Wednesday, August 15, 2007

SUNGGUH TERPESONA DENGAN PERSONA

SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Proton Holdings Bhd, yang melancarkan model terbarunya Proton Persona sedan hari ini, merancang mengeksport kereta 1,600cc ke Singapura, Thailand, Indonesia, United Kingdom dan Australia bagi meraih ekonomi mengikut bidangan memandangkan pasaran domestik adalah terhad.

"Kita tidak boleh menumpukan pada pasaran domestik sahaja kerana ia semakin kecil dan mengecil. Itu sebab mengapa kita mengambil pendekatan untuk mengeksport," kata pengarah urusannya Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

"Hari ini, Proton tidak menikmati ekonomi mengikut bidangan," katanya dan menambah, syarikat itu mahu mengeksport bagi mendapatkan kos pengeluaran yang lebih rendah serta margin yang lebih baik.

"Kami masih boleh bekerja bersendirian dan mendapat untung, namun kami mahu membesar dengan cara yang lebih pesat," katanya kepada pemberita baru-baru ini selepas uji pandu Pesona baru.

Ditanya mengenai jangkaan terhadap eksport, Syed Zainal berkata walaupun ia masih terlalu awal, beliau menjangkakan permintaan adalah baik.

"Persona" bermaksud "wawasan untuk kecantikan", dan model baru ini direka bentuk untuk menggantikan Proton Wira yang sudah berusia 14 tahun. Ia dijangka meningkatkan jualan Proton, meletakkan syarikat itu dalam persaingan dengan model-model dalam kategori segmen sub-B dan B.

"Kami yakin menjual lebih daripada 4,000 unit sebulan memandangkan keseluruhan pakej kereta itu sangat menarik," kata Syed Zainal.

Strategi harga yang menarik dan pengeluaran pada masa yang tepat, dapat membantu Proton memenuhi sasaran jualan bulanannya, katanya.

Tersedia dalam versi manual dan automotik, Persona dianggap kereta paling kompetitif bagi kereta 1,600cc memandangkan harganya dari RM44,999 hingga RM55,000.

Kereta itu direka bentuk untuk memenuhi kriteria seperti gaya, keselamatan, ruang yang luas, praktikal, berkualiti, selesa dan berprestasi.

Ia didatangkan dalam warna putih, kelabu, hitam, putih, merah, emas serta "blueberry tea".

Pesona yang menjadi kebanggaan dan kegembiraan Proton, dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini.

Syed Zainal berkata sedan baru itu sudah mendapat tempahan 2,000 unit dan 350 kereta akan diserahkan kepada pelanggan selepas pelancaran itu.

Mengenai kilang Proton di Tanjung Malim, Perak, beliau berkata syarikat itu sedang menjalankan banyak latihan, melatih semula kakitangan serta menyemak semula proses pembuatan dan aktiviti lain.

"Kesemuanya diasaskan berdasarkan pengajaran lepas dan cara meningkatkannya dan kami mahu mengoptimumkan pelaburan kami," katanya.

Ditanya sama ada Persona baru akan menjejaskan jualan Proton Waja, Syed Zainal berkata Waja sudah berusia tujuh hingga lapan tahun dan sudah sampai masanya ditukar.

"Ia bukan sesuatu yang kami bimbangkan kerana kami juga mahu menjual 5,000 unit Waja untuk pasaran Iran. Pengeluaran akan dimulakan Oktober," katanya.

No comments: