Monday, December 15, 2008

PEMBAHARUAN RTM ADA MOTIF?

Oleh Warga Risau (Sungai Buloh)

KE mana arah rakyat pelbagai kaum hendak dibawa? Adakah kita mahu keadaan yang hari demi hari dilanda prasangka antara kaum yang tidak sudah-sudah? Apa sahaja perkara yang menyinggung perasaan antara kaum dibangkitkan dari semasa ke semasa.

Melihat trend yang dimainkan oleh orang politik dan penyokongnya, perpaduan kaum kita berada dalam bahaya.

Kerajaan kena hentikan semua ini. Paling bahaya jika saluran media televisyen digunakan untuk menyebarkan dakyah yang boleh mempengaruhi minda rakyat ke arah perasaan benci antara satu sama lain, terutama berkaitan dengan perpaduan kaum.

Sebab itu saya menyokong tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan sementara slot tiga program bual bicara iaitu What Say You yang dikendalikan dalam bahasa Mandarin di saluran RTM2, Bersemuka Dengan Media dan Eksklusif Bersama KSU (Ketua Setiausaha) di RTM1 dalam bahasa Melayu.

Tetapi antara ketiga-tiga program itu, saya rasa What Say You sudah lari daripada matlamat. Nampak sangat agenda program sudah terpesong. Pengendali program itu nampak semacam sengaja mahu mempersoalkan perkara-perkara sensitif termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau pun hendak membincangkan sesuatu isu secara terbuka, penerbit juga kena berhati-hati. Dari sudut kaum Cina, ia bagus untuk menghentam dan mengkritik kepimpinan dan orang Melayu serta dasar-dasar kerajaan.

Tetapi bagaimana perasaan orang Melayu? Bagaimana sebuah stesen kerajaan boleh membenarkan perkara-perkara negatif disiarkan.

Kepada pemimpin Cina, mereka tidak perlu gundah dan kecewa dengan penstrukturan semula program What Say You. Mereka kena fikir kesan program itu kepada perpaduan nasional.

Program yang dihentikan itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana dua lagi program yang dikendalikan dalam bahasa Melayu turut dihentikan tapi tidak pula menimbulkan apa-apa isu di kalangan orang Melayu. Jadi, tolong jangan politikkan program yang hanya mahu mengapi-apikan sentimen perkauman.

Memandangkan program What Say You disiarkan pada waktu puncak pukul 7 malam, tetapi menduduki tangga bawah dalam program bual bicara maka pada saya elok program ini dihentikan sahaja.

Jika mahu diteruskan pastikan kandungannya dan pengendali program memahami aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara harmoni dan memahami perasaan berbilang kaum.

Satu lagi isu yang kini diheboh-hebohkan di kalangan masyarakat Cina ialah program berita Mandarin yang disiarkan pada pukul 8 malam di RTM2 akan dialihkan ke pukul 8 malam di RTM1 dalam penstrukturan semula program RTM pada Januari tahun depan.

Mereka langsung tidak mahu beralah. Melalui penstrukturan semula itu, jumlah waktu siaran berita Mandarin sebanyak sejam akan dikurangkan kepada setengah jam sehari. Tetapi kini sesetengah pemimpin MCA meminta waktu siaran berita Mandarin di RTM dikekalkan sebanyak sejam sehari atau dilanjutkan waktu penyiarannya.

Persoalannya, adakah siaran berita Mandarin sekarang ditonton oleh masyarakat Cina atau mereka sibuk menonton siaran bahasa Mandarin di Astro. Jika sesuatu perubahan yang ingin dilakukan oleh RTM sudah ditentang sejak dari awal, sampai bila RTM dapat berubah.

Biarlah RTM melakukan pembaharuan pada Januari 2009. RTM mempunyai tanggungjawab besar dalam pembangunan negara dan pemikiran rakyat.

Oleh itu, saya menggesa pihak tertentu supaya tidak terlalu sensitif dengan perkara sebegini dan meminta mereka memfokuskan kepada konsep pemberitaan baru melalui RTM yang disampaikan kepada masyarakat.

Sunday, December 14, 2008

CHE DET DAN PAKLAH TIDAK LAYAK

Oleh Maharaja Blogger

Dr Aisaryee Abdullah dalam tulisannya di Sinar Harian 3 Disember telah menyatakan "kelantangan Mahathir bercakap tentang rasuah dan politik wang pastinya menimbulkan perasaan lucu dan sangka buruk pada kebanyakan rakyat.Dia dianggap laksana seorang penggembala yang memekik-mekik panggilan palsu serigala sedang menyerang ternakan peliharaannya."

Mahathir mengetahui bahawa anggapan ini terhadapnya adalah benar seperti juga Anwar Ibrahim pemimpin Pakatan Rakyat tahu bahawa prasangka terhadapnya sebagai seorang homosexual adalah benar dan kata kata Abdullah Ahmad Badawi terhadapnya bahawa" ada orang yang membuat salah tetapi tidak mengaku tetapi saya buat salah saya mengaku" adalah juga benar.

Abdullah menyatakan demikian ketika membentangkan belanjawan 2009 bila beliau mengaku kesilapan dalam ucapannya.

Tetapi seperti juga Mahathir, Anwar juga berkualiti tinggi sebagai seniman jalanan sehingga semua orang percaya sebagai real setiap kata dan tindak tanduknya.

Orang tahu kesemua anak Mahathir: Mukhriz,Mokhzani,Mirzan dan Marina adalah jutawan tetapi tidak ada orang yang mengecam Mahathir secara terang terangan kerana mengkayakan anak anaknya seperti Mahahtir mengecam Abdullah Badawi kerana mengkayakan menantunya, anaknya dan keluarganya.

Ini adalah kerana Mahathir pandai bersandiwara dan sandiwaranya adalah real.

Sebenarnya dalam hal ini pepatah Melayu yang tepat untuk mereka "ialah mengata dulang paku serpih,mengata orang kita yang lebih." Mahathir dengan Abdullah sama sahaja. Hanya kelebihan Mahathir pandai menjadi "penggembala kambing." Pak Lah pula berselindong disebalik imej "Mr Clean" yang tidak memerlukannya untuk membuat pekikan palsu.

Maharaja bersetuju dengan keseluruhan tulisan Dr Aisaryee itu yang bertajuk" Politik Wang dan Mahathir" tetapi tidak bersetuju dengan pandangannya bahawa UMNO pasti terkubur pada pilihanraya 2004 kalau ketika itu Mahathir masih lagi memimpin UMNO.

Penulis ini lupa bahawa Mahathir menyerahkan UMNO yang teguh kukuh kepada Pak Lah setelah beliau memulihkan imejnya sendiri, menyatukan semula parti dan meletakan maruah negara, bangsa dan agama pada taraf yang sangat tinggi.

Beliau telah berjaya membawa keluar imejnya dari sindrom pilihanraya 1999 yang berlangsung dalam suasana penuh kemarahan dan kebencian terhadapnya kerana tindakan nekadnya terhadap penderhaka negara dan ejen Amerika Syarikat, Anwar Ibrahim.

UMNO tidak akan berkubur jika Mahathir bertanding lagi di tahun 2004 seperti yang didakwa oleh Dr Aisaryee tetapi Mahathir tidak akan mendapat kejayaan cemerlang seperti Abdullah Badawi yang menang kerana imej Mr Clean dan Islam dan kerana mewarisi kejayaan dan pencapaian gemilang Mahathir.

Sebabnya bukanlah kerana orang tidak lagi mahukan Mahathir tetapi kerana orang merasa sudah tepat pada masanya untuk berlaku perubahan dalam kepimpinan negara.

Kekalahan teruk Abdullah Badawi pada 2008 adalah membuktikan kekecewaan rakyat terhadap Abdullah kerana tidak dapat mengekalkan kecemerlangan dan kegemilangan yang diwariskan kepadanya oleh Mahathir sebaliknya beberapa langkahnya telah menghilangkan keyakinan diri rakyat.

Oleh kerana itu orang ramai cenderong untuk memberikan kemaafan kepada Mahathir disebalik rasuah dan politik wang yang juga berlaku di zamannya.

Zaman Mahathir adalah zaman yang penuh dengan kebanggaan harga diri suatu bangsa yang berasal dari lanun, petani, nelayan dan orang kampung yang miskin.

Wednesday, December 10, 2008

USAHA BERSATU PASUKAN BENCANA

Oleh Ibrahim Yahaya
(Ruangan : Belang Bertempat di Sinar Harian)


Tiada yang lebih menyedihkan hati apabila terpaksa menghadapi malapetaka. Bencana tanah runtuh yang merobohkan rumah dalam sekelip mati. Rumah yang musnah pula meragut nyawa orang terdekat. Amat memilukan dan penuh dugaan.

Kejadian tanah runtuh pernah berlaku di Highland Towers pada 11 Disember 1993 yang meragut 48 nyawa manakala tanah runtuh di Taman Hill View pada 20 November 2002 mengorbankan lapan nyawa. Ia terus berlaku selagi ada kecuaian manusia.

Sabtu lalu, penduduk Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa, Ampang dikejutkan awal pagi dengan kejadian tanah runtuh. Runtuhan itu menimbus kawasan seluas empat hektar dan meranapkan 14 buah banglo. Tragedi tanah runtuh itu juga membabitkan 3,000 penduduk di beberapa taman sekitar.

Taman dan kondominium yang turut terbabit ialah Taman Bukit Jaya, Taman Puncak Bukit Utama, Kondominium Impiana Selatan, Kondominium Casa Desol, Kondominium Raya, Kondominium Oakleaf, Kondominium Kyoto Garden dan Kelab Kyoto Garden.

Penduduk di taman perumahan itu mengharungi masalah besar ini sejak awal pagi, bermula tiada bekalan elektrik. Selepas itu, mereka mula merasai bagaimana rumah mula bergegar dan bergerak. Ada yang mendengar seolah-olah ada pihak yang membakar mercun yang meletup di sana sini. Ada juga yang mendengar letupan kuat.

Kejadian itu menyebabkan ada rumah yang bergerak beberapa meter mengikut pergerakan tanah. Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan empat terkorban dan beratus-ratus orang tercedera.

Penduduk beberapa taman terus dipindah ke pusat perlindungan sementara manakala yang lain menumpang di rumah saudara mara dan sahabat taulan apabila jalan denai yang dibuat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dilalui.

Bagaimanapun, kejadian tanah runtuh itu menghalang jalan utama ke beberapa taman lain termasuk Taman Bukit Jaya dan Kyoto Garden. Ini menyebabkan penduduk di situ ”terkandas” selama dua hari setengah sehinggalah ATM berjaya membina jalan alternatif.

Bagi ATM, membina jalan bukan satu perkara yang rumit kerana mereka memang pakar dalam bidang itu. Bagaimanapun, membina jalan alternatif di kawasan tanah runtuh adalah satu cabaran besar. Ini kerana pergerakan tanah masih berlaku di situ.

Pasukan ATM terpaksa merujuk kepada pakar geologi dan Ikram untuk mencari jalan alternatif terbaik bagi membolehkan usaha membawa segala bantuan termasuk elektrik dan bekalan air dapat dihantar kepada penduduk terkandas.

Pada petang Ahad, mereka berjaya membuat jalan alternatif dan ia boleh digunakan pada petang Isnin. Jalan itu menyambungkan Taman Bukit Mewah ke Kondo Impianan Selatan. Tentera terpaksa memulakan jalan alternatif itu merentasi laman tepi rumah seorang penghuni dan menaiki bukit sehingga bertemu jalan berturap ke taman perumahan berkenaan.

Kecekapan ATM ini membolehkan bantuan segera dapat disalurkan seperti bekalan elektrik dan air. Ia juga membolehkan penduduk yang terkandas keluar mengikut jadual yang ditetapkan untuk menemui saudara mara mereka.

Bagi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Dato’ Ahmad Shabery Cheek, kejayaan Tentera membina jalan alternatif bersama kesungguhan anggota pasukan keselamatan lain mengawal keadaan dan memindah penduduk, adalah satu kolaborasi yang baik.

Ini menunjukkan pasukan keselamatan mampu bergabung dan bersatu tenaga untuk menyelamatkan penduduk ketika berlaku sesuatu bencana. Mereka bukan saja mampu mempertahankan negara malah membantu rakyat yang menghadapi bencana.

Beliau yang mengadakan lawatan pada Ahad selepas melawat kawasan banjir di Pantai Timur turut berjalan kaki hampir satu kilometer melalui jalan alternatif yang masih lecak dan berlumpur untuk bertemu dengan Duta Romania, Petru Petra, yang tinggal di salah sebuah kondominium di taman perumahan berknaan..

Dalam pertemuan itu, Petru memuji langkah pantas dan sentiasa bersiap sedia kerajaan dalam menghadapi bencana terutama membina jalan alternatif bagi penduduk di taman perumahan di atas bukit. Beliau memahami masalah yang dihadapi untuk membina jalan alternatif itu kerana keadaan tanah yang tidak stabil dan mengancam keselamatan.

Selain Tentera, anggota pasukan keselamatan yang terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, RELA, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Smart Team, Polis Trafik, Ikram, MARES selain anggota pelbagai NGO. Selain itu, GLC dan PBT turut terbabit seperti MPAJ, TNB dan Syabas.

Selain kejayaan Tentera, tanggungjawab yang dimainkan oleh PDRM amat membanggakan dengan keupayaan mengawal keadaan sekitar terutama rumah penduduk yang ditinggalkan.

Operasi pasukan keselamatan yang diketuai oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, sentiasa menyakinkan penduduk di situ bahawa pihak berkuasa menitikberatkan keselamatan penduduk di samping mengawal kejadian yang tidak diingini. Antaranya ialah pencerobohan dan penyamaran.

Beliau meminta orang ramai membuat laporan jika berlaku kecurian agar polis dapat bertindak segera bagi menangkap penjenayah berkenaan. Jika tiada laporan, sudah tentu sukar bagi polis untuk bertindak mencegah kecurian dan pecah masuk.

Datuk Khalid membidas pihak yang menyebarkan pelbagai khabar angin yang merisaukan pemikiran penduduk dengan menyatakan rumah penduduk tidak selamat kerana dimasuki pencuri atau berita palsu mengenai dua rakyat Korea diikat. Apabila khabar angin ini disebarkan ia pasti mewujudkan suasana panik dan tidak sihat.

Selain itu, ramai pihak yang menghulurkan bantuan seperti yang dilakukan oleh Pos Malaysia Berhad yang menghantar kemeja-t dan makanan kepada mangsa tanah runtuh pada hari pertama lagi. Pos Malaysia juga kini menyediakan kemudahan penghantaran dan penerimaan surat serta perkhidmatan lain kepada penduduk terjejas.

Hotel Concorde dan Restoran Ali Maju menyediakan makanan kepada petugas di kawasan tanah runtuh yang pasti satu budaya yang sihat. Kedua-kedua pihak menyediakan khemah khas untuk membolehkan orang ramai menikmati juadah yang disediakan.

Kesimpulannya, tragedi tanah runtuh ini menyaksikan kecekapan anggota pasukan bencana berganding bahu bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Mereka saling bekerjasama untuk memastikan mangsa dapat diselamatkan manakala mereka yang menghadapi trauma disediakan perkhidmatan kaunseling.

Sebenarnya kejadian tanah runtuh itu boleh dielakkan jika semua pihak tidak memikirkan keuntungan semata-mata dan mengadakan kajian geologi serta kesesuaian tanah sebelum melaksanakan sebarang pembangunan di tanah tinggi.

Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangan Malaysia (Lestari), Prof Datuk Dr Ibrahm Komoo, dilaporkan berkata risiko tanah di sesuatu kawasan boleh dikurangkan jika tindakan penstabilan tanah dilakukan.

Menurutnya, kawasan berisiko tanah runtuh dapat dikenalpasti apabila kajian dibuat dari semasa ke semasa. Kejadian tanah runtuh dapat dielakkan jika semua pihak melaksanakan kawalan cerun berisiko tinggi.

Wednesday, December 3, 2008

APA ITU KETUANAN?

Oleh ANUAR AHMAD

TANGGAPAN pemikiran Timbalan Presiden MCA, Dato Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa ketuanan Melayu tidak relevan memang ada benarnya. Malah sokongan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun terhadap kenyataan ketuanya itu pun ada maknanya. Percaya atau tidak, marah atau tidak, nampaknya ketuanan Melayu memang tidak relevan lagi. Tidak perlulah ditukar konsep ketuanan Melayu kepada konsep keabsahan Melayu atau kepimpinan Melayu, kekuasaan Melayu atau apa sahaja, pokoknya memang makna ketuanan Melayu sudah tidak relevan pun.

Cumanya tak relevan ketuanan Melayu pada pemikiran penulis tidaklah sama dengan pemikiran dua tokoh pimpinan MCA itu. Tidak relevannya ketuanan Melayu pada penulis ialah walaupun orang Melayu adalah 'tuan' di tanah airnya sendiri tetapi bak kata orang tua-tua 'menang sorak kampung tergadai'. Makna ketuanan Melayu sudah hilang relevan bila orang Melayu sendiri termasuk para pemimpinnya mula berperangai seperti Pak Kaduk.

Orang Melayu diakui dalam sejarah negara sebagai penduduk asal tanah air ini. Pada 2010 dijangka orang Melayu akan terus merupakan majoriti di negara ini dengan kadar 67 peratus, berbanding etnik Cina 24.3 peratus dan etnik India 7.4 peratus. Manakala lain-lain etnik akan berada pada tahap 1.3 peratus. Bagaimanapun data ini belum boleh memberikan makna tentang menjadikan ketuanan Melayu sebagai sesuatu yang relevan di kalangan masyarakat Melayu negara ini.

Dari segi politik, pemecahan orang Melayu memang sudah jelas. Atas nama ideologi yang berbeza orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan utama iaitu UMNO, Pas dan PKR. Berdasarkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri-negeri, jelas taburan kuasa politik menunjukkan bahawa negara ini adalah sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kuasa yang kadang kala mencabar ketuanan Melayu. Jelasnya, secara politik orang Melayu bukanlah lagi tuan punya secara mutlak di tanah airnya sendiri.

Dari segi sosial, orang Melayu merupakan penyumbang terbesar kepada masalah sosial negara. Tidak benar jika dikatakan oleh kerana orang Melayu adalah penduduk paling ramai maka tentulah pelaku masalah sosial ialah kebanyakannya orang Melayu. Statistik PDRM 2006, menunjukkan orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang paling ramai menagih dadah di Pulau Pinang walaupun orang Melayu bukanlah kumpulan majoriti di negeri tersebut.

Selain dadah, kes penderaan dalam keluarga, sumbang mahram, keciciran pendidikan serta pelbagai perlakuan delikuensi masih dikuasai oleh generasi muda Melayu. Jika tidak dibanteras segera maka ketuanan Melayu tentunya tidak relevan lagi, bukan sahaja menyediakan pemimpin negara malah sebagai tenaga kerja profesional negara pada masa depan.

Tetapi apa yang paling menarik untuk membicarakan makna ketuanan Melayu adalah dengan melihat daripada perspektif ekonomi. Menjadi 'tuan' bermakna seseorang menguasai sepenuh hartanya. Misalnya, tidak mungkin seseorang menjadi tuan rumah jika rumahnya adalah milik orang lain. Berdasarkan statistik tahun 2004 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5 peratus lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4 peratus lebih rendah berbanding orang India.

Ringkasnya, selepas 50 tahun merdeka orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila tuan di tanah air sendiri lebih miskin berbanding orang lain. Apakah maknanya ketuanan Melayu jika kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain.

Berdasarkan data purata pendapatan bulanan mengikut kumpulan etnik utama pada tahun 2004 oleh Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan bulanan orang Melayu ialah RM2,711, orang Cina RM4,437 dan orang India RM3,456. Jelas sekali orang Melayu secara keseluruhannya masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama di negara ini. Malah lebih menarik, orang Melayu yang digambarkan sebagai tuan di negara ini merupakan satu-satu etnik yang berada di bawah paras purata pendapatan rakyat Malaysia iaitu RM3,246.

Malah bagi menunjukkan betapa tidak relevannya makna ketuanan Melayu itu, lihatlah data berkaitan pemilikan unit bangunan dan premis komersial berdasarkan kumpulan etnik Melayu dan Cina sebagai perbandingan asas.

Tentunya data-data ini menunjukkan kesimpulan bahawa orang Melayu sangat jauh ketinggalan di dalam semua bidang di negara sendiri. Bagaimana kaum lain berjaya menguasai kekayaan negara haruslah dihormati dan diakui. Mereka telah secara bersungguh-sungguh menguasai ilmu dan juga menunjukkan kekentalan mental dan disiplin kerja yang tinggi untuk mencapai kekayaan itu.

Malah terbaru, lihatlah bagaimana beberapa hari lalu Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 yang bernilai 490 juta unit habis dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa 6 jam 10 minit sahaja. Pada 18 Julai 2007 lalu, sejumlah 500 juta unit Amanah Saham Malaysia (ASM) telah dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa hanya 39 minit sahaja. Bayangkan nanti pada 1 Disember 2008 apabila satu bilion unit tambahan ASM akan ditawarkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB). Bagi orang Melayu, tidak perlulah menunggu sehingga minggu depan kerana unit ASM yang telah ditawarkan sejak sekian lama pun belum lagi habis dilanggan.

Nampaknya perancangan orang Melayu tidak begitu menjadi jika dibandingkan dengan jumlah tenaga manusia, kuasa politik serta segala macam kemudahan dan modal yang disediakan untuk memajukan mereka. Sebenarnya, sangat jarang berlaku di dalam mana-mana negara di dunia, sebuah negara yang dikuasai oleh etnik majoriti serta menguasai kuasa politik, kumpulan etnik tersebut berada jauh ketinggalan berbanding etnik minoriti seperti mana yang berlaku di Malaysia.

Sesuatu secara besar-besaran untuk membangunkan 'makna ketuanan Melayu' tanpa menyinggung kumpulan etnik lain mestilah dilakukan dengan kadar segera. DEB yang murni wadahnya dan disokong oleh segenap lapisan masyarakat pun masih tidak dapat mencapai sasaran untuk meningkatkan ekonomi Melayu pada paras 30 peratus.

Lebih menyedihkan bila data Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2004 menunjukkan kemiskinan orang Melayu adalah 8.3 peratus jauh lebih tinggi daripada orang Cina (0.6 peratus) dan orang India (2.9 peratus). Pimpinan Melayu mesti berani untuk mengakui kelemahan DEB dan bersedia untuk belajar daripada pengalaman DEB dan perbetulkan kelemahan tersebut.

Oleh itu sesuatu yang jauh lebih besar perencanaan berbanding DEB mestilah dibangunkan oleh pimpinan Melayu di negara ini. Lebih daripada itu, orang Melayu khususnya pimpinannya harus meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuannya. Pimpinan Melayu mestilah boleh menonjol dan menguasai ruang politik pelbagai etnik secara meritokrasi bukan kroni, terbukti cemerlang dan pada masa yang sama mempunyai sikap benci kepada rasuah, politik wang dan budaya mengambil kesempatan atas wang rakyat.

Mereka jua mestilah boleh membuktikan keberkesanan pengurusan yang cekap dan adil. Hasilnya mereka akan berupaya untuk mengubah secara langsung makna ketuanan Melayu untuk diterima oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi yang lebih penting oleh kumpulan etnik yang lain. Jika pimpinan Melayu sekarang tidak bertindak meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuan mereka, pastinya ketuanan Melayu akan tidak relevan lagi.