Friday, August 24, 2007

MOTOSIKAL BESAR KITA

PORT DICKSON, 22 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri Penerangan, yang juga Penaung Persatuan Superbiker Malaysia (SAM),Datuk Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar Malaysia menerokai industri pengeluaran motosikal berkuasa besar.

Beliau berkata, potensi Malaysia untuk menjadi pusat pengeluaran motosikal besar amat tinggi kerana negara ini sudah pun mempunyai industri automatifnya yang sudah agak maju dan pada masa sama, rantau ini juga menyediakan pasaran yang amat baik.

Zahid berpendapat, penurunan cukai yang tinggi terhadap motosikal besar oleh kerajaan akan dapat menjana industri motosikal Malaysia.

"Kita (orang Malaysia) sendiri ramai yang menunggang motosikal kuasa besar. Di Indonesia juga, peminatnya agak ramai tetapi harga motosikal di sana sangat mahal dari Malaysia," katanya kepada Bernama semasa ditemui di tapak pelepasan Konvoi Super Bikers Malaysia Gemilang 50 tahun.

Konvoi kira-kira 350 motosikal itu berhenti rehat di Hotel Glory Beach Resort, selepas mengembara sejak semalam sejauh kira-kira 200 kilometer dari Johor Bahru dan singgah di Melaka.

Konvoi akan meneruskan perjalanan ke seluruh Semenanjung Malaysia selama 10 hari iaitu sehingga menjelang Hari Merdeka 31 Ogos.

"Dahulu kerajaan pernah mengurangkan cukai motosikal besar. Dari maklumbalas yang saya terima, penjualan motosikal besar di negara ini meningkat kepada 30 peratus, ini menunjukkan memang ada potensi untuk kita majukan industri ini," katanya.

Konvoi yang turut disertai kira-kira 100 penunggang dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia itu juga menarik minat sepasang suami isteri dari Jerman untuk menyertainya.

Ralf Wordeg dan isterinya, Mariam mengambil keputusan untuk bersara awal dari kerja kerana minat mereka untuk mengembara dunia dengan motoiskal.

Selepas pergi ke Timur Tengah, Kemboja, Korea Selatan, Singapura, beliau tertarik untuk memasuki konvoi itu setelah dipelawa oleh penunggang motorikal besar yang mereka baru kenal di Pahang.

No comments: