Saturday, August 25, 2007

TINDAKAN TEGAS WAJAR : ZAM

SUNGAI PETANI, 25 Ogos (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidain berkata tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) menggantung permit penerbitan akhbar harian bahasa Tamil, Makkal Osai adalah wajar demi memelihara perpaduan negara.

Beliau berkata tindakan itu juga sewajarnya menjadi peringatan kepada setiap penerbitan supaya tidak menerbitkan bahan yang menyentuh sensiviti mana-mana kaum dan agama.

Katanya tindakan berkenaan juga menunjukkan bahawa kerajaan tidak hanya bertindak terhadap pihak yang menyiarkan bahan menyentuh sensiviti orang Melayu dan umat Islam sahaja.

"Kerajaan telah membuktikan bahawa tindakan tegas turut diambil terhadap penerbitan yang menghina agama lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri kampung di surau Taman Seri Tanjung, Sungai Layar, di sini hari ini.

Zainuddin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan KKDN mengantung sebulan permit penerbitan akhbar itu mulai semalam kerana menyiarkan iklan yang memuatkan karikatur Nabi Isa memegang sebatang rokok dan setin minuman.

KKDN mengambil tindakan demikian selaras dengan peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi memastikan akhbar tidak menyiarkan bahan penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau yang berlawanan dengan undang-undang atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.

Akhbar harian berkenaan telah menyiarkan iklan itu pada 21 Ogos lepas dalam ruangan Kata-Kata Hati.

Sehari selepas menyiarkan iklan berkenaan, akhbar itu telah memohon maaf secara terbuka namun beberapa pertubuhan serta badan bukan kerajaan telah mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap akhbar berkenaan.

Zainuddin berkata kerajaan sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap beberapa penerbitan yang mengeluarkan bahan yang menghina kaum dan agama tertentu.

"Setiap penerbitan harus berhati-hati supaya perpaduan antara kaum terus terpelihara," katanya yang juga anggota Parlimen Merbok.

Di KUALA LUMPUR, Pergerakan Pemuda Umno menggesa kerajaan supaya menggantung permit akhbar Makkal Osai lebih lama dari tempoh sebulan sehingga 24 Sept ini.

Ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata permit akhbar terbabit sepatutnya digantung "sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian setelah kerajaan berpuas hati dengan jaminan syarikat berkenaan".

"Kebebasan bersuara, berkarya dan berkreatif bukan bermakna mana-mana pihak boleh berbuat sesuka hati mereka hingga menyentuh sentimen perkauman, keagamaan dan peribadi yang boleh mencetuskan kemarahan, hasutan, fitnah dan menimbulkan ketenteraman awam.

"Tambahan pula jika terbitan seumpamanya dilakukan oleh akhbar untuk tatapan umum dan dicetak oleh syarikat yang sudah lebih 15 tahun menerbitkan akhbar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pendirian Pemuda Umno adalah konsisten dengan mana-mana pihak yang menyentuh atau menghina sentimen sebarang kaum dan agama perlu bertanggungjawab dan bersedia menerima tindakan undang-undang.

No comments: