Tuesday, July 19, 2011

BUDAYA UNIK SUKU MAH MERI

BANTING, 18 Julai (Bernama) -- Perkampungan Budaya Orang Asli Suku Mah Meri di Pulau Carey mampu menyediakan platform bagi meneruskan kesinambungan seni budaya orang Asli yang unik, meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan itu serta menjadi daya tarikan pelancongan di daerah Kuala Langat.

Kompleks seluas 0.7 hektar yang dibina dengan kos sekitar RM3 juta di Kampung Sungai Bumbun itu dirasmikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim Isnin.

Pusat kebudayaan itu, yang dibina pada November 2009 dan siap pada Mac lepas, menempatkan pejabat dan pusat maklumat, pentas terbuka, muzium, ruang demonstrasi membuat kraftangan, galeri warisan sejarah, kafetaria dan gerai jualan kraftangan dan hasil pertanian orang Asli.

Rais berkata menerusi kompleks itu, suku kaum Mah Meri dapat mengenengahkan seni ukiran, anyaman origami selain daripada tarian dan muzik tradisional mereka kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Beliau berkata ukiran kayu Mah Meri seperti topeng dan patung sudah tersohor di peringkat antarabangsa sehingga mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Satu produk ukiran mereka boleh mencecah di antara RM1,500 ke RM2,000 dan dengan jualan seperti ini boleh menjamin untuk mengekalkan sebahagian daripada kemahiran pakar-pakar mereka," katanya.

Dengan adanya kraftangan berkualiti dan unik di pusat itu, beliau berkata ia mampu menarik ketibaan pelancong ke perkampungan itu dengan promosi daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) dan agensi-agensi kerajaan lain.

Rais berkata masyarakat Orang Asli itu juga akan diberi latihan di dalam seni peragaan dan latihan-latihan tertentu bagi menerbitkan muzik, tarian dan taridra (drama yang dipersembahanlam bentuk tarian) berasaskan keunikan budaya mereka.

Pada masa ini, koreografi tarian mereka dihasilkan secara dalaman atau tersendiri dan tidak ada bimbingan teknik terkini dalam persembahan mereka, katanya.

Beliau mempelawa masyarakat orang Asli itu menghantar dua belia mereka ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk dilatih di dalam bidang seni tari dan peragaan.

Pada majlis itu, para hadirin dihiburkan dengan beberapa tarian tradisional seperti 'Jo Oh' dan 'Tarian Topeng.'

Sementara itu, wakil Tok Batin daripada lima perkampungan orang Asli di Pulau Carey, Sidin Anak Bujang dalam ucapannya melahirkan penghargaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mendirikan pusat kebudayaan itu.

Sidin, yang merupakan Tok Batin Kampung Sungai Bumbun, berkata empat lagi perkampungan Orang Asli terletak di di pulau berkenaan iaitu Kampung Sungai Rambai, Kampung Kerpau Laut, Kampung Sungai Kurau dan Kampung Sungai Judah.

Jumlah penduduk bagi kelima-lima kampung ini ialah 1,242 orang dan pekerjaan utama masyarakat di situ ialah sebagai nelayan dan pekebun sawit di samping mengukir, patung dan topeng serta anyaman, katanya.- BERNAMA

No comments: