Thursday, March 15, 2007

TAJUK UTAMA 14 MAC 2007

BERITA HARIAN

7 pesawat PDRM tersadai

Oleh Mohd Azis Ngah

KUALA LUMPUR: Tujuh pesawat – lima Cessna 172 dan dua helikopter pengangkut MI-17- yang dibeli untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tersadai sejak beberapa tahun lalu dipercayai kerana tidak memenuhi piawaian.
Pesawat Cessna buatan Amerika Syarikat itu dikatakan untuk kegunaan sekolah latihan penerbangan PDRM di Ipoh, Perak, manakala helikopter berkenaan pula bagi membantu operasi polis termasuk memantau pergerakan lalu lintas.Difahamkan, semua pesawat itu dibeli dengan menggunakan peruntukan RM24 juta dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RM-8) pada 2003.Bagaimanapun, sumber memberitahu Berita Harian, pesawat Cessna dua tempat duduk itu dan helikopter berkenaan tidak memenuhi piawaian serta menghadapi masalah penyelenggaraan kerana sudah terlalu lama.Semua pesawat Cessna itu kini tersadai di Pangkalan Udara PDRM, Sungai Besi, manakala helikopter pula ditempatkan berhampiran pangkalan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat, Subang.

UTUSAN MALAYSIA

FireFly sedia penerbangan semurah RM9

Oleh Rozaman Ismail

PUTRAJAYA 14 Mac – Rakyat Malaysia kini berpeluang menggunakan perkhidmatan penerbangan komuniti berstruktur tambang murah apabila syarikat baru FireFly memulakan operasinya pada 2 April depan dengan menawarkan tambang semurah RM9 untuk ke beberapa destinasi di Malaysia dan Thailand.
Penerbangan komuniti berkonsepkan tambang murah itu akan dikendalikan oleh FlyFirefly Sdn. Bhd. (FireFly), anak syarikat Malaysia Airlines System (MAS) yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Perkhidmatan FireFly merangkumi empat laluan domestik dan dua laluan antarabangsa iaitu Pulau Pinang-Langkawi, Pulau Pinang-Kota Bharu, Pulau Pinang-Kuala Terengganu, Pulau Pinang-Kuantan dan Pulau Pinang-Phuket serta Pulau Pinang-Koh Samui di Thailand.
Kecuali perkhidmatan MAS antara Pulau Pinang dan Langkawi, tidak ada perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat penerbangan sedia ada ke laluan yang dicadangkan oleh FireFly.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, kekerapan perkhidmatan bagi laluan domestik FireFly adalah sebanyak 14 kali seminggu manakala laluan antarabangsa pula tujuh kali seminggu.
Beliau berkata, perkhidmatan FireFly dijangka memantapkan lagi perkhidmatan pengangkutan udara negara selain meningkatkan kemasukan pelancong ke destinasi pelancongan di utara Semenanjung selaras dengan usaha kerajaan menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2007.

No comments: