Showing posts with label SOSIAL. Show all posts
Showing posts with label SOSIAL. Show all posts

Wednesday, December 3, 2008

APA ITU KETUANAN?

Oleh ANUAR AHMAD

TANGGAPAN pemikiran Timbalan Presiden MCA, Dato Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa ketuanan Melayu tidak relevan memang ada benarnya. Malah sokongan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun terhadap kenyataan ketuanya itu pun ada maknanya. Percaya atau tidak, marah atau tidak, nampaknya ketuanan Melayu memang tidak relevan lagi. Tidak perlulah ditukar konsep ketuanan Melayu kepada konsep keabsahan Melayu atau kepimpinan Melayu, kekuasaan Melayu atau apa sahaja, pokoknya memang makna ketuanan Melayu sudah tidak relevan pun.

Cumanya tak relevan ketuanan Melayu pada pemikiran penulis tidaklah sama dengan pemikiran dua tokoh pimpinan MCA itu. Tidak relevannya ketuanan Melayu pada penulis ialah walaupun orang Melayu adalah 'tuan' di tanah airnya sendiri tetapi bak kata orang tua-tua 'menang sorak kampung tergadai'. Makna ketuanan Melayu sudah hilang relevan bila orang Melayu sendiri termasuk para pemimpinnya mula berperangai seperti Pak Kaduk.

Orang Melayu diakui dalam sejarah negara sebagai penduduk asal tanah air ini. Pada 2010 dijangka orang Melayu akan terus merupakan majoriti di negara ini dengan kadar 67 peratus, berbanding etnik Cina 24.3 peratus dan etnik India 7.4 peratus. Manakala lain-lain etnik akan berada pada tahap 1.3 peratus. Bagaimanapun data ini belum boleh memberikan makna tentang menjadikan ketuanan Melayu sebagai sesuatu yang relevan di kalangan masyarakat Melayu negara ini.

Dari segi politik, pemecahan orang Melayu memang sudah jelas. Atas nama ideologi yang berbeza orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan utama iaitu UMNO, Pas dan PKR. Berdasarkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri-negeri, jelas taburan kuasa politik menunjukkan bahawa negara ini adalah sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kuasa yang kadang kala mencabar ketuanan Melayu. Jelasnya, secara politik orang Melayu bukanlah lagi tuan punya secara mutlak di tanah airnya sendiri.

Dari segi sosial, orang Melayu merupakan penyumbang terbesar kepada masalah sosial negara. Tidak benar jika dikatakan oleh kerana orang Melayu adalah penduduk paling ramai maka tentulah pelaku masalah sosial ialah kebanyakannya orang Melayu. Statistik PDRM 2006, menunjukkan orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang paling ramai menagih dadah di Pulau Pinang walaupun orang Melayu bukanlah kumpulan majoriti di negeri tersebut.

Selain dadah, kes penderaan dalam keluarga, sumbang mahram, keciciran pendidikan serta pelbagai perlakuan delikuensi masih dikuasai oleh generasi muda Melayu. Jika tidak dibanteras segera maka ketuanan Melayu tentunya tidak relevan lagi, bukan sahaja menyediakan pemimpin negara malah sebagai tenaga kerja profesional negara pada masa depan.

Tetapi apa yang paling menarik untuk membicarakan makna ketuanan Melayu adalah dengan melihat daripada perspektif ekonomi. Menjadi 'tuan' bermakna seseorang menguasai sepenuh hartanya. Misalnya, tidak mungkin seseorang menjadi tuan rumah jika rumahnya adalah milik orang lain. Berdasarkan statistik tahun 2004 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5 peratus lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4 peratus lebih rendah berbanding orang India.

Ringkasnya, selepas 50 tahun merdeka orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila tuan di tanah air sendiri lebih miskin berbanding orang lain. Apakah maknanya ketuanan Melayu jika kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain.

Berdasarkan data purata pendapatan bulanan mengikut kumpulan etnik utama pada tahun 2004 oleh Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan bulanan orang Melayu ialah RM2,711, orang Cina RM4,437 dan orang India RM3,456. Jelas sekali orang Melayu secara keseluruhannya masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama di negara ini. Malah lebih menarik, orang Melayu yang digambarkan sebagai tuan di negara ini merupakan satu-satu etnik yang berada di bawah paras purata pendapatan rakyat Malaysia iaitu RM3,246.

Malah bagi menunjukkan betapa tidak relevannya makna ketuanan Melayu itu, lihatlah data berkaitan pemilikan unit bangunan dan premis komersial berdasarkan kumpulan etnik Melayu dan Cina sebagai perbandingan asas.

Tentunya data-data ini menunjukkan kesimpulan bahawa orang Melayu sangat jauh ketinggalan di dalam semua bidang di negara sendiri. Bagaimana kaum lain berjaya menguasai kekayaan negara haruslah dihormati dan diakui. Mereka telah secara bersungguh-sungguh menguasai ilmu dan juga menunjukkan kekentalan mental dan disiplin kerja yang tinggi untuk mencapai kekayaan itu.

Malah terbaru, lihatlah bagaimana beberapa hari lalu Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 yang bernilai 490 juta unit habis dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa 6 jam 10 minit sahaja. Pada 18 Julai 2007 lalu, sejumlah 500 juta unit Amanah Saham Malaysia (ASM) telah dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa hanya 39 minit sahaja. Bayangkan nanti pada 1 Disember 2008 apabila satu bilion unit tambahan ASM akan ditawarkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB). Bagi orang Melayu, tidak perlulah menunggu sehingga minggu depan kerana unit ASM yang telah ditawarkan sejak sekian lama pun belum lagi habis dilanggan.

Nampaknya perancangan orang Melayu tidak begitu menjadi jika dibandingkan dengan jumlah tenaga manusia, kuasa politik serta segala macam kemudahan dan modal yang disediakan untuk memajukan mereka. Sebenarnya, sangat jarang berlaku di dalam mana-mana negara di dunia, sebuah negara yang dikuasai oleh etnik majoriti serta menguasai kuasa politik, kumpulan etnik tersebut berada jauh ketinggalan berbanding etnik minoriti seperti mana yang berlaku di Malaysia.

Sesuatu secara besar-besaran untuk membangunkan 'makna ketuanan Melayu' tanpa menyinggung kumpulan etnik lain mestilah dilakukan dengan kadar segera. DEB yang murni wadahnya dan disokong oleh segenap lapisan masyarakat pun masih tidak dapat mencapai sasaran untuk meningkatkan ekonomi Melayu pada paras 30 peratus.

Lebih menyedihkan bila data Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2004 menunjukkan kemiskinan orang Melayu adalah 8.3 peratus jauh lebih tinggi daripada orang Cina (0.6 peratus) dan orang India (2.9 peratus). Pimpinan Melayu mesti berani untuk mengakui kelemahan DEB dan bersedia untuk belajar daripada pengalaman DEB dan perbetulkan kelemahan tersebut.

Oleh itu sesuatu yang jauh lebih besar perencanaan berbanding DEB mestilah dibangunkan oleh pimpinan Melayu di negara ini. Lebih daripada itu, orang Melayu khususnya pimpinannya harus meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuannya. Pimpinan Melayu mestilah boleh menonjol dan menguasai ruang politik pelbagai etnik secara meritokrasi bukan kroni, terbukti cemerlang dan pada masa yang sama mempunyai sikap benci kepada rasuah, politik wang dan budaya mengambil kesempatan atas wang rakyat.

Mereka jua mestilah boleh membuktikan keberkesanan pengurusan yang cekap dan adil. Hasilnya mereka akan berupaya untuk mengubah secara langsung makna ketuanan Melayu untuk diterima oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi yang lebih penting oleh kumpulan etnik yang lain. Jika pimpinan Melayu sekarang tidak bertindak meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuan mereka, pastinya ketuanan Melayu akan tidak relevan lagi.

Thursday, July 3, 2008

SUDOKU BERASAL DARI BAHASA ARAB?

Oleh Dr Abd Razak Abu Chik

Antara permainan popular di kalangan remaja masa kini ialah permainan sudoku. Permainan ini dikatakan berasal dari Jepun. Walaubagaimanapun orang Eropah mendakwa permainan ini diperkenalkan di Eropah pada zaman penjajahan dan ditiru oleh Jepun.

Dalam hal ini, terdapat suatu teori yang lebih sahih iaitu permainan sudoku atau assuduk berasal daripada Bahasa Arab. Perkataan ini berasal daripada gabungan sin, dal, kaf yang membawa makna susun.

Dalam permainan sudoku, seseorang itu dikehendaki menyusun angka 1 hingga 9 dalam 81 petak yang disediakan. Dalam permainan ini, setiap angka 1,2,3,4,5,6,7,8 dan 9 mesti ada dalam setiap baris sama ada menegak atau melintang.

Sehubungan itu, kesemua angka 1 hingga 9 mesti ada dalam setiap 9 baris menegak dan 9 baris melintang. Seterusnya kesembilan angka tersebut juga mesti ada bagi setiap 9 petak (3x3).

Dengan kata lain, dalam permainan sudoku terdapat 27 susunan angka yang terdiri daripada angka 1 hingga 9 dalam bentuk menegak, melintang dan dalam setiap petak (3 x 3). Setiap angka dalam sesuatu baris tidak dibenarkan berulang. Begitu juga dalam setiap petak (3 x 3).

Pada zaman dahulu, mereka tidak menggunakan angka 1 hingga 9. Sebaliknya mereka menggunakan 10 huruf tambahan. Dalam Bahasa Arab terdapat 29 huruf yang terdiri daripada 19 huruf asas dan 10 huruf tambahan.

Huruf asas ialah ba, tha, jim, ha pedas, kha, dal, dzal, ra, zai, syin, shad, dhat, tha, zha, ain, ghin, fa, qaf, dan kaf. Manakala 10 huruf tambahan ialah sin, hamzah, lam,ta, mim, wau, nun, ya, ha simpul dan alif. Sehubungan itu, oleh kerana bilangan huruf yang diperlukan dalam petak ialah 9 huruf, maka huruf alif dan hamzah digabungkan.

Orang Eropah kemudiannya menukarkan 9 huruf iaitu (sin, hamzah dan alif, lam, ta, mim, wau, nun, ya, ha simpul) kepada angka 1 hingga 9. Begitu juga orang Jepun yang kemudiannya mempopularkannya masih mengekalkan sistem angka 1 hingga 9.

Permainan sudoku menggunakan huruf tambahan sememangnya banyak memberi manfaat kepada pelajar Bahasa Arab. Permainan ini banyak membantu para pelajar menguasai perkataan Arab terutamanya dalam memahami makna perkataan. Seterusnya ia membantu para pelajar menguasai angka.

Dengan cara ini, seseorang yang menguasai huruf sudah pasti akan membantunya untuk menguasai bahasa. Begitu juga jika seseorang yang menguasai angka sudah pasti akan membantunya untuk menguasai matematik. Tegasnya, seorang yang mahir berbahasa Arab akan banyak membantu untuk bijak dalam Matematik. Inilah yang telah dibuktikan para ulama terdahulu seperti al-Khawarizmi dan lain-lain.

Berdasarkan beberapa kursus ‘Bahasa Arab yang memfokuskan cara untuk menguasai Matematik’ yang dijalankan setakat ini memang mendapat sambutan yang menggalakkan. Rata-rata para pelajar mendapat suntikan motivasi yang cukup tinggi. Ini kerana belajar Matematik berasaskan Bahasa Arab dapat mencungkil pelbagai rahsia.

Buktinya, perkataan-perkataan yang berkaitan Matematik adalah berasal daripada gabungan ha-sin-ba. Apa yang penting ialah perkataan Al-Hasib iaitu nama Allah Yang Maha Mengetahui tentang Matematik. Oleh itu, seseorang yang belajar Matematik menerusi Bahasa Arab mudah memohon petunjuk daripada Al-Hasib.

Saturday, April 14, 2007

YIN DITEMUI SEMULA

Yin DiTemui Di Sentul


KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kanak-kanak yang hilang Mohammad Nazrin Shamsul Ghazali ataupun Yin ditemui selamat di Sentul petang ini, kata Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC I Zulhasnan Najib Baharuddin.