasa, yang dihadiri hampir kesemua wakil negara anggota Unesco yang hadir sempena mesyuarat lembaga eksekutif badan itu.
"Pendirian Malaysia untuk menganggotai majlis itu sudah diketahui. Harap ia memberi satu pendaftaran awal dan kita dapat meneguhkan pendirian (sokongan) tersebut," katanya ketika ditemui wartawan Malaysia di sini Rabu.
Bagi meneruskan usaha mendapat sokongan, Rais berkata Malaysia akan terus berinteraksi menerusi internet, bertukar-tukar lawatan dan penerbitan serta berhubung dengan pihak yang berminat dalam bidang berkaitan warisan seperti World Heritage Site.
Ketika berucap pada mesyuarat lembaga eksekutif Unesco di sini Selasa, Muhyiddin berkata Malaysia berhasrat memainkan peranan dengan lebih penting lagi dalam mengekalkan warisan dunia untuk generasi akan datang, jika terpilih menganggotai Jawatankuasa Warisan Dunia tahun ini.
Ini merupakan kali pertama Malaysia menawarkan diri untuk menganggotai jawatankuasa itu, dan antara profesional yang dicadang Malaysia menganggotainya ialah pakar-pakar seperti Pesuruhajaya Warisan Datuk Prof Zuraina Majid dan timbalannya Prof A.Ghafar Ahmad.
Mengenai usaha bagi mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia bagi Lembah Lenggong, Perak dan Lembah Bujang, Kedah, Rais berkata perkara itu menunjukkan perkembangan yang menggalakan dan penilaian mengenainya akan diketahui pada bulan Januari nanti.
Katanya Pesuruhjaya Warisan sudah mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan bagi mendapatkan pengiktirafan tersebut.
"Kedua-dua tempat ini sedang meningkat ke tahap unik bagi Malaysia kerana tamadum di dua tempat ini sangat lama," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment