Monday, May 30, 2011

RAIS TEGUR SENIMAN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini menegur para penggiat seni tempatan yang dilihat tidak serius meraikan Hari Seniman.

Beliau berkata, kerajaan sudah menyediakan pelbagai peluang dan sokongan tetapi tindakan penggiat seni yang memandang sepi sambutan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia dianjurkan khusus untuk mereka.

"Di mana mereka petang ini? Ini soal kita (seni). Kenapa orang seni tidak datang untuk meraikannya?

"Dana Industri Kreatif yang berjumlah RM200 juta sudah diagihkan kepada pihak dan syarikat tertentu. Malangnya mereka itu pun tidak kelihatan petang ini.

"Ini adalah satu teguran ikhlas kerana kita sudah bersusah payah mewujudkan Hari Seniman sejak 2006 bagi meraikan mereka. Jadi kita perlu sokong," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sepetang Bersama Seniman sempena Hari Seniman di Kompleks Kraf, Jalan Conlay di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan kepada para penggiat seni tanah air dan antara penerima ialah Norman Abdul Halim bagi kategori perfileman; Mior Hashim Manap (teater); Datuk Aziz Sattar (Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia) dan Datuk Zainal Abidin (Gabungan Penulis Nasional).

Rais berkata, sambutan dingin penggiat seni tanah air perlu dianalisis dan diatasi demi memastikan kepentingan perjuangan seni tanah air terus terbela.

Ini kerana, tegas beliau, kerajaan hanya boleh membantu menyokong aktiviti dan pembangunan seni negara tetapi insan seni sendiri perlu berdikari untuk menjayakannya.

Dalam pada itu, Rais berkata, sambutan Hari Seniman pada masa hadapan perlu mencerminkan konsep 1Malaysia dengan penglibatan tenaga lama dan baru.

Ia, katanya, penting kerana seni berupaya menyatukan masyarakat memandangkan kesenian mempunyai bahasa dan nilai tersendiri tanpa melibatkan unsur politik atau sentimen lain. - UTUSAN.

No comments: