Sunday, August 19, 2007
PENGECUT DAN PONDAN
(Tan Sri Muhammad, Khairy dan Norza. Gambar oleh AgendaDaily)
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib menyifatkan penulis blog politik yang mengkritik pemimpin kerajaan sebenarnya adalah pengecut kerana tidak berani mendedahkan identiti mereka serta menggunakan laman web yang beralamat di luar negara.
Beliau berkata, penulis blog terbabit hanya megah mendabik dada mengatakan bahawa mereka tidak akan dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak tertakluk dengan sebarang undang-undang negara ini.
“Sebab apa saya kata mereka (penulis blog) pengecut kerana mereka tidak berani menggunakan alamat di dalam negara ini sebaliknya menggunakan alamat luar negara untuk menghentam pemimpin negara kita,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perjumpaan pemimpin Penerangan UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan yang mengatakan pemimpin UMNO takut untuk bersuara dan berhadapan dengan penulis blog.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak takut untuk berhadapan dan mengadakan dialog dengan penulis blog politik yang terlibat sekiranya mereka bersedia berbuat demikian.
“Saya tidak takut...saya jawab semua tuduhan tapi tidak disiarkan dalam blog. Kalau sudah minda dan sikap mereka (penulis blog) sudah tertutup untuk kerajaan, mereka tidak dapat menerima apa jawapan kita.
“Kalau kita hendak saman, hari-hari kita kena saman orang sebab membuat tuduhan terhadap individu...,’’ katanya. (Bernama)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment