Sunday, April 29, 2007

KONGSI KUASA BN RESIPI KEJAYAAN

28 April, 2007 22:58 PM

Kemenangan Di Ijok Bukti BN Masih Popular

KUALA SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok malam ini menunjukkan parti pemerintah itu masih popular di kalangan rakyat dan rakyat terus mempunyai keyakinan kepada BN.

Katanya kemenangan ini juga menggambarkan sokongan rakyat kepada kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kemenangan ini signifikan dan besar ertinya kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan kempen yang sangat agresif...mereka telah buat macam-macam tohmahan dan fitnah terhadap pemimpin-pemimpin BN tetapi kita tetap sabar dan tabah," katanya kepada pemberita di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai selepas pengumuman kemenangan itu.

Sambil menyifatkan majoriti yang diterima juga lebih baik daripada pilihan raya umum 2004, Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat telah memilih sebuah parti yang bertanggungjawab dengan mengambil kira nasib masa depan "yang tidak dapat dipisahkan daripada BN".

"Rakyat tolak pembangkang...dan memberi kepercayaan kepada BN," katanya.

K. Parthiban, 38, memenangi kerusi DUN Ijok setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 61, dengan majoriti 1,850 undi dalam pilihan raya kecil hari ini.

Mengenai peratusan tinggi keluar mengundi iaitu 81.88 peratus, Najib berkata: "(Ini menunjukkan) demokrasi amat segar di hati sanubari pengundi dan mereka menggunakan hak dalam perlembagaan...saya anggap satu yang baik."

Najib juga berkata dengan kemenangan itu, BN telah mencapai lima kemenangan dalam pilihan raya kecil dengan empat daripadanya dengan undi majoriti yang bertambah, termasuk dalam pilihan raya kecil terbaru ini. Empat pilihan raya kecil yang telah dimenangi BN sebelum ini ialah di Kuala Berang (Terengganu), Permatang Pasir (Kelantan), Batu Talam (Pahang) dan Machap (Melaka).

Mengenai tuduhan pembangkang konon wujudnya pengundi hantu, Najib sekali lagi menafikannya dengan berkata: "Tidak ada pengundi hantu sama sekali."

Mengenai harapannya pada Parthiban, Najib berharap wakil rakyat muda kelahiran Kuala Selangor itu akan memenuhi harapan pengundi di DUN Ijok.

Najib juga ditanya sama ada kemenangan BN di DUN Ijok bermakna pilihan raya umum sudah dekat.

"Ini adalah satu petanda yang baik untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata tempoh mengadakan pilihan raya umum akan bergantung kepada banyak faktor lain.

"Tetapi kita tidak mahu mendedahkannya...saya yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) tahu bila hendak mengadakan (pilihan raya umum akan datang)," katanya.

BN MENANG, ANWAR KALAH

28 April, 2007 21:08 PM

BN Kekalkan Kerusi DUN Ijok

KUALA SELANGOR, 28 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dengan majoriti 1,850 undi apabila calonnya K. Parthiban menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada pilihan raya kecil hari ini.

Kemenangan BN itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Haris Kassim di pusat penjumlahan undi di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai di sini, kira-kira pukul 8.40 malam ini.

Parthiban, 39, bekas guru dan Setiausaha MIC Tanjung Karang, Selangor memperoleh 5,884 undi manakala Abdul Khalid, 61, tokoh korporat dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad memperoleh 4,034 undi.

BN juga berjaya meningkatkan majoriti undi pada kali ini berbanding majoriti 1,649 undi pada pilihan raya umum 2004.

Pengalaman bertanding dalam pilihan raya itu juga adalah pengalaman pertama bagi kedua-dua calon.

Sebanyak 10,049 orang atau 81.88 peratus daripada 12,272 pemilih telah mengundi mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang ini di sembilan pusat pengundian yang menyediakan 28 saluran pengundian.

Pilihan raya kecil Ijok juga mencatat peratusan keluar mengundi paling tinggi dalam sejarah pilihan raya kecil yang pernah diadakan di negara ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk K. Sivalingam, 59, dari BN pada 4 April lepas di Chennai, India, akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2004, Sivalingam menang dengan kelebihan 1,649 undi mengalahkan calon PKR, Abdol Rahman Moharam, dan calon Bebas, Mohamed Shariff Nagoorkani.

Pemilih berdaftar di DUN Ijok terdiri daripada 51 peratus Melayu, 28 peratus kaum India dan 21 peratus Cina.

Daripada 12,272 pengundi, sebanyak 39 orang adalah pemilih pos.

Kawasan DUN Ijok yang merupakan kerusi tradisi MIC sejak 1990, merupakan antara kubu kuat BN.

Ini adalah cubaan kedua PKR untuk merebut kerusi itu selepas pilihan raya umum 2004.

Thursday, April 26, 2007

BN PENTINGKAN KONGSI KUASA

26 April, 2007 19:04 PM

Pencalonan Parthiban Bukti BN Pentingkan Tradisi Kongsi Kuasa


KUALA SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilihan K. Parthiban sebagai calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok membuktikan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan tradisi perkongsian kuasa antara kaum di negara ini selain mementingkan keharmonian dan persefahaman masyarakat majmuk.

Perdana Menteri berkata tidak ada mana-mana pihak termasuk daripada parti komponen BN yang mempertikaikan pencalonan Parthiban, bekas guru berumur 38 tahun yang juga Setiausaha MIC Tanjung Karang untuk bertanding kerusi DUN itu yang kosong setelah kematian penyandangnya dari BN Datuk K. Sivalingam pada 4 April lepas.

"Tidak ada masalah daripada segi sokongan, tidak ada siapa yang pertikai kerana tradisi BN berkongsi kuasa.

"BN bermuafakat termasuk (dalam soal) pemilihan calon yang dipilih pucuk pimpinan parti," katanya ketika berucap melancarkan tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Estet Selangor di Dewan Seri Harmoni Ijok, di sini.

Kenyataan Abdullah itu menafikan dakwaan parti pembangkang dalam kempen mereka yang berbaur perkauman apabila mereka mendakwa kononnya berlaku perselisihan di kalangan komponen BN kerana calon MIC itu tidak direstui Umno dan pengundi Melayu yang merupakan penduduk majoriti Ijok.

Sebanyak 51 peratus pengundi berdaftar di Ijok terdiri daripada kaum Melayu, manakala India (28 peratus) dan bakinya kalangan Cina dan kaum lain.

Perdana Menteri berkata sebelum ini juga menjadi amalan BN meletakkan calon yang boleh diterima dengan baik di kalangan penduduk setempat selain mampu memberi khidmat sama rata tanpa mengira kaum.

"Calon-calon yang terdahulu seperti mendiang Tan Sri N. S Maniam dan Datuk M. Mahalingam yang pernah jadi wakil rakyat dulu memang sangat-sangat disayangi penduduk di sini dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat yang baik," katanya.

Abdullah berkata Parthiban sendiri mempunyai kualiti sama iaitu calon terbaik dengan latar belakang yang sesuai untuk penduduk Ijok.

Katanya latar belakang calon itu yang sanggup tidak berkahwin semata-mata untuk memastikan kejayaan adik-adiknya setelah kematian ibu bapanya menunjukkan Parthiban seorang yang bertanggungjawab, tahu menghargai keluarga dan paling layak mewakili penduduk Ijok.

Secara berseloroh, Abdullah yang memandang ke arah Parthiban secara spontan bertanya: "betul ke tak kawin lagi? saya pun tak kawin lagi," hingga menimbulkan gelak ketawa di kalangan kira-kira 2,000 orang yang hadir pada majlis itu.

Perdana Menteri berkata dalam pertemuannya dengan Parthiban hari ini, calon itu berjanji untuk menjadi wakil rakyat yang disayangi penduduk dan memberi jaminan akan memberi khidmat kepada rakyat semua kaum di kawasan itu.

Menurutnya walaupun sebelum ini ada kedengaran bahawa wakil rakyat BN terdahulu iaitu Datuk K.Sivalingam gagal bertugas dengan baik, pemimpin itu yang baru meninggal dunia kerana sakit jantung, diketahui mempunyai masalah kesihatan.

"Mungkin dia (Sivalingam) selalu sakit dan tak dapat bekerja. Sebab itu kita kali ini pilih pemimpin muda yang sihat dan boleh bekerja seperti Parthiban yang menjadi calon paling baik," katanya.

Sementara itu, ketika berucap di Bilik Gerakan MCA di Pekan Ijok, di sini pula, Abdullah meminta masyarakat Cina untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN.

"Kalau kita mahu perpaduan di negara ini kita perlu sokong-menyokong antara satu sama lain," katanya kepada kira-kira 800 masyarakat Cina yang kebanyakannya penghuni kawasan rumah kedai di kawasan itu.

Menurutnya Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang berjaya kerana selama ini semua kaum utama terdiri Melayu, India dan Cina bersepakat dan menjayakan perkongsian kuasa dalam membentuk kerajaan negara ini.

"Ini sangat penting bagi Malaysia, dan Malaysia berjaya kerana kekuatan ini iaitu kerana kesepakatan semua kaum dan perkongsian kuasa," katanya.

Beliau berkata dengan sokongan dan pemilihan Parthiban sebagai bakal wakil rakyat di kawasan itu akan membolehkan tradisi untuk melihat semua wakil rakyat di negara ini terdiri daripada berbilang kaum dapat diteruskan.

"Dalam pemerintahan mesti ada wakil semua kaum, walaupun sedikit.

"Sebenarnya inilah yang rakyat mahu iaitu melihat ada wakil dari semua kaum supaya rakyat dan negara terus maju," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta semua pengundi berbilang kaum di DUN Ijok untuk memastikan semangat berkompromi antara kaum di negara ini diteruskan dengan mengundi Parthiban.

"Semua mesti keluar awal untk mengundi BN," katanya mengakhiri ucapan sambil diikuti sorakan "BN Boleh" bagi menandakan persetujuan mereka yang hadir untuk menyokong calon BN itu.

Lawatan Perdana Menteri dengan mengunjungi beberapa bilik gerakan parti komponen BN di DUN Ijok disambut baik semua pihak kerana mampu membakar dan menaikkan semangat jentera BN untuk menghadapi gerakan parti pembangkang yang diketuai oleh PKR.

Daripada kaca mata penduduk Ijok pula, kunjungan Abdullah itu menunjukkan keprihatinan pemimpin itu terhadap kebajikan mereka apabila sanggup "turun padang" melihat sendiri keadaan dan pembangunan di kawasan itu.

JANGAN PERLEKEH KEBIJAKSANAAN RAKYAT

26 April, 2007 19:38 PM

Zainuddin Persoal Tindakan Media Asing


KUALA SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin hari ini mempersoalkan kecenderungan sesetengah media asing yang memberikan liputan dan publisiti kepada individu tertentu dari sebuah parti yang telah hilang kredibilitinya di Malaysia.

"Kita pun tidak faham apa sebab. Kita tidak boleh `undermind intelligence' (perlekeh kebijaksanaan) rakyat Malaysia, parti yang ada sekarang di Parlimen dilantik melalui proses pilihan raya," katanya selepas melancarkan Komuniti Bestari Mukim Ijok di sini

Mengikut konsep demokrasi, keutamaan diberikan kepada orang yang mendapat sokongan yang banyak dan kalau pembangkang ketuanya ialah Lim Kit Siang dari DAP.

"Kita dapat melihat ada satu usaha integrated (bersepadu) untuk mencampuri urusan dalaman negara kita," katanya.

Zainuddin juga berkata mengapa sesetengah media Inggeris, Dubai, Timur Tengah, British, Amerika Syarikat memberikan perhatian dan liputan kepada individu ini yang telah kalah pada pilihan raya.

"Mereka mempunyai agenda untuk campur tangan dalam politik di Malaysia untuk mengganggu gugat kestablilan poliik di negara ini," katanya.

Beliau berkata malangnya ada juga di antara "orang suratkhabar kita" yang merasa seronok apabila diangkat oleh media asing kononnya mengangkat kebebasan bersuara dan sebagainya sedangkan acuan kebebasan di negara kita tidak sama dengan Barat.

"Kenapa kita ambil penilaian orang luar untuk approve (benarkan) apa kita buat. Ini seolah-olah ada `recognisation from the West this is right' (ada pengiktirafan dari Barat, kira baiklah)," katanya.

Zainuddin juga berkata beliau kesal dengan tindakan pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan kepada polis semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok semata-mata untuk menimbulkan kemarahan pihak kerajaan.

"Ini adalah tidak baik kerana pihak polis bertindak mengikut peraturan dan jika polis ingin menahan seseorang penjenayah yang berada di tengah-tengah kumpulan pembangkang, mereka seharusnya faham bahawa polis hendak menahan penjenayah berkenaan dan bukan mengambil tindakan terhadap mereka."

Zainuddin berkata semua parti sepatutnya sedar bahawa ketiadaan polis untuk berkawal di sesuatu kawasan pilihan raya atau pilihan raya kecil hanya akan memburukkan lagi keadaan dan tindakan pembangkang yang cuba menghakis keyakinan orang ramai terhadap polis adalah satu tindakan yang tidak wajar.

DAULAT TUANKU

26 April, 2007 11:27 AM

Yang Di-Pertuan Agong Ke-13 Ditabal Dalam Istiadat Gilang-Gemilang

Oleh Hafizah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, 45, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dalam upacara penuh adat istiadat Raja Melayu di Balairong Seri, Istana Negara di sini hari ini.

Sebaik sahaja Seri Paduka Baginda melafazkan ikrar sebagai ketua negara, semua yang hadir berdiri dan melaungkan "Daulat Tuanku" tiga kali diketuai oleh Datuk Maharaja Lela Yang Mulia Tengku Farouk Tengku Jalil.

Dalam ikrar yang ditulis Jawi di atas kulit kambing, baginda berjanji akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara, serta memelihara agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.

Selepas Seri Paduka selesai melafazkan warkah ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong, nafiri ditiup, dan lagu nobat "Raja Bertabal" dimainkan oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu.

Ini diikuti dengan tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja, dan disusuli dengan lagu "NegaraKu" yang dimainkan oleh pancaragam Kor Armor Diraja.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum itu membaca surat perisytiharan pertabalan, yang juga ditulis Jawi di atas kulit kambing.

Ini diikuti dengan Datuk Paduka Maharaja Lela menyembah Keris Kerajaan atau Keris Panjang Diraja, iaitu alat kebesaran negara yang utama, tanda kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.

Seri Paduka mengucup keris itu sebelum meletakkannya di meja sebelah kiri baginda, sebelum melafazkan ikrar.

Istiadat itu yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro kira-kira sejam, yang turut dirakamkan oleh National Geographic dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi penerbitan dokumentari mengenai Kesultanan Melayu, yang menunjukkan keunikan institutsi Diraja Malaysia, yang akan disiarkan ke seluruh dunia.

Raja-raja Melayu yang terdiri daripada Sultan Kedah yang merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Pahang, Sultan Kelantan, Sultan Perak dan Sultan Selangor turut berangkat ke majlis yang gilang gemilang itu.

Johor diwakili oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Perlis oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzudin manakala Brunei Darussalam diwakili oleh Putera Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Turut hadir Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, menteri-menteri kabinet, menteri-menteri Besar dan ketua-ketua Menteri, kerabat diraja Terengganu termasuk nenda Seri Paduka Baginda, Tengku Ampuan Intan Zaharah yang merupakan Raja Permaisuri Agung yang ke-empat dan bonda baginda Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Al-Sogoff serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, putera sulong Tuanku Mizan.

Wakil-wakil negara asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara juga hadir pada istiadat pertabalan itu.

Istiadat pertabalan bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir kira-kira 11.10 pagi dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah ke Balairong Seri dengan iringan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Raja Berangkat".

Keberangkatan baginda berdua didahului oleh Datuk Maharaja Lela dan panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, iaitu tongkat- tongkat perak yang merupakan sebahagian alat kebesaran Diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.

Mereka diiringi oleh juruiring Seri Paduka dan panglima-panglima yang membawa alat-alat kebesaran Diraja.

Tuanku Mizan berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat (seperti kot hitam labuh) yang bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok "Dendam Tak Sudah" serta memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengah-tengahnya bersama-sama tali bengkung yang diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga-bunga.

Di pinggang Seri Paduka tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.

Tuanku Nur Zahirah pula memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja, pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian.

Istiadat pertabalan dimulakan dengan naskah al-Quran dibawa masuk oleh Datuk Penghulu Istiadat Datuk Wan Safiain Wan Hasan yang juga Datuk Pengelola Bijaya Diraja bersama-sama Keris Kerajaan, surat perisytiharan dan watikah ikrar.

Alat-alat kebesaran istiadat pertabalan itu dibawa masuk oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diketuai oleh Datuk Maharaja Lela Yang Mulia Tengku Farouk Tengku Jalil berserta Pegawai Istana Negara Datuk Abdul Rahman Mohd dengan iringan paluan nobat lagu "Palu-Palu Melayu."

Naskah al-Quran yang melambangkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, dan dikucup oleh Seri Paduka sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.

Ini diikuti dengan perisytiharan oleh Abdullah dan lafaz ikrar Yang di-Pertuan Agong, serta diikuti dengan Perdana Menteri menyampaikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia, dan diikuti dengan titah Tuanku Mizan.

Istiadat itu diikuti dengan bacaan doa selamat oleh Pegawai Agama Istana Negara, dan sebelum istiadat pertabalan selesai, Datuk Maharaja Lela menerima balik naskah al-Quran daripada Seri Paduka, dan mengisytiharkan istiadat itu telah disempurnakan serta diikuti dengan keberangkatan Seri Paduka berdua meninggalkan Balairong Seri.

Tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Raja Berangkat" mengiringi keberangkatan Seri Paduka berdua yang didahului oleh Datuk Maharaja Lela dan diikuti oleh Datuk Penghulu Istiadat membawa naskah al-Quran, panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama dan alat-alat kebesaran Diraja.

Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 Nov 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Dis 2006.

Istiadat lafaz sumpah jawatan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 diadakan penuh istiadat di Istana Negara pada 13 Dis 2006 dan jawatan itu berkuatkuasa untuk tempoh lima tahun.

Kebiasaannya istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong tidak diadakan serentak dengan istiadat Lafaz Sumpah Jawatan.

Ia diadakan beberapa bulan atau satu tempoh masa selepas itu.

VOTE BN.....

April 25, 2007 18:15 PM

Khalid's Tongue Slips And Urges People To Vote BN

KUALA SELANGOR, April 25 (Bernama) -- Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, the Party Keadilan Rakyat (PKR) candidate in the Ijok by-election, had a slip of the tongue when making a speech last night and mistakenly called the electorate in the hamlet to ensure a big win for the Barisan Nasional (BN) on Saturday.

"Now is the time to make a change ...and I hope together we will vote the BN candidate come Saturday (polling day). Thank you," he said when ending his ceramah in the Tuan Mee Estate, where the majority of its residents are Indians.

The words caused the 150 odd people present to wonder what was going on as he was "promoting" his opponent in the election.

Several staunch PKR supporters on realising the mistake quickly interceded and shouted "Tan Sri tercakap salah, Tan Sri tercakap salah" (Tan Sri's tongue slipped) to put things right.

This caused the crowd to break out in laughter while some BN supporters who were following the talk, clapped their hands.

Khalid, 61, a former corporate figure, hardly realising what he had done, continued to wave to the noisy crowd before sitting down on the chair reserved for him on the stage.

In the by-election, he faces the BN's K.Parthiban, 38, a former edcuationist, in a straight fight. The by-election is being held following the death of BN Assemblyman Datuk K. Sivalingam, 59, on April 4.

Sunday, April 22, 2007

PILIHANRAYA KECIL IJOK (1)

BERITA BERNAMA

Penduduk Taman Suria Gembira Pelbagai Masalah Selesai

KUALA SELANGOR, 22 April (Bernama) -- Kira-kira 1,000 penduduk Taman Suria di sini berterima kepada kerajaan dan MIC kerana setelah 15 tahun, mereka akhirnya menerima sijil layak diduduki (CF), untuk 180 buah rumah di taman itu.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata masalah banjir yang melanda kawasan taman perumahan itu lebih lima tahun lepas juga sedang diatasi dengan kerja melebar dan mendalamkan parit berhampiran kawasan itu.

Pada satu majlis yang berlangsung di sini, ratusan penduduk pelbagai kaum, hadir menyambut Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya dan calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok K.Parthiban.

Penduduk di situ, yang 90 peratus adalah kaum India, turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan BN kerana masalah pencemaran asap dari sebuah kilang membuat sarung tangan yang terletak berhampiran, juga sedang diatasi.

Samy Vellu berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah meminta kilang itu agar memasang peralatan yang sesuai bagi menangani pencemaran asap.

Sementara itu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata pembangkang berfikiran sempit dan sengaja mengelirukan pengundi di Ijok dengan mengatakan orang Islam tidak boleh mengundi calon bukan Islam.

Orang Islam sebenarnya boleh memilih sesiapa sahaja untuk bekerjasama seperti yang diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi, katanya.

"Kita kena adil kepada sesiapa sahaja walaupun berlainan agama dan kalau kita perlu berperang untuk mereka pun kita akan buat kerana dalam Islam, orang bukan Islam yang boleh bekerjasama dengan orang Islam, kita kena beri mereka tempat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Penajaan Buku Kerja Sains dan Matematik kepada sekolah-sekolah di kawasan DUN Ijok.

Mengenai tuduhan pembangkang kononnya ada penyelewengan dalam pemberian kontrak pembangunan di Ijok, Dr Mohamad Khir berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana segala kontrak yang diberikan telah direkodkan.

"Jangan bimbang kalau kata saya bagi kepada adik-beradik saya saja tak ada... nak kata saya bagi kepada kroni saja semua penyokong kerajaan adalah kroni saya," katanya mengenai peruntukan RM36 juta kerajaan negeri kepada kawasan DUN Ijok untuk pelbagai projek pembangunan.

Thursday, April 19, 2007

NAJIB JAWAB TOHMAHAN

BERITA UTUSAN MALAYSIA


TPM selar pembangkang kaitkan dirinya dengan kes Altantuya

KUALA SELANGOR 18 April – Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar sikap parti pembangkang yang gemar menggunakan strategi serangan peribadi dengan membuat tuduhan melulu termasuk mengaitkan dirinya dengan kes Altantuya.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak takut dikaitkan dengan kes tersebut kerana semua pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih mengetahui keadaan sebenar.

‘‘Jangan hendak main tipu, jangan main politik kotor. Polis tahu, Peguam Negara tahu dan Perdana Menteri pun tahu,’’ katanya ketika melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di sini malam ini.

Pada 16 Oktober lalu, seorang penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat membunuh seorang model sambilan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 28, bersama dua anggota polis di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara pukul 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober 2006.

Cebisan mayat Altantuya ditemui di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November 2006.

Turut hadir pada majlis malam ini, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan beberapa pemimpin parti komponen BN lain.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO turut kesal dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus-terusan menggunakan strategi serangan peribadi untuk memalukan dirinya.

Tegasnya, beliau juga boleh menggunakan kaedah yang sama untuk membongkar segala rahsia peribadi pemimpin pembangkang tersebut.

“Kalau saya hendak bongkar saya pun boleh buat macam itu tetapi saya tidak mahu kerana memikirkan dia mempunyai isteri dan anak.

“Jika nak lawan lawanlah, jangan sentuh soal peribadi, kita pun boleh bongkar rahsia,” katanya.

Menurutnya, Anwar yang pernah menjadi Menteri Kewangan, bertanggungjawab terhadap kejatuhan ekonomi negara pada tahun 1998 kerana mengikut telunjuk Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ekoran tindakan itu, tambahnya, kerajaan terpaksa campur tangan bagi mengelakkan daripada negara menjadi bangkrap.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, BN bukan sebuah parti yang memainkan politik perkauman seperti parti pembangkang.

Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletakkan calon Melayu di Ijok, jelasnya, mem- buktikan parti pembangkang itu secara terang-terangan memainkan politik perkauman.

‘‘Ada yang kata kita patut beri kerusi kepada UMNO untuk bertanding dalam DUN Ijok.

‘‘Ini kerana 52 peratus pengundi di Ijok ialah Melayu, tetapi kita letak calon MIC kerana kita pentingkan persepakatan kaum melalui BN,” katanya.

Menurutnya, DUN Ijok mempunyai 27 peratus pemilih India iaitu yang paling besar dalam negara.

Malah, katanya, Ijok mempunyai lebih pemilih India berbanding Sungai Siput (kawasan Presiden MIC) iaitu 22 peratus dan melebihi Hulu Selangor (kawasan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel) iaitu 20 peratus.

‘‘Jadi memanglah berpatutan kita letakkan calon MIC di sini kerana kita meletakkan kepentingan semua kaum,” tegasnya.

Mengulas calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau berkata, walaupun Abdul Khalid merupakan tokoh korporat yang hebat tetapi beliau tidak mendapat sokongan akar umbi dan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang baik seperti calon BN.

Tuesday, April 17, 2007

KHALID IBRAHIM CALON PKR DI IJOK

Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim diumum sebagai calon parti itu untuk pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR Datin Sri Dr Wan Azizah Ismail dalam majlis di tapak pasar malam pekan Batang Berjuntai, malam tadi.

Lebih 2,000 orang hadir. Turut hadir dan berucap di majlis pengumuman calon PKR itu ialah Penasihat PKR Datuk Sri Anwar Ibrahim.

Baca [ Agendadaily ] untuk berita selanjutnya.

Monday, April 16, 2007

K PARTHIBAN CALON BN

Setiausaha MIC Bahagian Tanjong Karang,K Parthiban,38, dipilih sebagai calon Barisan Nasional untuk bertanding pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok.Pengumuman dibuat oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam satu majlis di dewan Taman harmoni Ijok petang tadi.

Parthiban anak kelahiran Kuala Selangor juga adalah Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Noh Omar. Hadir sama di majlis itu ialah Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu.

Laporan [ Agendadaily ] memaparkan pemilihan Parthiban bermakna Samy Vellu berpegang kepada pendiriannya tidak memilih Ketua Bahagian MIC Kuala Selangor, S.P. Thirumoorthy.

Saturday, April 14, 2007

YIN DITEMUI SEMULA

Yin DiTemui Di Sentul


KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kanak-kanak yang hilang Mohammad Nazrin Shamsul Ghazali ataupun Yin ditemui selamat di Sentul petang ini, kata Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC I Zulhasnan Najib Baharuddin.

CHONG KAH TIAT LETAK JAWATAN

Berita mengenai Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Tiat meletakkan jawatan Jumaat lalu amat menarik. Baca { Agendadaily } untuk mendapatkan maklumatnya.

Friday, April 13, 2007

BN : 5,533 v DAP : 1,452

April 12, 2007 21:06 PM

Barisan Nasional Retains Machap Seat

ALOR GAJAH, April 12 (Bernama) -- The Barisan Nasional (BN) retained the Machap seat by a 4,081-vote majority in today's state by-election which saw a straight fight between BN's Lai Meng Chong and DAP's Liou Chen Kuang.

Lai, 56, polled 5,533 votes while Liou, 33, contesting in the seat for the second time, received 1,452 votes.

The results were announced at 8.22pm by Returning Officer Hasim Ismail at the Machap Japerun complex, the vote-tallying centre for the by-election.

The voter turnout was 74.35 per cent. The constituency has 9,623 registered voters.

The seat fell vacant following the death of BN assemblyman Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, who was also Melaka MCA chief, on March 15.

Poh defeated Liou, 33, by a majority of 4,562 votes in the last general election.

Poh garnered 5,487 votes against Liou's 1,285 in the Chinese-majority seat.

Chinese accounted for 45.9 per cent, Malays (39.83 per cent) and Indians (14.09 per cent).

-- BERNAMA

Tuesday, April 10, 2007

TAK PAYAH LE...WAJIBKAN DAFTAR

09 April, 2007 20:44 PM

Kerajaan Belum Bercadang Wajibkan Penulis Blog Mendaftar, Kata Abdullah


KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kerajaan belum bercadang mewajibkan semua penulis blog tempatan mendaftar, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata kerajaan berpendapat undang-undang dan peraturan sedia ada sudah mencukupi untuk bertindak terhadap penulis blog yang melampau jika diperlukan.

"Undang-undang sedia ada sudah mencukupi. Ia akan dikuatkuasakan bila ia perlu dikuatkuasakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kampus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini.

Perdana Menteri berkata beliau turut menerima maklumat bahawa ramai pihak menyatakan kekesalan dengan aktiviti penulis blog yang menyebarkan maklumat tidak berasas.

Abdullah berkata beliau tidak yakin tindakan mendaftar penulis blog akan menyelesaikan sepenuhnya masalah penyebaran maklumat tidak berasas itu.

"Walaupun diminta berdaftar, mungkin sesetengah daripada mereka tidak mematuhi arahan dan menggunakan saluran lain melalui server luar (negara)," katanya.

Ditanya mengenai satu laporan luar negara tentang urusniaga balak yang mengaitkan nama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Abdullah berkata: "Saya tidak sedar mengenainya".

Menurut laporan agensi asing pada 29 Mac, Taib dibabitkan dengan sogokan daripada eksport balak berjumlah 1.1 bilion yen (RM32 juta).

Laporan itu menyebut bahawa sembilan syarikat perkapalan Jepun yang mengangkut kayu gergaji dari Sarawak didakwa gagal melaporkan pendapatan keseluruhan berjumlah kira-kira 1.1 bilion yen bagi tempoh tujuh tahun sehingga Mac lepas.

Laporan itu mendakwa wang terbabit merupakan sogokan kepada pegawai Sarawak menerusi sebuah ejen di Hong Kong yang mempunyai hubungan dengan Taib dan keluarganya.

-- BERNAMA

Friday, April 6, 2007

SOKONG PENDAFTARAN LAMAN BLOG

06 April, 2007 18:55 PM

Blog Bersifat Politik Mesti Dipantau dan Didaftarkan


Oleh Jackson Sawatan

SINGAPURA, 6 April (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyuarakan sokongan terhadap cadangan untuk mendaftarkan laman blog, terutamanya yang bersifat politik.

Beliau berkata jika media arus perdana tertakluk kepada pendaftaran, pemantauan dan undang-undang tertentu, tidak ada sebab kenapa pengendali blog boleh dikecualikan.

"Kita mesti tahu siapa mereka, jadi mesti ada undang-undang yang akan menyebabkan mereka kita kenali," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau bagaimanapun berkata keperluan untuk mendaftarkan blog yang memuatkan hiburan atau komentar sosial mungkin tidaklah sebegitu besar sebagaimana blog yang didorong oleh politik.

"Apabila ada golongan politik yang hendak menggunakan blog untuk kepentingan politik atau seseorang pengendali blog yang mempunyai dorongan politik, maka kita harus kenal siapa dia.

"Politik adalah untuk mencari pengaruh di kalangan awam, politik adalah untuk mencari kuasa. Kalau kuasa, kita kena pergi kepada rakyat.

"Apabila kuasa pergi kepada rakyat, maka dia kena perkenalkan diri dia. Dia tidak jujur kalau dia menyembunyikan diri apabila dia bercakap tentang politik," katanya.

Zainuddin berkata untuk mencari kuasa politik, orang sanggup membuat fitnah dan juga menyebarkan hal-hal yang tidak benar, menggunakan sumber yang tidak disahkan atau tidak memeriksa sumber sesuatu maklumat.

"Maka ini adalah amat berbahaya sebab mereka menulis dan bertindak untuk mencari kuasa. Cita-cita mereka ialah untuk menjatuhkan kerajaan dan juga untuk mengembangkan fahaman politik mereka dan membantu mana-mana pihak untuk tujuan politik," katanya.

Zainuddin berkata beliau setuju dengan cadangan pemantauan dan pendaftaran seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Zainuddin turut membincangkan isu blog dan bagaimana pendekatan Singapura terhadap perkara itu ketika beliau menemui rakan sejawatannya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura Dr Lee Boon Yang pagi tadi.

Zainuddin berkata Singapura mempunyai mekanisma pendaftaran bagi blog yang secara konsisten memuatkan tulisan politik.

Kata beliau, Singapura juga mempunyai rangkakerja pelesenan secara kelas untuk mengawalselia media baru termasuk juga blog dan menaklukkan mereka kepada kod etika tertentu di bawah kawalseliaan Lembaga Pembangunan Media (MDA).

Pelesenan secara kelas secara amnya, membabitkan penggazetan terma dan syarat bagi sesuatu industri dan sesiapa sahaja yang menyediakan perkhidmatan dalam skop kelas lesen yang berkenaan, akan dianggap telah membaca terma dan syarat berkenaan dan dianggap telah dilesenkan.

Zainuddin berkata beliau berpendapat cara yang digunapakai di Singapura adalah praktikal dan mungkin boleh diubahsuai untuk di Malaysia.

"Kita akan tengok sama ada versi ini boleh dibuat di Malaysia, saya tidak tahu tapi saya rasa cara ini praktikal," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, April 3, 2007

RPK DAPAT 50 JUTA MAC LALU

Membaca blog [ Datuk Ruhanie Ahmad ] bertajuk Malaysia Today Perolehi 50 juta Hits Pada Mac 2007, saya perlu tabik kepada Raja Petra Kamarudin (RPK).

Ini kerana sepanjang Mac 2007, portal berita [ www.malaysia-today.net ] menerima 50 juta hits – satu rekod tertinggi dalam sejarah laman web itu.

Jumlah hits Malaysia Today sepanjang Februari 2007 adalah 40 juta, sementara hits untuk Januari 2007 adalah sebanyak 45 juta.

Jika satu hit dibayar satu ringgit, maka RPK mendapat RM135 juta untuk tiga bulan lalu.