Showing posts with label MEDIA. Show all posts
Showing posts with label MEDIA. Show all posts

Monday, December 15, 2008

PEMBAHARUAN RTM ADA MOTIF?

Oleh Warga Risau (Sungai Buloh)

KE mana arah rakyat pelbagai kaum hendak dibawa? Adakah kita mahu keadaan yang hari demi hari dilanda prasangka antara kaum yang tidak sudah-sudah? Apa sahaja perkara yang menyinggung perasaan antara kaum dibangkitkan dari semasa ke semasa.

Melihat trend yang dimainkan oleh orang politik dan penyokongnya, perpaduan kaum kita berada dalam bahaya.

Kerajaan kena hentikan semua ini. Paling bahaya jika saluran media televisyen digunakan untuk menyebarkan dakyah yang boleh mempengaruhi minda rakyat ke arah perasaan benci antara satu sama lain, terutama berkaitan dengan perpaduan kaum.

Sebab itu saya menyokong tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan sementara slot tiga program bual bicara iaitu What Say You yang dikendalikan dalam bahasa Mandarin di saluran RTM2, Bersemuka Dengan Media dan Eksklusif Bersama KSU (Ketua Setiausaha) di RTM1 dalam bahasa Melayu.

Tetapi antara ketiga-tiga program itu, saya rasa What Say You sudah lari daripada matlamat. Nampak sangat agenda program sudah terpesong. Pengendali program itu nampak semacam sengaja mahu mempersoalkan perkara-perkara sensitif termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau pun hendak membincangkan sesuatu isu secara terbuka, penerbit juga kena berhati-hati. Dari sudut kaum Cina, ia bagus untuk menghentam dan mengkritik kepimpinan dan orang Melayu serta dasar-dasar kerajaan.

Tetapi bagaimana perasaan orang Melayu? Bagaimana sebuah stesen kerajaan boleh membenarkan perkara-perkara negatif disiarkan.

Kepada pemimpin Cina, mereka tidak perlu gundah dan kecewa dengan penstrukturan semula program What Say You. Mereka kena fikir kesan program itu kepada perpaduan nasional.

Program yang dihentikan itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana dua lagi program yang dikendalikan dalam bahasa Melayu turut dihentikan tapi tidak pula menimbulkan apa-apa isu di kalangan orang Melayu. Jadi, tolong jangan politikkan program yang hanya mahu mengapi-apikan sentimen perkauman.

Memandangkan program What Say You disiarkan pada waktu puncak pukul 7 malam, tetapi menduduki tangga bawah dalam program bual bicara maka pada saya elok program ini dihentikan sahaja.

Jika mahu diteruskan pastikan kandungannya dan pengendali program memahami aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara harmoni dan memahami perasaan berbilang kaum.

Satu lagi isu yang kini diheboh-hebohkan di kalangan masyarakat Cina ialah program berita Mandarin yang disiarkan pada pukul 8 malam di RTM2 akan dialihkan ke pukul 8 malam di RTM1 dalam penstrukturan semula program RTM pada Januari tahun depan.

Mereka langsung tidak mahu beralah. Melalui penstrukturan semula itu, jumlah waktu siaran berita Mandarin sebanyak sejam akan dikurangkan kepada setengah jam sehari. Tetapi kini sesetengah pemimpin MCA meminta waktu siaran berita Mandarin di RTM dikekalkan sebanyak sejam sehari atau dilanjutkan waktu penyiarannya.

Persoalannya, adakah siaran berita Mandarin sekarang ditonton oleh masyarakat Cina atau mereka sibuk menonton siaran bahasa Mandarin di Astro. Jika sesuatu perubahan yang ingin dilakukan oleh RTM sudah ditentang sejak dari awal, sampai bila RTM dapat berubah.

Biarlah RTM melakukan pembaharuan pada Januari 2009. RTM mempunyai tanggungjawab besar dalam pembangunan negara dan pemikiran rakyat.

Oleh itu, saya menggesa pihak tertentu supaya tidak terlalu sensitif dengan perkara sebegini dan meminta mereka memfokuskan kepada konsep pemberitaan baru melalui RTM yang disampaikan kepada masyarakat.

Sunday, November 16, 2008

ATM GAGAH MEMPERTAHANKAN NEGARA

Oleh Raja Syahrir Abu Bakar

PERBARISAN Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-75 di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Khamis lalu nyata meriah sekalipun ketumbukan itu baru-baru ini menerima berita yang agak ‘merunsingkan’.

Lebih tepat, berita yang dimaksudkan adalah mengenai penangguhan pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 yang dijangka hanya mula diperoleh pada tahun 2011, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata, penangguhan itu terpaksa dilakukan dalam keadaan negara mengalami krisis ekonomi global, memberi ruang peruntukan itu disalurkan kepada sesetengah segmen masyarakat yang lebih memerlukan.

Dengan tenang, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal pada sidang akhbar selepas perbarisan itu memberitahu, pesawat-pesawat Nuri yang digunakan dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih berkeadaan baik dan boleh digunakan sehingga 2015.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang turut hadir lantas mempersetujui kenyataan Abdul Aziz tadi malahan mereka berdua sependapat tempoh tersebut masih boleh dipanjangkan sekiranya ATM, khususnya TUDM meneruskan kerja-kerja penambahkbaikan ke atas Nuri dari semasa ke semasa.

“Penangguhan ini (Eurocopter) tidak menjejaskan ‘state of readiness ATM.’

Mencipta sejarah

“Selama ini kita telah menjalankan tugas dengan baik menggunakan Nuri dan ia juga digunakan sewaktu kita menghadapi ancaman Komunis, apatah lagi hari ini keadaan negara aman,'' kata Abdul Aziz yakin.

Sementara itu, dua lagi ketua perkhidmatan iaitu Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar turut mempamerkan keyakinan di wajah masing-masing sepanjang sidang akhbar berlangsung.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz memberitahu, ATM mencipta sejarah apabila muncul sebagai satu-satunya angkatan tentera di dunia yang berjaya mengakhiri ancaman pemberontakan bersenjata.

Beliau menambah, sejak ATM menyertai misi pengaman ke Congo, Afrika pada tahun 1960 menerusi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), pasukan itu telah terlibat dalam tujuh misi pengaman serta 23 misi pemerhati serta staf tentera membabitkan kira-kira 20,1000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Beliau yakin kesemua pembabitan ini menandakan pengiktirafan dunia yang berpanjangan terhadap angkatan tentera negara, khususnya daripada PBB.


Nyata, perolehan lain-lain aset strategik ATM seperti pesawat pejuang Sukhoi, kapal peronda generasi baru, kapal selam Scorpene, kereta kebal Pendekar (PT-91M) dan sistem pelancar roket berganda, Astros mampu mewujudkan elemen cegah rintang yang menggerunkan terhadap negara.

Sementara itu dalam perutusannya sempena sambutan Jubli Intan ATM baru-baru ini, Muhammad Ismail mengakui suasana dunia dalam abad ke-21 ini akan terus bergolak dengan ancaman dari dalam dan luar negara yang sukar untuk ditafsirkan.

“Sesungguhnya, Tentera Darat sentiasa mengikuti perkembangan strategik ini dan secara proaktif telah merangka satu rancangan komprehensif untuk membangunkan sebuah angkatan darat yang boleh dibanggakan.

“Kita sedang bergerak berlandaskan satu visi untuk menjadikan Tentera Darat sebuah angkatan yang mempunyai kebolehan serta keupayaan untuk menangani pelbagai misi dalam sesuatu masa,'' ujarnya.

Abdul Aziz pula dalam perutusannya tidak ragu-ragu apabila menyatakan kehadiran kapal selam pertama negara, (Kapal Diraja) KD Tunku Abdul Rahman yang dijangka pada awal tahun depan bukan sahaja mampu mempengaruhi keadaan keselamatan maritim serantau, malah menjadi cegah rintang kepada musuh yang cuba mengancam kepentingan negara.

“Dengan perolehan kapal selam ini (dan kapal selam kedua KD Tun Abdul Razak yang dilancarkan Oktober lalu), ditambah dengan aset-aset strategik sedia ada seperti helikopter Super Lynx dan Fennec sebagai force-multiplier', ia pasti meningkatkan keupayaan peperangan TLDM dengan signifikan'' tegasnya.

Lebih bermakna, TLDM baru-baru ini dengan kerjasama Tentera Darat dan TUDM berjaya membebaskan anak-anak kapal dua kapal pengangkut negara yang menjadi tawanan dua kumpulan lanun berasingan di Teluk Aden, Somalia.

Malah sehingga artikel ini ditulis, terdapat dua lagi kapal milik TLDM yang sedang belayar di laluan berkenaan untuk mengiringi dan menjamin keselamatan kapal-kapal dagang negara daripada sebarang ancaman.

Azizan dalam amanatnya pula berbangga sebagai pemerintah tertinggi TUDM kerana beliau bukan hanya merayakan sambutan Jubli Emas TUDM tahun ini, malahan juga sambutan Jubli Intan ATM.

“TUDM baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke 50 pada tahun ini. Walaupun usianya masih muda jika dibandingkan dengan penubuhan ATM, namun TUDM telah mula menunjukkan kematangannya.

“Sungguhpun demikian, kewibawaan TUDM dalam melaksanakan tanggung jawab menjamin keselamatan negara sudahpun terserlah semenjak mula-mula ia ditubuhkan lagi.

“Sewaktu menentang pengganas komunis semasa darurat, kuasa udara yang dijunjung oleh TUDM telah dilaksanakan dengan jayanya melalui misi-misi udara dan juga misi-misi bantuan kepada pasukan sahabat seperti Tentera Darat, TLDM dan juga polis,'' katanya.

Nyata keempat-empat panglima itu yakin dengan keupayaan masing-masing dan berita penangguhan pembelian helikopter tersebut langsung tidak merencatkan fokus mereka.

Berbalik kepada perbarisan tadi, selain menerima tabik hormat daripada anggota yang terlibat, Abdul Aziz serta warga ATM lain turut memberikan tabik hormat kepada panji-panji yang diarak.

Beliau turut menyempurnakan upacara simbolik pengisian kapsul masa yang mengandungi harapan, amanat dan cadangannya untuk dibuka oleh panglima angkatan tentera pada 16 September 2033 nanti, sempena 100 tahun penubuhan ATM.

Sunday, July 27, 2008

KHADIJAH'S KITCHEN IN PETALING JAYA

KUALA LUMPUR: Khadijah (“Kathy”) Ibrahim, the consummate crooner, is proving she has taste in another field.

Very few people, other than those closest to her, know that she is also a consummate cook.

That is about to change as the veteran singer has decided to share her culinary talent with the Malaysian public.

At the urging of friends, Khadijah, who has just returned home after a long stint abroad, recently opened her first restaurant, Khadijah’s Kitchen, in Section 11, Petaling Jaya.

She said the restaurant has been designed as a “home away from home” and is dedicated to her many friends whom she has come to cherish over the years.

“My friends and family have been bugging me to open a restaurant for ages. So, I finally conceded and they’re really happy now,” she said.

Khadijah has created a cosy ambience for her diners, as the interior is reminiscent of a country home, with its moss-green walls and candle holder centrepieces on every table.

“I spend so much time here that it might as well serve as a home for me. So many of my friends hang out here during the day and the evenings,” she said.

Indeed, one sees little need for Khadijah to ever leave. The staff comprise relatives or close friends and she refers to all of them as “s aya n g ”.

As for the menu, it is truly Malaysian. On offer is a variety of Malay, Chinese, Indian and Baba Nyonya dishes, and in the afternoons, local delicacies such as kuih, bubur chacha and bubur gandum, to name a few.

The restaurant’s signature dishes are Laksa Johor and the house special Gula Melaka ayam pangang.

“But it takes ages to prepare, so I only serve it occassionally. The chicken has to be marinated for a whole day to get that exact taste,” said Khadijah, who is also the head chef.

As with her singing, Khadijah’s restaurant is an expression of one of her life’s passions.

“I just love cooking. I’ve loved it since I was 12 years old. My mother was always very encouraging.

She used to use this Malay phrase, air tangan, whichmeans that you put everything you’ve got into your cooking so it’s really from the heart.” When asked if she has plans to open more restaurants, Khadijah replied that she is thinking of venturing into two major European cities and perhaps New York.

“I think these are cosmopolitan centres and people are always willing to try out new things.” - nst.

Wednesday, June 11, 2008

BARAT KUASAI RENTAK PASARAN

Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

DUA perkembangan mutakhir di negara kita iaitu kenaikan harga bahan makanan seperti beras dan peningkatan harga petrol sememangnya menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat.

Ini kerana ia menyentuh keperluan asas kehidupan penduduk yang tanpanya mereka tidak dapat maju dan menjalani kehidupan seharian. Makanan adalah keperluan asas kehidupan yang tanpanya tentulah manusia tidak akan dapat hidup sama sekali.

Petrol pula merupakan nadi kehidupan yang menggerakkan manusia dan penting kepada kebanyakan industri dan ekonomi sesebuah negara.

Minyak petrol dan makanan ibarat aur dengan tebing kerana kenaikan harga minyak akhirnya akan membawa kenaikan kepada harga makanan juga. Ia juga dikaitkan dengan kos pengangkutan, penggunaan jentera dan tenaga elektrik umpamanya dalam industri makanan dan bijirin yang menggunakan petrol.

Di negara kita tidak lama selepas kenaikan harga makanan ruji seperti beras, kenaikan harga petrol RM0.78 seliter kepada RM2.70 seliter dirasakan amat membebankan dan memberi tekanan kepada pengguna.

Keperluan makanan dan petrol adalah syarat penting kepada melahirkan masyarakat bertamadun kerana ia adalah faktor-faktor asas kepada kelangsungan kehidupan manusia.

Jika dilihat, kedua-dua angkubah ini naik dengan mendadak di tahap sejagat dengan kesan ekonomi dan sosial yang memeritkan.

Namun bahan atau komoditi asas yang sekarang menentukan penghasilan ekonomi dan kehidupan sosial di bumi ini berada di bawah penguasaan oligarki atau institusi kewangan dan korporat sejagat.

Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (OPEC) atau negara pengeluar bahan makanan ruji seperti padi, gandum atau jagung pun tidak berkuasa untuk menentukan harganya di pasaran.

Tidak keterlaluan jika dikatakan hampir kesemua negara di dunia sekarang berada di bawah pengaruh dan kepentingan kapitalisme sejagat.

Badan utamanya termasuklah institusi Bretton Woods seperti Bank Dunia dan Da- na Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Per- tubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah melakarkan projek globalisasi yang di bawah pengaruh dan pengawasan institusi kewangan dan korporat gergasi sejagat.

Kerajaan-kerajaan di dunia sekarang bertindak mengikut gelombang globalisasi yang di bawah penguasaan institusi Bret- ton Woods dan WTO.

Segala keputusan ekonomi dan kewangan dalam negeri yang dibuat sedikit se- banyak haruslah diselaraskan dengan kepentingan elit penguasa atau oligarki ini.

Kerajaan-kerajaan di dunia telah hilang kedaulatan dan gagal memainkan peranan menjaga kebajikan rakyat. Mereka telah terikat dalam dasar, peraturan dan perjanjian dengan pergantungan kepada institusi ini melalui pembayaran hutang dan patuh kepada pasaran eksport demi mencapai mi- tos pertumbuhan dan mengejar kepesatan ekonomi sehingga menuju ke status negara maju.

Nampaknya nasib jutaan manusia sekarang berada di tangan lembaga pengarah- lembaga pengarah institusi kewangan dan korporat gergasi ini yang keputusan mereka didorong oleh untung dan rugi.

Namun peranan aktor ekonomi gergasi ini tidak kelihatan kerana bersembunyi di sebalik tangan ghaib melalui mekanisme pasaran permintaan dan penawaran sahaja.

Sebagaimana yang pernah disebutkan ke- naikan kedua-dua bahan ini adalah akibat daripada mainan spekulasi manipulasi pasaran oleh aktor ekonomi gergasi atau oli- garki yang tidak berhati perut yang hanya mementingkan keuntungan.

Jika tidak ditangani dengan segera secara seriusnya kita akan berhadapan dengan kenaikan harga bahan api dan makanan yang boleh memiskinkan dan memusnahkan kehidupan manusia sejagat.

PergantunganBagi sesetengah negara miskin ia akan membawa kejatuhan taraf hidup penduduknya dengan mendadak. Kenaikan kedua-dua bahan ini juga boleh melingkupkan dan membawa kepada bankrapnya perniagaan sederhana dan kecil-kecilan bagi mereka yang tinggal di negara sedang membangun.

Ini membawa kepada kemusnahan dan kelemahan ekonomi tempatan dan pergantungan berlebihan negara sedang membangun yang terpaksa berhutang lagi kepada Bank Dunia dan memerlukan penstrukturan dasar kewangan yang memerlukan ban- tuan IMF yang akhirnya akan membawa kepada kemasukan korporat-korporat gergasi untuk menguruskannya. Nampaknya negara sedang membangun tidak dapat keluar daripada pusingan ganas ini.

Sehubungan itu Michel Chossudovsky dalam laman web Global Research telah menggariskan aktor-aktor atau oligarki yang di belakang tabir yang terlibat dalam kenaikan bahan api dan makanan ini:

l Rumah-rumah kewangan dan bank- bank di Wall Street, New York, termasuklah spekulator yang memainkan peranan langsung dalam pasaran komoditi termasuklah pasaran minyak dan makanan.

l Korporat gergasi minyak British-AS termasuklah British Petroleum (BP), Ex- xonMobil, Chevron-Texaco dan Royal Dutch Shell.

l Konglomerat biotek-pertanian yang memiliki hak milik intelektual ke atas bi- jirin dan input pertanian. Syarikat biotek ini juga merupakan aktor utama di pasaran tu- karan komoditi di New York dan Chicago.

l Kompleks industri - tentera termasuklah lima kontraktor pertahanan AS (Lockheed Martin, Raytheon, Northrop Grunman, Boeing dan General Dynamics) bersama dengan British Aerospace Systems Corporation (BAES) oligarki yang rapat dengan Wall Street, gergasi minyak dan konglomerat biotek dan pertanian.

Sebab itulah apa yang kita bimbang ialah berlakunya inflasi pada kadar yang tinggi hingga melemahkan kuasa beli pengguna.

Kita sekarang berhadapan dengan kuasa ekonomi yang di luar kawalan dan kekuasaan kita di mana instrumen manipulasi pasaran yang digunakan telah menjejaskan kehidupan jutaan manusia di serata dunia.

Harga minyak dan makanan telah ditetapkan di peringkat antarabangsa di luar daripada keputusan dasar kerajaan.

Tetapi ini tidak bermakna kerajaan harus berpeluk tubuh dengan menyalahkan faktor luaran dan tidak boleh melakukan apa-apa untuk mengatasinya.

Dasar kerajaan harus bersifat berdikari melihat ke dalam daripada bergantung kepada luar. Pembentukan dasar melalui pro- jek pertanian bahan makanan utama untuk keperluan dalam negeri harus dilaksanakan. Mereka harus membentuk blok tersendiri di kalangan negara sedang membangun bagi menukarkan bahan makanan untuk kepentingan sendiri daripada berada di luar ekonomi dan spekulasi pasaran sejagat.

Harus diingat kebanyakan bahan pertanian datang daripada negara sedang membangun jadi mengapa harus dieksport ke Barat dan ditentukan oleh pasarannya pula. Kuasa penentu ada di tangan negara sedang membangun. Paradigma ini harus ditukar.

Ingat kata-kata bekas Setiausaha Negara AS semasa era Presiden Richard Nixon, Henry Kissinger: "Kuasai minyak dan anda akan menguasai dunia; kuasai makanan dan anda akan menguasai rakyat." - UTUSAN MALAYSIA.

Sunday, June 1, 2008

13 INISIATIF HADIAH UNTUK SABAH

KOTA KINABALU 31 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan 13 inisiatif sebagai ‘hadiah’ daripada Kerajaan Persekutuan berikutan sumbangan besar negeri ini kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Antara inisiatif itu ialah memansuhkan serta-merta Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) yang diwujudkan semasa pembangkang memerintah Sabah 17 tahun lalu, yang mana ia amat dinantikan oleh rakyat negeri ini.

Serentak dengan pemansuhan itu, 207 daripada 292 perjawatan yang ada diserapkan ke Pejabat Daerah dan menjalankan tugas di bawah Pejabat Pembangunan Negeri (SDO).

Abdullah berkata, meskipun dipindahkan di bawah pentadbiran negeri, kerajaan Pusat tetap menanggung pembayaran gaji mereka selama dua tahun dengan kos keseluruhan RM1.69 juta.

“Dengan pemansuhan JPPS, SDO Sabah seperti negeri lain perlu menguruskan peruntukan khas Perdana Menteri dan juga memantau pelaksanaan projek-projek,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan parti-parti komponen BN dan pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan, di sini hari ini.

Pengumuman hari ini juga adalah rentetan pertemuan antara Perdana Menteri dengan wakil UMNO dan parti-parti komponen BN pada 7 April lalu bagi mendengar sendiri pelbagai isu yang dibangkitkan termasuk isu JPPS, pendatang asing tanpa izin (PATI) serta perjawatan anak negeri dalam jabatan Persekutuan.

Sementara itu, sebagai memenuhi isu perjawatan, Abdullah mengumumkan pelantikan anak Sabah, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon sebagai Naib Canselor baru Universiti Malaysia Sabah berkuat kuasa 18 Jun ini menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin yang bersara.

Sementara seorang lagi anak Sabah, Yusof Saringgit akan menjawat Pegawai Kewangan Persekutuan yang baru.

“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju melaksanakan skim tukar lantik dengan pegawai perkhidmatan negeri ditawar menyertai perkhidmatan awam Persekutuan di peringkat tinggi dan pertengahan,” katanyai.

Perdana Menteri berkata, bagi melancarkan lagi program pembangunan di Sabah, satu panel akan diwujudkan dalam usaha memperkemaskan fungsi bertindih antara agensi Persekutuan dan negeri.

Katanya, panel itu dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Persekutuan Sabah.

Menurut beliau, begitu juga perancangan pembangunan projek akan diselaraskan antara Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan input sebelum sesuatu projek diluluskan.

Mengenai desakan supaya kerajaan Pusat menangani dengan lebih serius masalah PATI, Abdullah berkata, bilangan Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah akan ditambah daripada tiga kepada lima termasuk membina dua lagi pusat tahanan baru iaitu di Papar dan Sandakan.

Sementara itu, Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut ditubuhkan bagi membincangkan masalah PATI dengan lebih berkesan terutama masalah pemegang dokumen IMM13 di Sabah.

Menyentuh mengenai projek pembangunan menyeluruh, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan RM18.46 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu kedua terbesar berbanding negeri lain.

“Pada masa ini, agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya telah diberi tanggungjawab melaksanakan projek-projek tersebut yang bernilai RM3.4 bilion.

“Serentak itu, Kabinet telah meluluskan peruntukan RM1 bilion daripada peruntukan khas Perdana Menteri untuk pembangunan luar bandar yang akan diagih mengikut keperluan,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai permintaan pengagihan peruntukan Kerajaan Pusat yang lebih seimbang, Abdullah berkata, Kabinet juga bersetuju supaya agihan perlu dilaksanakan mengikut jumlah penduduk iaitu merangkumi wajaran 35 peratus, keluasan negeri (wajaran 35 peratus) dan tahap pembangunan dan kadar kemiskinan (wajaran 30 peratus).

Menurut beliau, dengan itu, kedudukan Sabah yang luas akan mendapat pembelaan yang lebih wajar bagi membolehkan program pembangunan dapat disusun mengikut keperluan rakyat. - UTUSAN MALAYSIA.

Friday, May 23, 2008

HARGA MINYAK MELAMBUNG.....

LONDON 22 Mei – Harga minyak mentah dunia terus meningkat lagi hari ini mencecah paras ketinggian baru melebihi AS$135 (RM432) setong ekoran kebimbangan terhadap kekurangan bekalan dan peningkatan permintaan.

Minyak mentah Brent North Sea melonjak ke paras tertinggi baru kepada AS$135.13 (RM432.41) setong dan penanda aras pasaran, harga minyak berkualiti tinggi Light Sweet New York merekodkan harga tertinggi baru pada AS$135.09 (RM432.28) setong.

Harga minyak di pasaran hadapan telah meningkat lebih daripada satu pertiga sejak awal tahun ini apabila ia buat kali pertama mencapai paras AS$100 (RM320) setong.

Ini berikutan ketidaktentuan senario politik di negara pengeluar minyak, pengurangan stok bahan tenaga, keengganan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkatkan pengeluaran, permintaan tinggi dari negara-negara Asia serta kelemahan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Harga minyak mentah dunia telah mencecah AS$130 (RM416) semalam sebelum terus mengalami peningkatan berikutan berita mengenai kejatuhan stok simpanan tenaga AS minggu lepas.

Peningkatan harga minyak telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara dunia yang memberikan subsidi minyak kepada rakyatnya untuk menampan kesan buruk kenaikan harga komoditi berkenaan.

Menurut sebuah firma penyelidikan di Kuala Lumpur, Kenanga Research, rakyat Malaysia mungkin berdepan kemungkinan harga bahan api dinaikkan dengan perkembangan terbaru itu.

Ini kerana katanya, kerajaan dilihat tidak mungkin mampu lagi untuk mengekalkan kos memberikan subsidi minyak sekiranya harga minyak mentah terus meningkat mencatat rekod terbaru.

‘‘Kami percaya kerajaan mungkin terpaksa menaikkan harga bahan api sekiranya harga minyak mentah melepasi dan kekal di paras AS$140 setong,’’ kata firma itu.

Pelbagai jenis subsidi yang diberikan oleh kerajaan sekarang kepada rakyat telahpun mencecah paras RM50 bilion dengan jumlah terbesar daripadanya atau RM45 bilion adalah untuk subsidi minyak.

Penganalisis Purvin and Gertz di Singapura, Victor Shum pula menjelaskan, pada masa ini, kesan psikologi lebih mempengaruhi pasaran berbanding dengan dasaran atau fundamental.

‘‘Meskipun tiada kekurangan bekalan, permintaan minyak dunia terus meningkat dan pertumbuhan adalah terhad.

‘‘Minyak menjadi pilihan berbanding ekuiti dan bon kerana minyak menawarkan pulangan yang baik,’’ katanya.

Selain itu, peningkatan harga minyak secara mendadak juga berpunca daripada tindakan Rizab Persekutuan AS menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi AS, negara pengguna minyak yang terbesar di dunia.

Harga minyak yang tinggi dilihat sebagai faktor utama yang menjejaskan momentum peningkatan itu.

Kelemahan mata wang AS juga menjadi sebahagian daripada punca kelemahan dolar yang menjadikan komoditi yang diurus niaga menggunakan dolar lebih murah kepada pembeli berbanding mata wang lain.

Pada masa yang sama, Agensi Tenaga Antarabangsa hari ini juga melaporkan bekalan minyak global akan berkurangan berbanding jangkaan dalam tempoh 20 tahun akan datang, setelah agensi berkenaan menjalankan penyelidikan terhadap prospek pengeluaran.

Laporan itu bermakna bekalan minyak mentah pada masa depan dijangka lebih sukar untuk diperoleh berbanding apa yang dijangkakan sebelum ini.

Sementara itu, pemimpin OPEC, Abdalla Salem El-Badri melahirkan kebimbangannya terhadap ketidaktentuan harga minyak dalam pasaran. - UTUSAN MALAYSIA.

MILIK SIAPAKAH ....BATU PUTIH?

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(Di The Hague, Belanda)

HARI ini Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengumumkan satu lagi keputusan yang bakal dicatatkan dalam sejarah perundangan maritim antarabangsa berhubung siapakah pemilik mutlak Pulau Batu Putih serta dua lagi bentuk maritim iaitu South Ledge dan Middle Rock.

Selepas mendengar hujah-hujah lisan oleh kedua-dua negara yang menuntut kedaulatan ke atas ketiga-tiga pulau itu pada 6 hingga 23 November lalu, tiba masanya ICJ membuat ketetapan yang memihak sama ada kepada Malaysia atau Singapura.

Keputusan ICJ muktamad dan tidak boleh dirayu, manakala kedua-dua negara sememangnya telah membuat perakuan untuk akur dan menerima apa sahaja keputusan yang dibentangkan oleh ICJ hari ini .

Paling penting keputusan tersebut dipastikan tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang sememangnya diketahui sarat dengan perasaan ‘benci tapi rindu’. Banyak isu dua hala yang mengikat Malaysia dan Singapura, dan tuntutan ke atas Pulau Batu Putih adalah salah satu daripadanya.

Antara isu-isu tertangguh yang menjadi ‘duri dalam daging’ hubungan Malaysia-Singapura ialah semakan harga air yang dijual ke republik itu, pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, pengeluaran wang dari Tabung Simpanan Pusat (CPF) dan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar selain isu penggunaan ruang udara Malaysia oleh Tentera Udara Singapura.

Cuma bezanya isu-isu tersebut menuntut siri rundingan antara kedua-dua negara tanpa perlu merujuk kepada pihak ketiga. Ia berbeza dengan tuntutan ke atas Pulau Batu Putih, South Ledge dan Middle Rock yang melibatkan kedaulatan serta pemilikan lantas memerlukan ICJ sebagai penimbang tara untuk membuat keputusan.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula sejak 28 tahun lalu iaitu selepas Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi Pulau Batu Putih sebagai wilayahnya pada tahun 1979.

Secara rasminya Singapura (yang mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Putih) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.

Tuntutan terhadap Middle Rock yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993.

Pada 1994, Malaysia dan Singapura bersetuju membawa pertikaian ke ICJ melalui Perjanjian Khas untuk memuktamadkan kedaulatan Pulau Batu Putih.

Perjanjian Khas yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih; Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura’’.

Proses demi proses telah dilalui oleh kedua-dua negara selepas perjanjian khas itu dimeterai untuk menyempurnakan tuntutan terhadap ketiga-tiga bentuk maritim itu.

Malaysia yang diketuai oleh Duta Tugas-Tugas Khasnya, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad bekerja keras untuk menyediakan bukti berupa dokumen bagi menyokong fakta bahawa Pulau Batu Putih sememangnya hak Malaysia.


Pendirian

Sebab itu setiap hujah Malaysia menetapkan pendirian bahawa kita tidak menuntut sebaliknya negara mahu ICJ menegaskan bahawa ketiga-tiga bentuk maritim itu sememangnya milik Malaysia manakala Singapura adalah pihak yang menuntut.

Abdul Kadir yakin keupayaan Malaysia mempersembahkan kes tersebut dengan cara paling terbaik. Ia bukan sahaja bergantung kepada tiga orang pegawai tinggi negara iaitu dirinya sendiri, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin serta lima peguam antarabangsa yang terkenal.

Kekuatan pasukan Malaysia juga amat bergantung kepada persediaan rapi yang dijalankan oleh para penyelidik yang telah memulakan kes tersebut sejak tidak kurang 15 tahun lalu.

Penyelidikan tidak terbatas di Malaysia malah menjangkau arkib, perpustakaan, muzium dan pelbagai sumber lagi di seluruh pelosok dunia supaya hujah pasukan negara tidak kelihatan sumbang atau lompong apabila dibentangkan ke mahkamah.

Penyelidikan yang diketuai oleh Wisma Putra telah menjadi satu usaha negara yang amat bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan, universiti dan institusi-institusi lain.

Sememangnya tidak salah jika pasukan Malaysia menaruh keyakinan bahawa negara mempunyai kes yang kukuh untuk mengekalkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge lantaran kita telah memberikan yang terbaik.

Namun selepas bertungkus lumus menerusi hujah bertulis dan hujah lisannya, keputusan adalah di tangan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh termasuk dua hakim ad hoc yang dilantik oleh Malaysia dan Singapura.

Harapan Malaysia, gandingan kepakaran tempatan dan antarabangsa ini, kedaulatan ke atas ketiga-tiga bentuk maritim itu akan dapat dikekalkan selama-lamanya.

Hakikatnya bukan rumah api yang dibina di atas Pulau Batu Putih menjadi ‘subjek utama’ pertikaian tetapi kedaulatan pulau tersebut yang menjadi keutamaan bagi Malaysia.

Sebab itu, Abdul Kadir, bertegas bahawa Malaysia bukan menuntut hak kedaulatan ke atas pulau seluas padang bola itu sebaliknya mahu mahkamah mengesahkan semula bahawa ia sememangnya milik negara.

Sememangnya hujah-hujah Malaysia baik dalam bentuk bertulis mahupun hujah lisan menjurus kepada bukti-bukti penting yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga pulau itu adalah miliknya. Siri dokumen berupa perjanjian, peta-peta dan fakta sejarah menjawab setiap dakwaan yang dikemukakan oleh Singapura.

Singapura pula menjadikan segala tindak tanduknya berhubung penyelenggaraan rumah api di pulau itu sebagai bukti bahawa ia mempunyai kedaulatan di situ. Bagi Singapura, mereka percaya bahawa telah wujud pentadbiran berkesan (effectivites) di pihak republik berkenaan di Pulau Batu Putih sehingga melayakkan pulau itu menjadi miliknya.

Bukti penting

Sepanjang sesi pembentangan hujah lisan Malaysia telah mengemukakan lapan bukti penting bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Johor sebelum tahun 1847 dan bukannya terra nullius (tidak bertuan) seperti yang didakwa oleh Singapura.

Bukti-bukti penting itu berupa dokumen perjanjian yang dipersetujui sepanjang tahun 1824 hingga 1851 melibatkan Kesultanan Johor dan British.

Tiada dokumen dikemukakan oleh Singapura bagi membuktikan dakwaannya bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius dan terbuka untuk diduduki oleh mana-mana kuasa sekalipun.

Singapura berhujah bahawa negara itu telah membuktikan pentadbiran berkesan di Pulau Batu Putih dengan menjalankan pelbagai aktiviti di situ sejak lebih 150 tahun lepas bagi membuktikan ia melaksanakan kuasa kedaulatan di Pulau Batu Puteh, yang dipanggilnya Pedra Branca (bahasa Portugis bermaksud batu putih) sedangkan Malaysia tidak berbuat demikian.

Sesungguhnya pasukan Malaysia bekerja keras untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar dan kes ini dapat dibentangkan secara tersusun.

Namun kesempurnaan hujah-hujah itu tidak diketahui sama berjaya menarik perhatian para hakim yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan antarabangsa dan bukan calang-calang orangnya.

Sesungguhnya hari ini adalah hari penentu sama ada Pulau Batu Putih, Middle Rock dan South Ledge akan kekal bersama Malaysia ataupun Singapura yang sebelum ini bertindak sebagai penjaga Rumah Api Horsburgh akan menjadi pemilik baru ketiga-tiga bentuk maritim itu. - UTUSAN MALAYSIA.

Sunday, May 4, 2008

MU SEMAKIN HAMPIR



RIANG: Ronaldo (kanan) meraikan jaringannya bersama Rio Ferdinand ketika menentang West Ham di Old Trafford dalam saingan EPL, malam tadi. United menang 4-1. Sekiranya Chelsea tewas menentang Newcastle esok, gelaran EPL milik MU.

LONDON: Manchester United mengambil langkah besar ke arah mempertahankan kejuaraan bola sepak Liga Perdana Inggeris apabila mengalahkan West Ham United 4-1 di Old Trafford, semalam selepas bermain hampir separuh perlawanan dengan 10 pemain.

Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol manakala Carlos Tevez dan Michael Carrick, masing-masing satu gol ke atas kelab lama mereka tatkala United memungut 84 mata dengan baki satu perlawanan untuk ditamatkan.

Chelsea, yang akan berdepan Newcastle United, esok, mempunyai 81 mata, tetapi kekurangan jumlah gol yang besar berbanding United.



Jika Chelsea kalah esok, kejuaraan akan menjadi miliki United, melainkan mereka kalah di Wigan Athletic dan Chelsea menundukkan Bolton Wanderers dengan jurang gol yang besar hingga mencecah jaringan berganda dalam perlawanan terakhirnya, minggu depan.

"Laluan menanti Chelsea tidak mudah. Kami tahu kerana pernah melaluinya. Newcastle adalah lawan yang sukar ditundukkan di gelanggang mereka. Saya tahu hakikat itu," tegas pengurus United, Ferguson mengulas baki saingan menanti pencabarnya.

Ronaldo, Pemain Terbaik Tahunan Bola Sepak England buat musim kedua berturut-turut, kelmarin, memberikan United pendahuluan minit ketiga dan menambah satu lagi pada minit ke-24 untuk membawa jumlah jaringannya kepada 40 gol musim ini.

Bekas penyerang West Ham, Carlos Tevez menjadikan kedudukan 3-0 dengan rembatan menakjubkan dari jarak 30 meter, dua minit kemudian sebelum Dean Ashton membalas dengan rembatan akrobatik, dua minit selepas itu.

United kemudian dikurangkan kepada 10 pemain apabila Nani dibuang padang sebelum masa rehat kerana menghantuk kepala Lucas Neill.

Carrick memastikan kemenangan bergaya United dengan rembatan leret yang terkena pertahanan West Ham, Neill, untuk bola menerjah jaring pada minit ke-59. - BH/ Reuters.

KEBEBASAN MEDIA MACAM MANA?

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Pengamal media hari ini sependapat bahawa sudah tiba masanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dikaji agar selari dengan perkembangan semasa.

Ketua Pengarang Berita Publishing Datuk A. Kadir Jasin berkata sekiranya sistem kehakiman boleh dikaji semula maka tidak salah jika akta itu turut dikaji.

"Sebenarnya kebebasan akhbar yang mutlak di mana-mana negara di dunia ini tidak wujud kerana penulisan berita masih tertakluk kepada siapa yang memiliki organisasi media itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Menurut bekas Pengerusi Bernama dan Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Time Press (NSTP) itu lagi dunia komunikasi tanpa sempadan sekarang membolehkan khalayak mempunyai pilihan lain sekiranya tidak yakin dengan laporan media perdana, mereka boleh beralih kepada saluran media lain seperti laman web dan blog," katanya.

Anggota Lembaga Pengarah Dunia Melayu Dunia Islam Datuk Ibrahim Yahaya berkata: "Apabila bercakap mengenai kebebasan akhbar kita perlu tanya pada diri apakah kebebasan yang benar-benar diinginkan.

"Kita boleh bebas menulis tetapi mesti ada rasa tanggungjawab dengan bahan yang ditulis serta mengenepikan kepentingan diri sendiri," katanya.

Ibrahim berpendapat dunia media sekarang sudah sampai ke satu tahap yang tidak hanya boleh menulis mengenai dasar tetapi lebih mendalam.

"Misalnya menegur sekiranya terdapat sebarang kepincangan mengenai dasar kerajaan dengan syarat ia bertujuan untuk kepentingan semua. Kerajaan pula perlu melihat laporan-laporan media itu sebagai satu yang positif," katanya.

Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia Hari ini sebuah akhbar tempatan melaporkan kekangan terhadap kebebasan media di Malaysia perlu diubah untuk mewujudkan sebuah negara demokrasi yang sihat.

Menurut satu kajian antarabangsa kebebasan akhbar di Malaysia berada ditangga ke 141 daripada 195 negara sama dengan beberapa negara di benua Afrika seperti Cameroon dan Libya.

Sementara Ketua Pembangkang yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh Dr Wan Azizah Ismail berkata akibat terlalu mengongkong media perdana menyebabkan wujudnya ribuan pejuang siber yang secara tidak langsung memberi perubahan kepada iklim politik negara.

"Kerajaan seharusnya maklum dengan status globalisasi dan maklumat tanpa sempadan. Rakyat yang merdeka memerlukan minda yang merdeka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata tanpa media yang adil dan bebas, tiada langkah pembaharuan sama ada untuk memulihkan keyakinan awam dalam kebebasan, kesaksamaan dan kewibawaan badan kehakiman atau pembanterasan rasuah secara besar-besaran akan berjaya.

"Hari Kebebasan Media Dunia tahun ini patut digunakan untuk mengumumkan langkah berani mengenai pembaharuan kebebasan akhbar terutamanya untuk memansuhkan syarat pembaharuan lesen akhbar secara tahunan dan juga Akta Mesin Cetak dan Penerbitan," katanya.

Friday, May 2, 2008

POLITIK "BIKINI" CEMAR DEWAN RAKYAT

Oleh EDWIN MICHAEL,
Butterworth, Pulau Pinang.

SAYA tertarik melihat gambar seorang Ahli Parlimen yang bangga memperlihatkan kameranya pada hari pertama sidang Parlimen berlangsung kelmarin. Saya percaya, perilaku Yang Berhormat (YB) itu mungkin jarang dan pertama seumpamanya berlaku di Parlimen negara ini.

Bagi saya seseorang YB seharusnya memperlihat kredibilitinya sebagai wakil rakyat yang diamanahkan rakyat itu sendiri untuk ke Parlimen membawa hasrat membela nasib rakyat, bukanya bertujuan lain. Tanggungjawabnya memang bukan mudah kerana sebagai YB, beliau seharusnya membahas, menggubal dan merangka sesuatu dasar atau undang-undang serta mengkritik sekiranya mempunyai apa juga kelemahan pada pihak kerajaan demi kepentingan rakyat.

Soalnya, hari pertama YB ini melangkah ke Parlimen dengan sebuah kamera tergantung di lehernya tidak lebih daripada menghabiskan masanya dengan merakam gambar. YB berkenaan wajar mengubah mentaliti dan stail pemikiran politik beliau, Parlimen adalah medium penyebar tarbiyah masyarakat yang seharusnya dipelopori individu berwibawa dan memiliki kemahiran politik yang tajam dan matang.

Seorang rakan saya yang menghubungi melalui e-mel menganggap perilaku YB seumpama itu, tidak ubah seperti istilah politik bikini. Bikini adalah pakaian dalam yang digunakan wanita untuk menutupi bahagian sulit mereka dan pada masa sama mendedahkan bahagian tubuh badan yang lain yang boleh menimbulkan perasaan erotis dan ghairah.

Politik bikini adalah satu pendekatan politik yang mencuba untuk menutupi persoalan penting yang barangkali sangat bermasalah (umpama bikini yang menutupi bahagian sulit si pemakai) dan pada masa sama menonjolkan kepada masyarakat hal yang boleh mencapai kejayaan daripada sebuah proses pendemokrasian (menonjolkan bahagian tubuh badan lain).

YB ini pada satu pihak muncul sebagai barisan Ahli Parlimen pembangkang yang dipertanggungjawab untuk membela nasib masyarakat yang pastinya turut membabitkan nasib pengundi kawasan Parlimen yang diwakilinya. Ia adalah sebuah cerita yang cukup indah dan mengasyikkan dan pada satu bahagian lain pula memperlihat kematangan politik yang amat cetek dan memalukan yang turut memalit lumpur kepada keseluruhan barisan Ahli Parlimen pembangkang itu sendiri.

Apa yang ditonjolkan YB ini tidak jauh bezanya dengan rahsia filem dokumentari The Blair Witch Project yang pada awalnya didakwa sebagai sebuah filem benar dan kemudiannya baru diketahui bahawa filem berkenaan hanyalah rakaman semata-mata.

Segala gangguan di dalam hutan dilakukan krew filem, malah aspek promosi adalah pembohongan terbesar dalam filem itu apabila menyatakan rakaman dan kehilangan pelakon itu benar-benar berlaku.

Walaupun ia hanya sekadar filem, The Blair Witch Project meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan mencetuskan fenomena dikenali 'sindrom kepercayaan sebenar' sehingga menyebabkan ramai penonton mengunjungi lokasi kejadian. Justeru, The Blair Witch Project digelar misteri paling menipu dalam sejarah.

Begitulah juga dengan sesetengah individu yang pada awalnya menabur segala macam janji dan harapan kepada rakyat bahawasanya merekalah yang terbaik, terunggul dan tiada yang lebih layak selain diri mereka sendiri untuk membela nasib rakyat hinggalah suatu hari individu ini mempamerkan sendiri tahap mentaliti politik mereka kepada umum.

Dengan politik bikininya yang berusaha untuk meyakinkan rakyat dan kemudian menanam 'sindrom kepercayaan sebenar' dalam pemikiran rakyat maka individu ini menganggap bahawa tiada mana-mana kuasa kebal yang dapat menandingi mereka sedangkan individu ini terlupa bahawa masih ramai lagi yang sedang memerhatikan tingkah laku dan gerak geri mereka ini termasuk tingkah laku YB yang asyik dengan kameranya.

Harus diingat bahawa etika dan akhlak masyarakat dalam penerapan prinsip demokrasi dan politik bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh seseorang wakil rakyat di Parlimen yang juga mampu mewujudkan 'sindrom kepercayaan sebenar' semata-mata untuk mengaburi pengundi dan menguasai politik negara serta seterusnya politik bikini menjadi pendekatan politik yang hanya akan mencemar imej institut Parlimen negara.

(sumber : Surat Pembaca Berita Harian - 2 Mei 2008)

Sunday, April 27, 2008

PENANGAN BLOG

Oleh Ziauddin Sharuddin

MAJALAH Time pada 2006 mencatat sejarah apabila menamakan komputer sebagai `Person of the Year’ atau tokoh tahun ini. Anda. Ya, anda. Anda menguasai era maklumat. Selamat datang ke dunia anda. Inilah kata-kata muka depan majalah itu.

Ledakan pertumbuhan dan pengaruh hasil kandungan internet, terutama blog diiktiraf di peringkat global dua tahun lalu. Tahun ini, blog dan blogger menerima pengiktirafan di negara ini apabila kuasa dan pengaruhnya mula diakui.

Keputusan pilihan raya umum ke-12 yang dipengaruhi oleh blog dan blogger adalah bukti utama. Kini tiada siapa dapat menafikan bahawa media baru ini mempunyai kedudukan, fungsi dan tanggungjawab dalam dunia maklumat.

Blog media baru berpengaruh

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, sesiapa yang mengaku mempunyai blog dan bergelar penulis blog (blogger), dipandang seperti makhluk asing. Kini anda boleh membaca kira-kira 500,000 blog yang diwujudkan blogger negara ini.

Kemunculan blog hanya mula diperkatakan sejak beberapa tahun lalu walaupun perhatian lebih tertumpu kepada blog politik.

Bagaimanapun, keadaan berubah secara drastik sejak kebelakangan ini. Ramai yang bercakap mengenai blog dan menjadi blogger.

Kehangatan pengaruh blog dikaitkan dengan kempen pilihan raya umum ke-12 lalu apabila blog yang dikategorikan sebagai media baru digunakan secara berkesan sama ada oleh individu mahu pun parti politik.

Mengulas perkembangan blog di negara ini, Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata antara perintis kemunculan blog di negara ini adalah sekumpulan blogger yang membentuk komuniti Geng Journal pada 1998.

Ketika majoriti masyarakat masih buta mengenai blog, katanya blogger seperti Tok Rimau dan Bluehikari merintis minat terhadap blog.

Beliau berkata, perkembangan blog meningkat selepas insiden politik membabitkan penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dituruti kemunculan pelbagai blog seperti Mahazalim dan Mahafiraun.

Sejak empat tahun lalu, katanya perkembangan blog mula memberangsangkan, tetapi masih tidak disedari dan dipedulikan hingga Pilihan Raya Umum Ke-12, bulan lalu, blog menonjolkan pengaruh sebagai media baru yang memberi kesan besar.

Bluehikari atau nama sebenarnya, Ludinata Misnun, berkata ketika Tok Rimau, iaitu bekas Presiden Geng Jurnal membentangkan kertas penyelidikan bertajuk Web Log: Kuasa menerbit di hujung jari dalam satu seminar peringkat kebangsaan pada 2002, isu blog yang dibentangkan itu kurang mendapat sambutan.

Selain itu, katanya membuat blog ketika itu lebih susah kerana prosesnya sama seperti membina laman web yang perlu membuat reka bentuk sendiri.

Katanya, zaman sekarang untuk berblog sangat mudah kerana ada laman web menyediakan kemudahan blog seperti Blogspot, Wordpress atau Diaryland. Hanya perlu daftar, pilih reka bentuk diminati dan mula menulis.

Hari ini, ramai yang bergelar blogger, tetapi semudah itukah menjadi blogger? Rebecca Blood, seorang blogger veteran yang juga pengarang The Weblog Handbook, menyatakan blogger adalah mereka yang sangat berminat terhadap web.

Evan Williams yang mengasaskan Blogger.com pula berpandangan bahawa blogger adalah golongan muda yang menggunakan blog untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya.

Sudah tentu hari ini, ada blogger veteran berumur lingkungan 50-an atau lebih tua, tetapi majoriti blogger adalah golongan muda yang dinamik, luar biasa, mempunyai pendirian dan tidak takut melahirkan pandangan mereka.

Setiap orang boleh memberi 1001 macam alasan untuk memiliki blog, tetapi blogger adalah seorang yang tahu menghargai pandangannya.

Tanyalah kepada sesiapa yang memiliki blog. Mengemas kini blog setiap hari menyebabkan dirinya mempertimbangkan pandangannya dengan berhati-hati serta berasakan pandangannya unik dan perlu disuarakan.

Pada masa sama, ada ramai blogger yang hanya memuatkan luahan hati kecewa, putus harapan dan meracau tidak tentu hala. Blog begini selayaknya dimasukkan ke dalam bakul sampah.

Seorang blogger harus mampu melahirkan dirinya dalam penulisan, mahu berkomunikasi dengan orang lain dan berterus terang.

Blogger, Yasser Arafat Ishak yang dikenali sebagai Jiwarasa berkata, blog yang baik selalunya akan mendapat perhatian dan ibarat pasaran terbuka yang pengunjung mempunyai pilihan. Blog yang baru sering meletakkan alamat blog yang bagus di blog masing-masing.

Katanya, memuatkan blog yang bagus di blog masing-masing bagaikan satu trend untuk menempatkan diri dalam kelompok blog.

“Pengunjung blog juga cerdik dan bijak memilih bahan yang baik. Mereka selalunya akan membuat rujukan silang di mesin carian Yahoo dan Google untuk mendapat kepastian sesuatu fakta yang ditulis di blog,” katanya.

Apakah faktor yang menyebabkan blog popular? Sifat interaktif adalah punca menyebabkan blog mendapat perhatian ramai. Semua orang berpeluang memberikan pandangan walaupun tidak semua pandangan itu bernilai.

Blog bukan saja membolehkan blogger memberikan pandangan mengenai sesuatu isu, tetapi pembaca menyuarakan pandangan masing-masing. Anda mahu bersetuju, membangkang, menambah maklumat dan fakta baru. Semuanya dalam blog.

Blogger perlu ada sikap kawal selia kendiri

LESEN besar penulis blog (blogger) untuk menulis mengenai apa saja di atas muka bumi ini menimbulkan banyak persoalan.

Melihat sesetengah blog, penulisan bukan berisi fakta dan kebenaran, tetapi penuh dengan fitnah, kepalsuan dan bersumberkan khabar angin.

Malangnya, apa yang ditulis dipercayai sebagai suatu kebenaran. Dalam teori komunikasi, apabila sesuatu pembohongan diulang-ulang, maka pembohongan itu dianggap benar. Dalam blog, proses yang sama juga berlaku.

Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata sebelum pilihan raya umum ke-12 lalu, ada anggapan bahawa harga rumah melambung naik di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah.

Katanya, anggapan itu berlegar dalam dunia blog dan maklumat itu tidak diketahui ketepatan serta kesahihannya.

“Tiada siapa tahu perkara ini, tetapi anggapan ini wujud di kalangan masyarakat negeri berkenaan. Oleh kerana tiada siapa menafikan maklumat ini, maka maklumat yang disebarkan melalui blog dianggap benar,” katanya.

Dalam era perang maklumat, katanya blog membentuk maklumat dan sama ada maklumat itu tepat atau sahih adalah perkara kedua.

Bagaimanapun, blogger tidak dibiarkan bebas sewenang-wenang. Di Singapura, dua etnik Cina dipenjarakan mengikut Akta Hasutan negara itu kerana memuatkan kenyataan anti Islam dalam blog mereka.

Tahun lalu di Mesir, blogger Abdel Monem Mahmoud, ditangkap kerana menulis kenyataan anti kerajaan.

Di negara ini, tiada undang-undang secara khusus boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap blogger dan blog. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hanya bertanggungjawab menyelia infrastruktur sesebuah laman web dan bukan memantau laman web yang menyeleweng.

Bagaimanapun, Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membolehkan individu yang menyalahgunakan Internet bagi menyebarkan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau yang jelik dikenakan tindakan.

Selain itu, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Kanun Keseksaan boleh digunakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab. Sudah ada beberapa kes blogger di negara ini disaman kerana tulisan mereka.

Keputusan Mahkamah Tinggi Alor Star supaya pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, membayar ganti rugi RM4 juta kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Naib Canselornya, Tan Sri Dr Nordin Kardi, kerana memfitnah melalui artikel disiarkan dalam blognya pada 2006 adalah antara kes utama.

Bagaimanapun, undang-undang bukan jawapan terhadap persoalan ini. Menubuhkan polis siber seperti di sesetengah negara juga bukan penyelesaian terbaik.

Harus ada kerelaan daripada blogger untuk bekerjasama dengan kerajaan membangunkan kod etika yang boleh diguna pakai di Malaysia. Lebih baik sikap kawal selia kendiri wujud di kalangan blogger berbanding pihak lain yang memaksanya. - BH.

Monday, February 4, 2008

SDC PELUANG SABAH LAKUKAN KEAJAIBAN

Oleh Veena Rusli

KOTA KINABALU: Sejarah bakal melakar hari ini sebagai detik yang mengubah wajah Sabah dalam membuka lembaran baru berbekal matlamat meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi penjanaan ekonomi secara lebih menyeluruh.

Dalam tempoh 18 tahun pelaksanaannya, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dilihat mampu menjadi landasan terhadap keampuhan pembangunan sosial, ekonomi, fizikal dan alam sekitar dengan menjadikan kitaran pertumbuhan semasa sebagai pemangkin keutuhan Sabah.

Jika semua perancangan berjalan lancar, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) perkapita Sabah akan melonjak tiga kali ganda menjelang 2025, manakala pelaksanaan program secara menyeluruh bakal menyaksikan KDNK negeri tumbuh pada kadar empat kali ganda.

Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia tetapi masih dihimpit isu kemiskinan tegar, anggaran 900,000 peluang pekerjaan yang dijanjikan menerusi 18 tahun pelaksanaan SDC seharusnya memberi makna baru terhadap usaha memperbaiki kehidupan di kalangan rakyat khususnya di luar bandar.

Seperti diluahkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, SDC adalah peluang terbuka bagi semua pihak memanfaatkan peluang disediakan supaya tiada yang ketinggalan.

dalam perlumbaan kali ini. "Kalau kita cepat, kita akan ke hadapan tapi yang lambat pasti tercicir. Kita mahu menghapuskan jurang itu kerana menerusi SDC, tiada siapa akan dipinggirkan," katanya.

Prasangka kononnya SDC cuma memanfaatkan golongan tertentu perlu dihakis kerana pelan induk pelaksanaannya jelas menunjukkan tumpuan akan diberi terhadap sektor yang dekat di hati rakyat Sabah, khususnya pembuatan, pertanian dan pelancongan.

Untuk mendapat nikmatnya, penduduk Sabah perlu pantas melangkah supaya peluang disediakan tidak direbut pihak lain, terutama pekerja asing yang cekap menghidu peluang dan tidak memilih pekerjaan.

SDC adalah landasan terbaik bagi graduan menganggur menjadi petani dan nelayan moden yang melakukan anjakan terhadap kaedah pertanian supaya hasilnya lebih lumayan.

Ia juga kesempatan bagi pengusaha industri homestay bagi memperbanyakkan jenis perkhidmatan supaya tarikan yang disediakan menjadi buah mulut pengunjung, sama ada dari dalam atau luar negara.

Uniknya, Sabah memiliki pelbagai kekuatan yang sewajarnya dicemburui negeri lain. Lokasi strategik, kekayaan khazanah alam semula jadi dan kepelbagaian bio dan budaya menjadikan Negeri di Bawah Bayu tidak ketandusan modal untuk meningkatkan perolehan.

Bagaimanapun, segala usaha yang digerakkan Kerajaan Persekutuan, negeri dan sektor swasta menerusi penjanaan SDC memerlukan sokongan rakyat, lebih-lebih lagi dalam keadaan persaingan global yang menuntut segala-galanya dilaksanakan dengan pantas dan cekap.

Ada yang menyifatkan SDC sebagai peluang terakhir bagi Sabah mengubah keseluruhan wajahnya dan jika ada kebenaran di sebalik pandangan itu, tidak banyak pilihan yang tinggal melainkan menggunakan 18 tahun akan datang sebagai tempoh menuai benih pembangunan.

Justeru, tiba detiknya bagi Sabah menyertai perlumbaan mengejar masa dengan gagasan pembangunan yang lebih besar dan mencakupi keperluan rakyat. - BERITA HARIAN.

Friday, January 4, 2008

FORMER ENVOY GETS 30 MONTHS JAIL

By Mohd Nasir Yusoff

JAKARTA, Jan 3 (Bernama) -- The Corruption Court here has sentenced former Indonesian ambassador to Malaysia Hadi A. Wayarabi to 30 months in jail for corruption in the collection of immigration document fees, Antara news agency reported.

Hadi was found guilty of involvement in the collection of illegal fees from Indonesians needing immigration documents at the Indonesian embassy in Kuala Lumpur during the 2000-2003 period, causing the country to lose 15 billion rupiah (RM1 = 2,863 rupiah).

Presiding judge Mansyurdin Chaniago said Hadi, along with Suparba W. Amiarsa, former head of the immigration section at the Indonesian Embassy in Kuala Lumpur, had committed corruption by failing to pass on non-tax state revenue, from the issuance of immigration documents, to the state treasury.

The court also ordered them to pay a fine of 150 million rupiah or spend five more months in jail.

Hadi was also obliged to pay 1.750 billion rupiah or spend two more years in jail if he could not deliver the money within a month after his sentencing.

Suparba, meanwhile, had to pay 15 million rupiah to the state or remain in jail for six more months if he could not pay the amount within one month after his sentencing.

The judge said that Hadi had received 1.8 billion rupiah from the immigration document fees during his ambassadorial posting.

He said the Indonesian embassy in Kuala Lumpur only handed RM120 instead of RM140 from the fee for the issuance of every 48-page passport while for a 24-page passport, the embassy only handed RM30 instead of RM65 asked and RM45 instead of RM80 for the family passport.

The total amount of non-tax revenue which was not handed to the government reached RM369,105.

Friday, December 14, 2007

PENAHANAN ELAK GUGAT NEGARA

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

IPOH: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan penangkapan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dapat mengekang pertubuhan itu daripada terus melakukan perbuatan yang menggugat kestabilan negara.

Presidennya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata MBM menyokong tindakan tegas kerajaan itu kerana tindakan Hindraf sudah melampaui undang-undang negara serta mendedahkan masyarakat kepada suasana tidak tenteram.

"Kami menyanjung tinggi tindakan itu sekali gus dapat memberi peringatan kepada semua pihak supaya tidak bertindak melanggar undang-undang.

"Sebaliknya, sebarang tuntutan, bantahan atau permintaan harus mengikut saluran yang sudah ditetapkan oleh kerajaan," katanya pada sidang media di sini semalam.

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mengumumkan penangkapan lima pemimpin Hindraf di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan mengikut Seksyen 8(1) ISA tengah hari semalam kerana melakukan perkara yang menggugat keselamatan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kelima-lima mereka ialah P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasantha Kumar.

Shamsul berkata, tindakan Hindraf khususnya melakukan demonstrasi jalanan telah sedikit sebanyak merencatkan usaha murni kerajaan untuk menarik pelabur serta pelancong asing dan menggerakkan ekonomi rakyat.

Malah, katanya, tindakan Hindraf cuba membawa campur tangan pihak luar dalam urusan politik negara adalah tindakan yang amat berbahaya dan boleh mendedahkan negara kepada sebarang kemungkinan tindakan kumpulan luar yang cuba menonjolkan diri sebagai jaguh memperjuangkan golongan tertentu.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang menaungi lebih 300,000 ahli di seluruh negara mengutuk tindakan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang cuba mengganggu keamanan dan ketenteraman negara dengan membangkitkan isu perkauman.

Penaung Agungnya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pertubuhan itu tidak mahu ada mana-mana pihak cuba menggugat perpaduan serta ketenteraman awam dengan menyentuh isu sensitif mengenai kaum dan agama.

"Jangan cuba mencetuskan isu sensitif membabitkan bangsa, budaya, bahasa, agama, kedaulatan raja serta apa juga hal berkaitan orang Melayu di negara ini dan yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Saya juga meminta kira-kira empat juta penggiat silat daripada 360 pertubuhan di seluruh negara supaya mengambil pendirian tegas yang sama," katanya, pada majlis perasmian Kejohanan Pencak Silat Terbuka anjuran Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia (PSSGM) di sini malam kelmarin.

Kejohanan bermula 10 Disember lalu disertai 18 kontinjen membabitkan pertubuhan silat negeri, kelab gabungan dan institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama seharusnya memikul tanggungjawab memastikan keamanan dan ketenteraman negara berterusan, bukan menjejaskannya. (BERITA HARIAN)

GOLONGAN SEBAR FITNAH PENGKHIANAT NEGARA

Oleh Sariha Mohd Ali dan Abdul Razak Raaff

SUBANG: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menegaskan golongan yang membuat fitnah terhadap Malaysia di luar negara serta membawa masuk budaya demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram, sebenarnya mengkhianati dan tidak sayangkan negara.

Perdana Menteri berkata, majoriti rakyat yang selama ini berdiam diri juga marah dan tidak senang dengan tindakan golongan yang tidak patriotik itu.

"Rakyat paling marah kepada golongan yang pergi ke luar negara untuk mencari sokongan, simpati, buat cerita dan tuduhan yang bukan-bukan. Mereka sebenarnya tidak sayangkan negara, sebaliknya tamakkan kuasa dan tidak kisah apa yang akan terjadi kepada negara.



"Mereka tidak peduli walaupun rakyat mengalami kerugian kerana sikap mereka yang terlalu taksub dengan pandangan mereka walaupun kesannya akan merosakkan kesejahteraan rakyat dan ini langsung mereka tidak fikir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, selepas menerima memorandum Damai Malaysia – gabungan 395 badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram.

Memorandum itu diserahkan Pengerusi Penyelaras Damai Malaysia, Mohd Saiful Adil Mohd Daud, sebelum Perdana Menteri berlepas ke Kuantan untuk lawatan kerja sehari serta melawat mangsa banjir di Pahang.

Abdullah berkata, Malaysia maju dan berjaya bukan kerana demonstrasi jalanan, sebaliknya kerana berpegang teguh kepada amalan demokrasi yang menghormati undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menjelaskan apa yang kerajaan laksanakan selama ini sebenarnya bertujuan memastikan

rakyat dapat menikmati keamanan dan kestabilan politik, di samping masih boleh bersuara termasuk menerusi media massa.

"Kalau kebebasan digunakan dengan tidak bertanggungjawab, maka rakyat yang mengalami kerugian seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini (demonstrasi jalanan)," katanya.

Abdullah juga kesal kerana tindakan Barisan Bertindak Hak Hak Hindu (Hindraf) serta Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) mengadakan demonstrasi jalanan menyebabkan pelbagai sektor, terutama industri pelancongan dan peruncitan, mengalami kerugian besar.

Beliau dimaklumkan kira-kira 10 peratus tempahan bilik di kebanyakan hotel di kawasan segi tiga emas di pusat bandar raya ini, termasuk Bukit Bintang serta di negeri lain, dibatalkan akibat demonstrasi jalanan itu.

"Kalau sudah 10 peratus tempahan bilik hotel dibatalkan, ini satu kerugian besar yang terpaksa ditanggung pihak hotel dan saya percaya ada juga agensi pelancongan, pengusaha kereta sewa dan bas pelancong yang menerima nasib sama.

"Mungkin apabila mereka (pelancong) datang ke Kuala Lumpur, mereka nak juga ke destinasi lain di negara ini seperti Sabah dan Sarawak atau negeri lain dan hotel yang sepatutnya mereka menginap juga mengalami kerugian sebab pembatalan tempahan.

"Ini juga berlaku kepada peniaga yang mengharapkan pelancong datang dan membeli produk mereka. Kerugian yang ditanggung mereka ini berlaku bukan saja di pusat bandar raya tetapi juga negeri lain," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri juga meminta Mohd Saipul Adil membacakan deklarasi Damai Malaysia yang antara lain menyatakan komitmen NGO terbabit untuk terus meneguhkan amalan toleransi dan kerjasama antara kaum dan menjadi pendukung budaya demokrasi yang bertanggungjawab di kalangan generasi muda.

Sementara itu, ketika berucap di hadapan 2,500 pemimpin masyarakat dan Barisan Nasional (BN) Pahang setibanya di pangkalan TUDM, Kuantan, Abdullah berkata, pandangan rakyat pelbagai kaum yang mewakili 395 NGO itu menunjukkan majoriti rakyat menentang demonstrasi jalanan.

"Akhirnya, saya mendengar majoriti rakyat yang selama ini berdiam diri, membuka suara mereka menentang demonstrasi jalanan kerana ini bukan cara dan budaya kita.

"Kita mengambil tindakan sebab kerajaan tahu kehendak rakyat yang tidak mahu demonstrasi jalanan kerana boleh mengancam keselamatan. Jadi tanggungjawab kita untuk bersama menjaga keamanan," katanya.

Abdullah berkata, kerajaan selama ini mendengar suara rakyat yang dinyatakan secara aman melalui dialog, jawatankuasa pembangunan, persatuan dan wakil rakyat bagi menjayakan projek pembangunan.

"Walaupun saya Perdana Menteri berbangsa Melayu yang mengetuai Umno, tetapi kekuatan saya kerana mendapat sokongan BN yang mewakili semua kaum," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai projek bukan hanya untuk menghadapi pilihan raya, sebaliknya ia sudah dirancang untuk dilaksanakan satu persatu menggunakan peruntukan disediakan.

"Kita perlu masa melaksanakannya dan jika kita menghadapi pilihan raya tidak lama lagi, kita akan tetap teruskan kerja. Kita yakin majoriti rakyat akan terus menyokong kita," katanya.

Sementara itu bercakap pada majlis perjumpaan dengan penjawat awam di sini malam tadi, Perdana Menteri berkata, kakitangan sektor awam perlu terus meningkatkan tahap perkhidmatan mereka ke arah yang lebih baik walaupun prestasi mereka sekarang berada pada tahap memuaskan.

Beliau berkata, kritikan yang dilemparkan media dan badan lain terhadap prestasi perkhidmatan awam sebelum ini berjaya mengubah prestasi sehingga perkhidmatan awam kini mampu bersaing dengan sektor swasta.

"Sekarang sudah ada tanda perkhidmatan awam kita bertambah baik berdasarkan kurangnya kritikan dan teguran yang dilemparkan.

"Namun, saya mahu kakitangan awam terus berusaha memberi perkhidmatan lebih baik kerana hasilnya akan dinikmati rakyat yang menjadi pelanggan kita," katanya. (BERITA HARIAN)

Thursday, December 13, 2007

HINDRAF PERLU TANGGUNG RISIKO

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam berkata, setiap pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang terlibat membuat dakwaan berlaku pembersihan etnik di negara ini wajar menanggung segala risiko akibat perbuatan mereka itu.

Beliau berkata, mereka harus sentiasa bersedia untuk dikenakan apa juga tindakan undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana apa yang didakwa itu terbukti palsu dan tidak berasas.

Jelasnya, sebagai sebuah negara pelbagai kaum, dakwaan seperti itu sememangnya boleh menimbulkan keresahan yang akhirnya menyebabkan timbul prasangka buruk di kalangan rakyat.

‘‘Dakwaan bahawa kerajaan mengamalkan pembersihan etnik merupakan satu tuduhan yang amat berat dan langsung tidak berasas. Oleh itu mereka harus bersedia menanggung apa jua tindakan undang-undang yang akan dikenakan ke atas mereka.

‘‘Kerajaan terpaksa melakukan tindakan sedemikian dalam usaha memastikan kepentingan rakyat dan negara ini tidak terjejas,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan menahan pemimpin serta penyokong Hindraf ekoran perhimpunan haram yang dianjurkan oleh badan itu di ibu kota baru-baru ini.

Antara yang ditahan ialah peguam Hindraf, P.Uthayakumar. Dia telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan satu surat berunsur hasutan di laman web Police Watch Malaysia.

Uthayakumar bersama S. Ganapathy Rao dan P. Waythamoorthy sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Klang di bawah Akta Hasutan.

Dalam pada itu, Subramaniam meminta kerajaan tidak meneruskan tindakan undang-undang ke atas penyokong-penyokong Hindraf yang kini telah dihadapkan ke mahkamah kerana kebanyakan mereka tidak sedar mengenai motif sebenar perhimpunan anjuran badan tersebut pada 25 November lalu.

‘‘Saya percaya mereka terperangkap. Mereka langsung tidak mengetahui dakwaan Hindraf mengenai pembersihan etnik seperti mana yang terkandung dalam surat yang diberikan kepada Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.

‘‘Tujuan mereka menyertai perhimpunan itu hanyalah berasaskan kepada keyakinan mereka terhadap Hindraf untuk memperjuangkan nasib masyarakat India di negara ini,’’ katanya.

Berbeza pemimpin Hindraf, beliau berkata, sudah tentu golongan terbabit mempunyai agenda-agenda tertentu demi kepentingan masing-masing.

Mengenai dakwaan bahawa penduduk India di Malaysia masih ketinggalan, Subramaniam berkata, sedikit sebanyak dakwaan tersebut ada kebenarannya.- UTUSAN

Saturday, August 25, 2007

TINDAKAN TEGAS WAJAR : ZAM

SUNGAI PETANI, 25 Ogos (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidain berkata tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) menggantung permit penerbitan akhbar harian bahasa Tamil, Makkal Osai adalah wajar demi memelihara perpaduan negara.

Beliau berkata tindakan itu juga sewajarnya menjadi peringatan kepada setiap penerbitan supaya tidak menerbitkan bahan yang menyentuh sensiviti mana-mana kaum dan agama.

Katanya tindakan berkenaan juga menunjukkan bahawa kerajaan tidak hanya bertindak terhadap pihak yang menyiarkan bahan menyentuh sensiviti orang Melayu dan umat Islam sahaja.

"Kerajaan telah membuktikan bahawa tindakan tegas turut diambil terhadap penerbitan yang menghina agama lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri kampung di surau Taman Seri Tanjung, Sungai Layar, di sini hari ini.

Zainuddin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan KKDN mengantung sebulan permit penerbitan akhbar itu mulai semalam kerana menyiarkan iklan yang memuatkan karikatur Nabi Isa memegang sebatang rokok dan setin minuman.

KKDN mengambil tindakan demikian selaras dengan peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi memastikan akhbar tidak menyiarkan bahan penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau yang berlawanan dengan undang-undang atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.

Akhbar harian berkenaan telah menyiarkan iklan itu pada 21 Ogos lepas dalam ruangan Kata-Kata Hati.

Sehari selepas menyiarkan iklan berkenaan, akhbar itu telah memohon maaf secara terbuka namun beberapa pertubuhan serta badan bukan kerajaan telah mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap akhbar berkenaan.

Zainuddin berkata kerajaan sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap beberapa penerbitan yang mengeluarkan bahan yang menghina kaum dan agama tertentu.

"Setiap penerbitan harus berhati-hati supaya perpaduan antara kaum terus terpelihara," katanya yang juga anggota Parlimen Merbok.

Di KUALA LUMPUR, Pergerakan Pemuda Umno menggesa kerajaan supaya menggantung permit akhbar Makkal Osai lebih lama dari tempoh sebulan sehingga 24 Sept ini.

Ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata permit akhbar terbabit sepatutnya digantung "sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian setelah kerajaan berpuas hati dengan jaminan syarikat berkenaan".

"Kebebasan bersuara, berkarya dan berkreatif bukan bermakna mana-mana pihak boleh berbuat sesuka hati mereka hingga menyentuh sentimen perkauman, keagamaan dan peribadi yang boleh mencetuskan kemarahan, hasutan, fitnah dan menimbulkan ketenteraman awam.

"Tambahan pula jika terbitan seumpamanya dilakukan oleh akhbar untuk tatapan umum dan dicetak oleh syarikat yang sudah lebih 15 tahun menerbitkan akhbar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pendirian Pemuda Umno adalah konsisten dengan mana-mana pihak yang menyentuh atau menghina sentimen sebarang kaum dan agama perlu bertanggungjawab dan bersedia menerima tindakan undang-undang.

Sunday, May 20, 2007

ZAM SELAR MEDIA SALAHGUNA KETELUSAN KERAJAAN



Datuk Seri Zainuddin Maidin

SUNGAI PETANI, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyelar pengamal media tertentu yang menyalahgunakan ketelusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memainkan isu politik yang bersifat perkauman.

Katanya perbuatan itu juga boleh merungkai kontrak sosial yang selama ini diterima dengan baik oleh kaum utama Melayu, Cina dan India.

"Bagi saya apa jua kebebasan (media) tak boleh keluar daripada kontrak sosial," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra parti komponen Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Merbok di sini Sabtu malam.

Beliau berkata perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial itu tidak perlu diungkit oleh media kerana ia membawa kepada kesan negatif.

Zainuddin yang juga anggota Parlimen Merbok kecewa kerana perkara seperti peristiwa 13 Mei telah cuba dibangkitkan semula selain dasar Maybank dalam mengenakan syarat pemilikan 50 peratus kepentingan Bumiputera dalam firma guaman dan isu bangunan Parlimen "bocor" yang turut diutarakan secara meluas oleh media tertentu.

Penyalahgunaan ketelusan yang diberikan Abdullah sebagai peneraju negara, boleh merobek asas kekuatan bangsa Malaysia yang selama ini hidup dalam suasana bersatu padu, katanya.

Mengenai penerbitan buku "13 Mei: Di sebalik Dokumen Sulit Rusuhan 1969" oleh bekas anggota parlimen Petaling Jaya (DAP) Dr Kua Kia Soong, beliau berkata buku itu hanya membangkitkan perasaan tidak senang orang ramai.

Katanya walaupun kerajaan belum mengharamkan buku tulisan bekas tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu namun laporan media tertentu sengaja menyebut ia telah diharamkan dan buku itu telah habis dijual.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pandangan negatif individu tertentu terhadap kerajaan melalui laman blog mereka.

"Mereka cuba timbulkan perasaan sakit hati orang ramai (melalui blog mereka)," katanya.

Ketika berucap sebelum itu, beliau berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kira-kira 30 tahun lalu telah berjaya membentuk masyarakat Malaysia yang kukuh dan kekuatan negara melalui perpaduan kaum perlu sentiasa dipertahankan.

Thursday, March 15, 2007

DISIPLIN ADALAH PERKARA UTAMA

Saya ingin mengulas apa yang ditulis oleh Lokman Hamidi dalam blognya. Menurut Lokman:

Dunia kewartawanan TV dikatakan dipenuhi glamour. Masing-masing remaja mengejar tempat di stesen-stesen televisyen untuk menjadi warga kerjanya. Tanpa mempedulikan kelulusan asas mereka memilih bilik berita untuk mencari tapak.

Bagi saya, hendak menjadi wartawan bukanlah mudah. Semua orang boleh menulis tetapi tidak semua akan menjadi wartawan. Tidak kira sama ada dalam media cetak atau elektronik. Untuk menjadi wartawan terbaik ia perlu disiplin yang tinggi selain minat mendalam.

Tidak hairanlah jika kita menyaksikan seseorang itu akan menjadi wartawan seumur hidupnya jika kewartawanan itu menjadi darah daging mereka. Contoh terbaik ialah Datuk A Kadir Jasin yang terus menulis tanpa mengira apa medium sekalipun. Kini beliau adalah seorang blogger yang penting di negara ini. Untuk menjaga integritynya, beliau memastikan tidak ada pihak yang menggunakan anonymous untuk memberi pandangan dalam blognya. Ini untuk memastikan sesiapa yang hendak membuat komen memperkenalkan diri mereka kepada pembaca dan bukannya berselindung pada tiada nama itu.

Disiplin itu penting dalam kewartawanan kerana ia akan menentukan seseorang individu itu pergi jauh atau sebaliknya. Umpamanya, jika wartawan itu perlu menyiapkan beritanya dalam tempoh setengah jam, ia perlu berbuat demikian demi memastikan bahan beritanya disiarkan dalam media yang diwakilinya. Tanpa disiplin, individu itu tidak akan dapat menghasilkan berita dalam tempoh yang ditetapkan terutama jika bertugas dalam media elektronik. Minat perlu disokong oleh disiplin yang tinggi untuk berjaya dalam bidang kewartawanan.

TAJUK UTAMA 14 MAC 2007

BERITA HARIAN

7 pesawat PDRM tersadai

Oleh Mohd Azis Ngah

KUALA LUMPUR: Tujuh pesawat – lima Cessna 172 dan dua helikopter pengangkut MI-17- yang dibeli untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tersadai sejak beberapa tahun lalu dipercayai kerana tidak memenuhi piawaian.
Pesawat Cessna buatan Amerika Syarikat itu dikatakan untuk kegunaan sekolah latihan penerbangan PDRM di Ipoh, Perak, manakala helikopter berkenaan pula bagi membantu operasi polis termasuk memantau pergerakan lalu lintas.Difahamkan, semua pesawat itu dibeli dengan menggunakan peruntukan RM24 juta dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RM-8) pada 2003.Bagaimanapun, sumber memberitahu Berita Harian, pesawat Cessna dua tempat duduk itu dan helikopter berkenaan tidak memenuhi piawaian serta menghadapi masalah penyelenggaraan kerana sudah terlalu lama.Semua pesawat Cessna itu kini tersadai di Pangkalan Udara PDRM, Sungai Besi, manakala helikopter pula ditempatkan berhampiran pangkalan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat, Subang.

UTUSAN MALAYSIA

FireFly sedia penerbangan semurah RM9

Oleh Rozaman Ismail

PUTRAJAYA 14 Mac – Rakyat Malaysia kini berpeluang menggunakan perkhidmatan penerbangan komuniti berstruktur tambang murah apabila syarikat baru FireFly memulakan operasinya pada 2 April depan dengan menawarkan tambang semurah RM9 untuk ke beberapa destinasi di Malaysia dan Thailand.
Penerbangan komuniti berkonsepkan tambang murah itu akan dikendalikan oleh FlyFirefly Sdn. Bhd. (FireFly), anak syarikat Malaysia Airlines System (MAS) yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Perkhidmatan FireFly merangkumi empat laluan domestik dan dua laluan antarabangsa iaitu Pulau Pinang-Langkawi, Pulau Pinang-Kota Bharu, Pulau Pinang-Kuala Terengganu, Pulau Pinang-Kuantan dan Pulau Pinang-Phuket serta Pulau Pinang-Koh Samui di Thailand.
Kecuali perkhidmatan MAS antara Pulau Pinang dan Langkawi, tidak ada perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat penerbangan sedia ada ke laluan yang dicadangkan oleh FireFly.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, kekerapan perkhidmatan bagi laluan domestik FireFly adalah sebanyak 14 kali seminggu manakala laluan antarabangsa pula tujuh kali seminggu.
Beliau berkata, perkhidmatan FireFly dijangka memantapkan lagi perkhidmatan pengangkutan udara negara selain meningkatkan kemasukan pelancong ke destinasi pelancongan di utara Semenanjung selaras dengan usaha kerajaan menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2007.