Friday, July 22, 2011

BENG HOCK BUNUH DIRI

Teoh Beng Hock bukan dibunuh, sebaliknya membunuh diri kerana berasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan ke atasnya oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (S{RM).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz ketika mengumumkan demikian pada sidang media di Parlimen, Khamis, berkata siasatan Suruhanjaya Diraja mendapati pegawai-pegawai SPRM berkenaan tiada niat dan sebab untuk membunuh Teoh.

“Sebaliknya SPRM menyoalsiat mendiang supaya membuat pengakuan sebagai bukti agar dia boleh menjadi saksi bagi kes penyelewengan penggunaan peruntukan yang membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Pakatan Rakyat.

“Fakta membunuh diri ini telah disokong oleh testimoni pakar psikiatri forensik, Profesor Paul Edward Mullen yang telah diambil khidmat oleh Majlis Peguam Malaysia. Prof Mullen mengatakan TBH benar-benar membunuh diri berdasarkan perwatakan yang telah bertukar dari kumpulan berisiko terendah bagi pembunuhan diri kepada kumpulan berisiko tinggi setelah dia melalui sesi soalsiasat yang agresif dan berterusan,” kata Nazri.

Nazri berkata keputusan siasatan Suruhanjaya DiRaja itu yang dipengerusikan oleh Tan Sri Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dicapai secara sebulat suara.

“SPRM memulakan siasatan berikutan mendapat maklumat yang mengatakan seorang Adun Selangor dari Pakatan Rakyat terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan peruntukan demi kepentingan parti politik mereka.

“Teoh sepatutnya menjadi saksi utama bagi SPRM yang menyiasat dakwaan penyelewengan tersebut yang melibatkan seorang Adun Selangor dari parti DAP. Siasatan SPRM telah memberi tekanan kepada TBH untuk membuat pengakuan sebagai bukti,” kata Nazri.

Nazri berkata, kerajaan memberi jaminan akan mengenakan tindakan sewajarnya ke atas tiga orang pegawai penyiasat SPRM yang terbabit dalam kes ini yang didapati telah melanggar prosedur apabila mereka menggunakan taktik soalsiasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar ke atas Teoh.

“Bagi pihak kerajaan, saya melahirkan rasa kesal kepada keluarga mendiang Teoh. Kerajaan turut bersedih dengan kejadian ini dan dengan selesainya siasatan Suruhanjaya Duraja ini, saya berharap semua pihak, termasuk keluarga Teoh dapat menutup episod ini,” katanya.

Buku laporan Suruhanjaya Diraja berkenaan akan dijual kepada orang awam mulai esok. Mereka yang berminat boleh mendapatkannya di ruang legar, bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Presint 3, Putrajaya dari 10 pagi hingga 5 petang.

Ia dijual dalam versi Bahasa Melayu dan Inggeris dengan harga RM45 senaskah.

Sementara itu Nazri kata kerajaan akan terus memastikan keutuhan perundangan negara terus dipelihara, selain usaha membanteras dan memerangi rasuah di semua peringkat dilaksanakan dengan tegas dan telus.

"Kerajaan penuh yakin dan percaya dengan kewibawaan dan integriti SPRM dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini," katanya.

Nazri berkata hasil siasatan Suruhanjaya itu juga mendapati bahawa tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.

Beliau juga meminta semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu ini dan memutarbelitkan fakta yang dilaporkan dalam laporan berkenaan.

"Saya ingin meminta semua pihak menghormati dan menerima hasil Laporan Suruhanjaya Diraja demi menghormati keluarga Teoh.

"Dengan selesainya siasatan oleh suruhanjaya ini, saya amat berharap semua pihak termasuk keluarga Teoh dapat membawa episod ini kepada penutup dengan laporan ini," kataya.

Ditanya sekiranya keluarga Teoh masih tidak berpuas hati dengan laporan siasatan berkenaan, Nazri berkata mereka boleh mengambil sebarang tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

"Ini sebuah negara bebas, kalau ada apa-apa cadangan lagi yang dimahukan, kita boleh pertimbangkan, lagipun (Suruhanjaya Diraja) itu dilaksanakan mengikut permintaan orang ramai," katanya.

Beliau berkata SPRM perlu melaksanakan semua penambahbaikan yang dicadangkan Suruhanjaya Diraja itu di dalam laporan berkenaan supaya masyarakat tidak akan hilang keyakinan terhadap SPRM.

"Kita akan maklum kepada mereka bahawa ini perlu dilaksanakan untuk kebaikan dan nama baik badan bebas ini dan tidak ada sebab mengapa mereka menolak cadangan daripada Suruhanjaya Diraja ini," katanya.

Sementara itu bercakap kepada wartawan di rumahnya di Melaka ibu kepada mendiang Teoh Beng Hock, menolak hasil siasatan dan keputusan Suruhanjaya Diraja bahawa kematian anaknya berpunca daripada bunuh diri.

Teng Huw Hoi, 58, berkata beliau tetap yakin bahawa Teoh tidak membunuh diri atas alasan anaknya itu seorang yang baik.

"Saya seorang ibu, saya tidak boleh terima anak saya mati bunuh diri," katanya.

Teng yang enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak peguam untuk mengeluarkan kenyataan.

Kata Teng, beliau dan suaminya Teoh Leong Hwee serta anggota keluarga lain akan ke Kuala Lumpur pada petang ini untuk menemui peguam mereka.

Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat prosiding Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang didedahkan kepada umum pada Khamis.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.<

Sementara itu, Karpal Singh, peguam bagi keluarga Teoh, berkata beliau mempertimbangkan untuk mencabar keputusan suruhanjaya diraja itu di mahkamah.

"Memandangkan keluarga ini tidak menerima keputusan suruhanjaya diraja bahawa anak lelaki mereka membunuh diri, satu daripada pilihan yang mereka ada ialah untuk membawa perkara ini ke mahkamah," katanya ketika dihubungi.

Beliau mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan keputusan berkenaan.- 21/7/2011. (AGENDADAILY).

No comments: