Thursday, August 30, 2007

NAMA MALAYSIA SEAWAL 1913 : ALI

MELAKA, 29 Ogos (Bernama) -- Beberapa dokumen telah ditemui yang menggunakan nama Malaysia sebelum pengisytiharan nama Malaysia dibuat oleh Bapa Kemerdekaan Allahyarham Tunku Abdul Rahman pada 1963.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata ahli sejarah W.G.Shellaber dalam satu artikelnya telah mencatatkan nama Malaysia pada rencana yang bertajuk " Baba Malay-An Introduction To The Language of the Straits Born Chinese" pada muka surat 40, terbitan Disember 1913.

Bercakap kepada pemberita selepas meraikan media yang dianjurkan oleh Kelab Media Massa Melaka, di sini hari ini, beliau berkata Shellabar merupakan tokoh yang menyelenggarakan teks Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang.

Menurutnya, selain itu beberapa dokumen telah ditemui yang tertera menggunakan nama Malaysia dan bukannya Tanah Melayu atau Malaya pada 1924, 1929 dan 1942.

Nama Malaysia juga telah digunakan enam kali oleh Malayan Branch Royal Asiatic Society Vol 11 part 1 dalam journal terbitan Jun 1924.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali berkata media tidak wajar memaparkan berita jenayah di muka hadapan.

"Kita di Malaysia misalnya menjadikan berita utama kes rompak, bunuh, kecurian akan digunakan semua akhbar sedangkan di Jepun ianya berita kecil dalam halaman muka dalam," katanya.

Beliau berkata media boleh menyiarkan berita berkenaan tetapi tidak wajar disiarkan di muka hadapan sebagai bahan berita utama.

No comments: