Wednesday, December 10, 2008

USAHA BERSATU PASUKAN BENCANA

Oleh Ibrahim Yahaya
(Ruangan : Belang Bertempat di Sinar Harian)


Tiada yang lebih menyedihkan hati apabila terpaksa menghadapi malapetaka. Bencana tanah runtuh yang merobohkan rumah dalam sekelip mati. Rumah yang musnah pula meragut nyawa orang terdekat. Amat memilukan dan penuh dugaan.

Kejadian tanah runtuh pernah berlaku di Highland Towers pada 11 Disember 1993 yang meragut 48 nyawa manakala tanah runtuh di Taman Hill View pada 20 November 2002 mengorbankan lapan nyawa. Ia terus berlaku selagi ada kecuaian manusia.

Sabtu lalu, penduduk Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa, Ampang dikejutkan awal pagi dengan kejadian tanah runtuh. Runtuhan itu menimbus kawasan seluas empat hektar dan meranapkan 14 buah banglo. Tragedi tanah runtuh itu juga membabitkan 3,000 penduduk di beberapa taman sekitar.

Taman dan kondominium yang turut terbabit ialah Taman Bukit Jaya, Taman Puncak Bukit Utama, Kondominium Impiana Selatan, Kondominium Casa Desol, Kondominium Raya, Kondominium Oakleaf, Kondominium Kyoto Garden dan Kelab Kyoto Garden.

Penduduk di taman perumahan itu mengharungi masalah besar ini sejak awal pagi, bermula tiada bekalan elektrik. Selepas itu, mereka mula merasai bagaimana rumah mula bergegar dan bergerak. Ada yang mendengar seolah-olah ada pihak yang membakar mercun yang meletup di sana sini. Ada juga yang mendengar letupan kuat.

Kejadian itu menyebabkan ada rumah yang bergerak beberapa meter mengikut pergerakan tanah. Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan empat terkorban dan beratus-ratus orang tercedera.

Penduduk beberapa taman terus dipindah ke pusat perlindungan sementara manakala yang lain menumpang di rumah saudara mara dan sahabat taulan apabila jalan denai yang dibuat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dilalui.

Bagaimanapun, kejadian tanah runtuh itu menghalang jalan utama ke beberapa taman lain termasuk Taman Bukit Jaya dan Kyoto Garden. Ini menyebabkan penduduk di situ ”terkandas” selama dua hari setengah sehinggalah ATM berjaya membina jalan alternatif.

Bagi ATM, membina jalan bukan satu perkara yang rumit kerana mereka memang pakar dalam bidang itu. Bagaimanapun, membina jalan alternatif di kawasan tanah runtuh adalah satu cabaran besar. Ini kerana pergerakan tanah masih berlaku di situ.

Pasukan ATM terpaksa merujuk kepada pakar geologi dan Ikram untuk mencari jalan alternatif terbaik bagi membolehkan usaha membawa segala bantuan termasuk elektrik dan bekalan air dapat dihantar kepada penduduk terkandas.

Pada petang Ahad, mereka berjaya membuat jalan alternatif dan ia boleh digunakan pada petang Isnin. Jalan itu menyambungkan Taman Bukit Mewah ke Kondo Impianan Selatan. Tentera terpaksa memulakan jalan alternatif itu merentasi laman tepi rumah seorang penghuni dan menaiki bukit sehingga bertemu jalan berturap ke taman perumahan berkenaan.

Kecekapan ATM ini membolehkan bantuan segera dapat disalurkan seperti bekalan elektrik dan air. Ia juga membolehkan penduduk yang terkandas keluar mengikut jadual yang ditetapkan untuk menemui saudara mara mereka.

Bagi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Dato’ Ahmad Shabery Cheek, kejayaan Tentera membina jalan alternatif bersama kesungguhan anggota pasukan keselamatan lain mengawal keadaan dan memindah penduduk, adalah satu kolaborasi yang baik.

Ini menunjukkan pasukan keselamatan mampu bergabung dan bersatu tenaga untuk menyelamatkan penduduk ketika berlaku sesuatu bencana. Mereka bukan saja mampu mempertahankan negara malah membantu rakyat yang menghadapi bencana.

Beliau yang mengadakan lawatan pada Ahad selepas melawat kawasan banjir di Pantai Timur turut berjalan kaki hampir satu kilometer melalui jalan alternatif yang masih lecak dan berlumpur untuk bertemu dengan Duta Romania, Petru Petra, yang tinggal di salah sebuah kondominium di taman perumahan berknaan..

Dalam pertemuan itu, Petru memuji langkah pantas dan sentiasa bersiap sedia kerajaan dalam menghadapi bencana terutama membina jalan alternatif bagi penduduk di taman perumahan di atas bukit. Beliau memahami masalah yang dihadapi untuk membina jalan alternatif itu kerana keadaan tanah yang tidak stabil dan mengancam keselamatan.

Selain Tentera, anggota pasukan keselamatan yang terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, RELA, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Smart Team, Polis Trafik, Ikram, MARES selain anggota pelbagai NGO. Selain itu, GLC dan PBT turut terbabit seperti MPAJ, TNB dan Syabas.

Selain kejayaan Tentera, tanggungjawab yang dimainkan oleh PDRM amat membanggakan dengan keupayaan mengawal keadaan sekitar terutama rumah penduduk yang ditinggalkan.

Operasi pasukan keselamatan yang diketuai oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, sentiasa menyakinkan penduduk di situ bahawa pihak berkuasa menitikberatkan keselamatan penduduk di samping mengawal kejadian yang tidak diingini. Antaranya ialah pencerobohan dan penyamaran.

Beliau meminta orang ramai membuat laporan jika berlaku kecurian agar polis dapat bertindak segera bagi menangkap penjenayah berkenaan. Jika tiada laporan, sudah tentu sukar bagi polis untuk bertindak mencegah kecurian dan pecah masuk.

Datuk Khalid membidas pihak yang menyebarkan pelbagai khabar angin yang merisaukan pemikiran penduduk dengan menyatakan rumah penduduk tidak selamat kerana dimasuki pencuri atau berita palsu mengenai dua rakyat Korea diikat. Apabila khabar angin ini disebarkan ia pasti mewujudkan suasana panik dan tidak sihat.

Selain itu, ramai pihak yang menghulurkan bantuan seperti yang dilakukan oleh Pos Malaysia Berhad yang menghantar kemeja-t dan makanan kepada mangsa tanah runtuh pada hari pertama lagi. Pos Malaysia juga kini menyediakan kemudahan penghantaran dan penerimaan surat serta perkhidmatan lain kepada penduduk terjejas.

Hotel Concorde dan Restoran Ali Maju menyediakan makanan kepada petugas di kawasan tanah runtuh yang pasti satu budaya yang sihat. Kedua-kedua pihak menyediakan khemah khas untuk membolehkan orang ramai menikmati juadah yang disediakan.

Kesimpulannya, tragedi tanah runtuh ini menyaksikan kecekapan anggota pasukan bencana berganding bahu bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Mereka saling bekerjasama untuk memastikan mangsa dapat diselamatkan manakala mereka yang menghadapi trauma disediakan perkhidmatan kaunseling.

Sebenarnya kejadian tanah runtuh itu boleh dielakkan jika semua pihak tidak memikirkan keuntungan semata-mata dan mengadakan kajian geologi serta kesesuaian tanah sebelum melaksanakan sebarang pembangunan di tanah tinggi.

Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangan Malaysia (Lestari), Prof Datuk Dr Ibrahm Komoo, dilaporkan berkata risiko tanah di sesuatu kawasan boleh dikurangkan jika tindakan penstabilan tanah dilakukan.

Menurutnya, kawasan berisiko tanah runtuh dapat dikenalpasti apabila kajian dibuat dari semasa ke semasa. Kejadian tanah runtuh dapat dielakkan jika semua pihak melaksanakan kawalan cerun berisiko tinggi.

No comments: