Thursday, January 26, 2012
PENGAKUAN OSMAN ISHAK....
Oleh AIDCNews : Wawancara Osman Ishak (gambar), bapa kepada bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Mingguan Malaysia, 22 Jan menimbulkan satu fenomena baru di internet.
Ramai berpendapat luahan Osman itu merupakan pandangan penyokong ahli akar umbi PKR dalam menilai kredibiliti terkini terhadap Ketua Umum PKR itu.
Mungkin ada ribuan lagi simpatisme Anwar yang yang hanya menilai Ketua Umum PKR itu dari aspek luaran, tetapi tidak mengenalinya dari alam kehidupannya yang sebenarnya.
“Memang betul. Saya bukanlah orang yang rapat sangat dengan Anwar. Saya cuma mengidolakannya dari segi kepimpinannya. Personal life dia ,saya tidak tahu.
“Dan bukan saya seorang, ramai lagi ahli PKR lain yang tak tahu. Ramai orang yang mungkin tersilap persepsi.
“Kata orang, dari segi luaran kita tengok semuanya baik, tapi dari segi dalaman kita tak tahu..”, luahnya ketika ditemui di Shah Alam, 24 Jan.
Ikutilah temu bual AIDC dengan Osman Ishak dalam menyingkap peristiwa-peristiwa di sebalik tabir yang sebelum ini tidak terdedah kepada umum.
AIDC : Sorotan dari Utusan Malaysia tempoh hari, En Osman ada menyentuh berkenaan pergelutan antara bapa dengan anak iaitu Rahimi. Boleh ceritakan lanjut apa berlaku pada 28 Jun 2008 ?
Osman Ishak : Ya, bila Saiful membuat laporan polis petang itu, malam tu…saya tak ingat exactly pukul berapa, tapi malam lah.
Lebih kurang lepas Isyak….Ada kawan-kawan yang dalam PKR dulu yang sedang berada di hotel Shah Alam itu telefon saya, bertanyakan di mana anak (Rahimi) saya.
Saya tanya mengapa. Dia kata, “Ini.. ada laporan Saiful, ada kes sodomi baru.” Jadi, saya pun terkejut. Saya pun panggil dan tanya isteri saya.
Isteri saya kata, “oh dia dah dengar serba sedikit daripada Rahimi”.
Saya terkejut, “mengapa tak cakap dengan saya…” Yalah, saya pun faham, Rahimi pun bukannya terlalu rapat dengan saya. Jadi>, dia banyak bercerita kepada emaknya lah.
Lepas itu, saya tanya di mana Rahimi. Masa itu Rahimi tiada di rumah. Jadi, saya terus panggil Rahimi balik.
Call Rahimi ?
Ya. Call Rahimi, panggil dia balik. Bila dia balik, sampai kat rumah, saya pun tanya dia.
“Ni orang PKR telefon abah, dia tanya pasal Rahimi, apa cerita ni?”
Jadi, di situ dia bercerita panjang…
Sebelum ini, En Osman dah kenal Saiful ?
Saya tidak kenal sangat. Tapi, saya pernah jumpa dia. Pernah, dia datang ke rumah saya untuk mengambil sesuatu daripada Rahimi. Rahimi masa itu cuti…, jadi ada dokumen-dokumen yang dia perlu updatekan. Dia datanglah ke rumah untuk mengambilnya.
Maknanya pernah jumpa.. ?
Pernah jumpa. Saiful dengan isteri saya agak mesra sebab ..isteri saya pernah mengajar di sekolah tempat dia belajar. Dia pun memang panggil isteri saya, auntie.
Dia banyak berborak dan berbual dengan isteri saya.
Masa sekolah rendah atau Menengah ?
Sekolah menengah. Sekolah Menengah Damansara Utama.
Jadi, apabila Rahimi bercerita malam itu, apa reaksi En Osman sama ada percaya atau tidak ?
Saya dari segi cerita Rahimi itu, dengan begitu detail, hati kecil saya memang percaya.
Percaya ?
Memang ada. Apa orang kata, 50 – 50 tapi lebih kepada percaya. Sebab cerita itu nampak realistik. Cerita itu teratur dan realistik.
Kemudian, saya hubungkan juga kes ini dengan beberapa kejadian dua tiga hari sebelum itu, di mana Rahimi pernah pinjam kereta saya, katanya mahu pergi ke mana-mana dan sebelum itu saya ada menerima sms daripadanya yang berbunyi, ‘Abah tolong doakan keselamatan Imi (Rahimi) dan Saiful.’
Jadi, bila dia cerita ini, saya kait lah semua peristiwa itu.
Mulanya, masa dia sms itu, saya sangkakan berkaitan dengan 16 September, rupanya perkara lain.
Jadi, dari segi ceritanya itu memang realistik. Tapi pada masa itu, saya pun terfikir..’oh kalau cerita ini betul, teruklah kena. Macam mana penyokong-penyokong Anwar.. sampai hati Anwar buat lagi perkara begini…’
Jadi, saya memendam rasa. Saya mencari jalan supaya benda itu tidak begitu tersebar…
Masa itu En Osman masih lagi PKR ?
Saya masih lagi PKR.
Siapa orang-orang PKR yang telefon En Osman ?
Ni ha…kawan-kawan saya dalam PKR di Pahang. Yang duduk di Kuala Lumpur tapi aktif dalam PKR Pahang.
Selepas mendengar penjelasan Rahimi, dan selepas saya dah tenang, saya cuba yakinkan Rahimi supaya pergi ke Quality Hotel menemui kumpulan peguam-peguam Anwar. Sebab saya difahamkan, mereka memang menunggu di sana.
Jadi, alasan saya pada masa itu adalah saya kata, ‘kita tak boleh bergantung pada cerita Saiful sahaja, kita tak ada saksi, kemungkinan ada konspirasi’.
Tapi, saya faham.. dia tahu konspirasi ini tak wujud. Dia sendiri memang faham benda itu tak wujud.
Tapi walau apa pun, itulah alasan saya. Dan yang saya tekankan kepadanya adalah tentang 4 orang saksi.
Jadi, saya nasihatkannya.. suruh pergi dan dia pun.. mahu tak mahu pun dia terpaksa bersetuju..
Kemudian, lebih kurang 10 – 20 minit selepas dia pergi…saya call dia. Saya pun ragu-ragu juga sama ada dia pergi atau tidak…
Saya call dia, saya tanya dia, “Di mana sekarang?”
Dia jawab, “Nak pergi jumpa seperti yang abah suruh”. Saya pun lega, sebab dia akur dengan nasihat saya.
En Osman tahu cerita Rahimi kena ‘kurung’ di sana ?
Dia tidak banyak bercerita. Dia tak bercerita semua itu kepada saya. Mungkin dia dah tahu kedudukan saya yang lebih pro Anwar Ibrahim. Jadi, dia tak banyak bercerita dengan saya.
Siapa yang cadangkan Rahimi bekerja dengan Anwar. Adakah dengan pengetahuan En Osman sendiri ?
Seingat sayalah, .. dia mulanya aktif dalam reformasi bersama dengan Tian Chua. Kemudian, seorang lagi yang paling rapat dengan dia pada masa itu ialah anak kepada Ketua Perhubungan PKR sekarang ini..Datuk Fauzi. Saya tak ingat nama anak dia.
Farhan ?
Ha..ya. Rasanya dia yang memberi dorongan dan mungkin juga yang cadangkan anak saya ini untuk bekerja dengan Anwar.
Maknanya bukan En Osman sendiri ?
Bukan saya…bukan saya… Dan saya juga rasa ragu-ragu,.. betul ke Anwar boleh menerima anak saya bekerja dengan dia.
Sehingga satu hari, saya pernah juga bercakap dengan Anwar, saya kata, “Anak saya ni agak degil sikit, boleh ke Datuk Seri.” . Anwar jawab “dia boleh..saya pun degil juga dulu.”…(ketawa)
Memang saya nampak ada perubahan. Anak saya itu lebih komited kerja bila bekerja dengan Anwar. Saya pun gembiralah…
Masa En Osman aktif dengan PKR, Rahimi pula bekerja dengan Anwar, rasa bangga ?
Mestilah. Masa itu semangat saya memang semangat PKR. Anak kita pula bekerja dengan Ketua PKR. Saya pula berpeluang rapat dengan (Anwar). Kita rasa bangga lah.
Apabila Rahimi bercerita pada 28 Jun 2008 itu, tidak menghakis kepercayaan En Osman ?
Pada awal itu, saya rasa juga macam ish.. tak patutlah. Kita terasa lemah lutut. Rasa semacam…lama-kelamaan saya memujuk hati saya, ini konspirasi, ini fitnah dan sebagainya.
Kepercayaan saya, pandangan saya, penghargaan saya terhadap Anwar tidaklah 100 peratus merosot.
Katanya berlaku ketegangan antara En Osman dengan Rahimi…
Pada peringkat awal itu belum.. Kerana dia mengikut apa yang saya kata. Saya suruh dia pergi jumpa, dia pergi jumpa. Kemudian, dia bekerja semula dengan Datuk Seri Anwar sehingga pilihan raya di Permatang Pauh.
Ketegangan timbul bila dia membuat laporan Akuan Bersumpah. Dan sebelum itu pun, walaupun dia ikut cakap saya, sebenarnya sudah nampak tanda-tanda dia menolak Datuk Seri Anwar. Dan saya rasa macam dia tidak lagi komited …
Bila dia buat laporan Akuan Bersumpah berkaitan dengan dia menarik balik Akuan Bersumpah dulu..saya rasa tak puas hati..
Jadi, di situlah saya betul-betul tegang dengan dia.
Marah sebab menganggap Rahimi cuba sabotaj atau buat sesuatu yang tidak baik ke atas Anwar, begitu?
Saya menganggap dia berpaling tadah.
Kedua, saya takut dia sudah diperalatkan oleh pihak lain ataupun sudah dibeli oleh pihak lain.
Ketika itu, ada orang kata dia menerima wang dan sebagainya. Tapi saya tak nampak itu.
Tapi, hati saya memang rasa tak puas hati. Dan pada satu ketika, saya memang seolah-olah menghalau dia dari rumah. Saya rasa betul-betul tak puas hati.
‘Menghalau’ dan dia ikut ?
Dia ikut dan berpindah ke rumah yang lain.
Marah kerana pengakuan bersumpah itu ?
Kerana pengakuan bersumpah itu dan kerana sikap dia dah tolak PKR…tolak Anwar.
Pada pendapat En Osman, kenapa Rahimi berubah yang dia tidak mempercayai Anwar lagi ?
Sebenarnya, pada masa itu saya tidak tahu dia berubah. Tapi kemudian ini, dia ada cerita sesuatu yang menyakinkan saya. Tapi biarlah antara saya dengan dia sahaja simpan cerita itu.
Maksudnya, dia merasakan apa yang dia buat itu betul?
Ya. Pernah isteri saya bercakap dengan isteri Rahimi sendiri.
“Macam mana Rahimi ini”. Dan isteri dia kata, “Tak pa Ma…saya sendiri yakin apa yang Rahimi buat itu betul.”
Itu keyakinan yang diberi oleh pihak isteri dia sendiri masa itu. Dan isteri saya memang berpuas hati.. Cuma saya sahaja yang masih lagi tak berpuas hati.
Jadi, masa itu orang-orang PKR kritik Rahimi..
Bukan sahaja orang PKR pada masa itu, saya sendiri pun…
Saya pun rasa marah..
Maksudnya kerana perjuangan PKR dan Anwar itu menutup segalanya ?
Memang menutup segalanya. Dikira taksub lah. Nak dimasukkan dalam kategori taksub itu.. memang ada lah. Saya mengakulah..
Walaupun Rahimi adalah anak sendiri ?
Ya. Anak sendiri. Sebenarnya, bila dia buat Akuan Bersumpah itu, saya sendiri pergi jumpa Anwar dan saya memohon maaf atas perbuatan anak saya.
Saya pergi berjumpa Anwar dengan Wan Azizah. Kebetulan dia baru balik dari Amerika. Saya tunggu dia di airport dan minta maaf atas apa yang anak saya lakukan.
Saya rasa Rahimi buat sesuatu yang silap, ..tak betul.
Maksudnya ada banyak ‘benda’ lagi di sebaliknya?
Terus-terang saya cakap, antara saya dengan Rahimi pada masa itu, memang kurang komunikasi.
Sebab itu, dia bercakap dengan emaknya, dia kata “dengan abah tak boleh, dia taksub sangat.”
Mungkin dia lebih mengenali Anwar kerana dia berada dalam lingkungan itu ?
Ya, dia dalam inner circle itu. Dia lebih rapat.
Dia ada kata, “Abah tak tahu semua ini.”
Memang betul. Saya bukanlah orang yang rapat sangat dengan Anwar. Saya cuma mengidolakannya dari segi kepimpinannya. Personal life dia ,saya tidak tahu.
Dan bukan saya seorang, ramai lagi ahli PKR lain yang tak tahu. ramai orang yang mungkin tersilap persepsi.
Kata orang, dari segi luaran kita tengok semuanya baik, tapi dari segi dalaman kita tak tahu.
Jadi, bila En Osman mula betul-betul berubah pandangan kepada Anwar ?
Betul-betul berubah…bila timbul isu video seks.
Saya tengok. Memang dalam hati takut nak tengok. Kita manusia ni, kita takut mengetahui keburukan pada perkara yang kita suka..
Jadi, memang rasa ada (takut) tapi sekali tengok sikit, sekali tengok sikit, akhirnya saya rasa, okay kita tengok. Tengok dan kaji betul-betul.
Kita masa itu, mencari…bila orang kata, “Oh ini bukan Anwar..ini bukan bentuk badan.” Itulah kita study balik.
Perut buncit semua itu…
Ha..itulah kita study. Akal saya… saya ni bukanlah orang yang bodoh sangat untuk menilai sesuatu.
Jadi, saya mengkaji dan menilai sendiri. Saya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Sebab itu saya tengok sendiri. Takkan saya nak tanya orang lagi. Benda ini boleh kita tengok sendiri. Ada kat youtube..
Tidak terasa video itu edit ke, duplicate ke..ada terfikir begitu ?
Kalau video itu sekejap-sekejap tu, saya juga ada fikir begitu, maknanya ada sikit sahaja..dua tiga saat…Tapi ini.. kalau dah panjang… saya rasa susah untuk diedit dan susah untuk orang melakonkan tingkah-laku seseorang dalam masa yang agak panjang..bukan saja agak panjang, memang panjang.
Misalnya, kalau cerita Gandhi tu..nak melakonkan watak Gandhi tu memakan masa bertahun-tahun tapi kalau yang ini…
Apabila tengok video itu..Rasa macam mana ?
Rasa malu pun ada..Sejak itu, saya pun mula tengok video-video lain di youtube. Dulu kita tak pernah tengok. Sebelum ini, saya tak pernah tengok. Saya tolak.
Misalnya perbualan dengan siapa tu…dan macam-macamlah. Saya mula tengok.
Dan saya cam suaranya. Suara masa muda…sebab saya memang dah lama mengidolakannya. Jadi, itu yang menimbulkan keraguan.
Saya rasa percentage benda itu betul adalah besar. Ditambah pula dengan video yang lain yang menunjukkan dia ada naik ke tempat berkenaan dengan kawan dia.
Jadi, dari situ saya rasa,..cukup kes ini sudah menyakinkan saya untuk menarik balik sokongan kepada Anwar.
Memang tak boleh dah. Saya rasa tak boleh dah.. bila timbul isu video ini…
Walaupun ada dakwaan perut buncit, rambut tak sama…itu tidak boleh mempengaruhi En Osman ?
Tak ada..kita ada penilaian sendiri.
Kalau kita menengok perut kita sendiri, kita tengok dari sudut lain, kita nampak lain. Tengok dari sudut lain, kita dah nampak lain..dah nampak lebih besar misalnya. Itu bergantung pada keadaan sebenarnya.
Jadi, itu tidak conviencekan saya.
Saya lebih berfikir dari segi logik saya, dari segi akal saya, dari segi pandangan saya. Saya sendiri, kalau orang kata itu bukan, saya pula rasa ya..
Kalau benda yang saya tak nampak, kita boleh bersetuju dengan pendapat orang lain, tapi ini pancaindera kita sendiri yang tengok. Kita yang buat keputusan.
Selepas itu, saya ada tengok dalam youtube. Kalau tak silap.. ceramah dia di Klang. Masa itu dia sempat bercakap dalam 10 minit sebab dihalang oleh polis kerana tak ada permit.
Secara kebetulan, bila dia menurun daripada tangga tu, ada kamera fokus pada kepala dia. Saya pun tengok. Sama dengan…
Dalam video itu..
Ya. Sama dengan dalam video itu…. Jadi, saya panggil isteri saya, saya suruh dia juga tengok…saya kata, tak boleh nak nafikan. Susah saya nak menolak..
Sebab itu, saya tarik diri. Saya rasa, kalau yang ini betul, kemungkinan yang satu lagi mungkin juga betul.
Dan saya juga ada lihat perjalanan di mahkamah. Ada sesuatu yang…
Mencurigakan ?
Ya mencurigakan. Tidak seperti kes yang dulu… Setiap evidence yang keluar itu, ada counter attacknya. Tapi yang ini, nampak macam very smooth.
Mula memikirkan pandangan Rahimi dulu… betul ?
Ya. Cerita Rahimi pun ada menambah…yang dulu tu pun saya rasa ada kebenaran. Saya rasa dengan perjalanan mahkamah yang sebegitu, dengan keadaan Saiful yang sudah bersumpah..sebagai orang Islam kita agak terkesan..
Selepas menonton video itu En Osman tidak lagi sokong Anwar ?
Tak ada. Saya dah tak pergi lagi dengan Anwar.
Kalau dulu, masa kes yang 1998, setiap ada perbicaraan mahkamah saya akan pergi. Yang ini saya tak pergi. Saya tak ada dah. Mula-mula saya ada pergi tapi selepas itu tak ada dah.
Saya mula menjauhkan diri…(26/1/12)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment