Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
JIKA tindak-tanduk terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jakarta dan Manila diambil kira, maka seharusnya tidak ada lagi keraguan kenapa beliau perlu digantikan oleh orang lain sebagai ketua pembangkang.
Penasihat Parti Keadilan Rakat (PKR) itu terus menerus dengan perangai lamanya menyerang negara sendiri di luar negara.
Ternyata sekali dendam kesumat yang terbeku dalam hatinya telah memungkinkan Anwar tergamak ‘menghina’ tanah air sendiri semata-mata untuk meraih simpati rakyat asing.
Apa yang anehnya, Anwar dalam satu wawancara dengan media di Indonesia mendakwa bahawa beliau mendalami al-Quran dan hadis ketika menjadi penghuni di Penjara Sungai Buloh.
Persoalannya, kalau benar Anwar memahami apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis sudah tentulah Anwar tidak bertindak bagaikan ‘hantu raya tidak bertuan’.
Apakah tindakan Anwar bersesuaian dengan apa yang diserukan oleh Islam melalui al-Quran yang mahukan umatnya patuh kepada ulul amri.
Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah An Nisaa’ ayat 59 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
Kalau Anwar mendakwa kononnya beliau mempunyai begitu banyak masa mendalami al-Quran, apakah beliau tidak memahami maksud ayat ini?
Malahan Anwar juga melakukan fitnah kepada kerajaan Malaysia yang diperintah oleh orang Islam apabila mendakwa berlaku keganasan dalam demonstrasi 9 Julai lepas.
Ia termasuk memfitnah polis kononnya bertanggungjawab ke atas kematian seorang penunjuk perasaan dan menahan lebih 1,600 penunjuk perasaan.
Biar pun pihak berkuasa sudah menjelaskan kedudukan sebenar tetapi Anwar tidak menerimanya dan Anwar langsung tidak menjelaskan kepada mereka yang mendengar ceramahnya bahawa demonstrasi yang dianjurkan pada 9 Julai lalu adalah satu perhimpunan haram.
Tidakkah perbuatan mereka yang turut ke jalanan pada tarikh berkenaan bersama-sama dengan Anwar ingkar kepada arahan ulul amri sedangkan Rasulullah SAW bersabda:
“Mendengar dan taat (kepada ketua) adalah menjadi kewajipan ke atas orang-orang Islam dalam apa jua perkara pun sama ada yang disukainya dan yang tidak disukainya selagi ia tidak diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat, maka jika ia diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat maka tidaklah boleh mendengar dan taat”. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Kalau Anwar benar mendalami hadis ketika di penjara, takkanlah Anwar terlepas membaca hadis ini?
Sebagai seorang yang sentiasa menggambarkan dirinya seorang yang bersih dan seorang pejuang demokrasi sebenar, kenapa Anwar tidak mahu mengambil jalan perundingan terhadap sesuatu masalah yang berlaku dengan kerajaan.
Kenapakah Anwar mengambil pendekatan konfrantasi dan demonstrasi serta menghasut rakyat untuk menentang pemerintah yang sah?
Bukankah Anwar begitu bijak berhujah dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan kalau benar beliau mendalami al-Quran sudah pasti jalan perundingan yang dipilih seperti seruan Allah dalam surah Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud:
“Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu, maka bertawakallah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”.
Begitu juga apabila Rasulullah SAW memberi peringatan yang dalam sebuah hadis yang bermaksud: ‘‘Barang siapa yang benci terhadap sesuatu dari tindakan penguasanya maka hendaklah ia bertaubat kerana sesungguhnya orang yang meninggalkan raja (penguasanya) walaupun hanya sejengkal maka matinya seperti mati pada zaman jahiliah”. (Diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dan Muslim).
Oleh itu hakikatnya, hujah Anwar kononnya beliau mendalami al-Quran dan hadis ketika dalam penjara hanyalah hujah semata-mata. Hujah yang diketengahkan itu sekadar untuk memaparkan kepada umat Islam seolah-olah beliau paling suci dan sentiasa menjadi mangsa aniaya kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sepatutnya seperti mana dakwanya di Manila bahawa tuduhan liwat ke atasnya adalah satu konspirasi dan fitnah, kenapakah Anwar tidak menggunakan seluas-luasnya ruang di mahkamah untuk membuktikan beliau tidak bersalah?
Kenapakah dari semasa ke semasa, satu demi satu hujah dikeluarkan oleh para peguamnya bagi menangguh perbicaraan sehingga kini sudah berlanjutan selama tiga tahun?
Tidakkah Anwar fahami melalui hadis-hadis yang didakwa didalaminya bahawa doa orang teraniaya tiada hijab dengan Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Hindarilah doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada antara doanya itu dengan Allah SWT hijab yang mendindingi”.
Seperkara lagi Anwar juga mendakwa demokrasi di Malaysia semakin terhakis tetapi Anwar tidak pula menggambarkan kalau benar dakwaannya mana mungkin pada tahun 2008, pembangkang boleh menang agak cemerlang dalam pilihan raya umum.
Anwar mengatakan di Malaysia demokrasi makin terhakis tetapi beliau sendiri menang dalam pilihan raya dan lebih unik lagi beliau mungkin satu-satunya orang kena tuduh (OKT) dalam satu kes yang serius tidak ditahan pasportnya.
Tindakan tersebut membolehkan Anwar mengeliling dunia biar pun kesnya masih dibicara di mahkamah dan kesempatan itu sebahagian besarnya digunakan oleh Anwar untuk memburuk-burukkan tanah air sendiri.
Oleh itu rakyat tidak harus terpedaya dengan tindakan Anwar yang dari semasa ke semasa semakin merapu dalam usahanya meraih sokongan bagi mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Mungkin selain masalah moral, sikap Anwar yang suka memburuk-burukkan negara di luar negara juga menjadi pertimbangan bagi sesetengah kelompok di dalam pembangkang yang merasakan Anwar tidak lagi layak memimpin pakatan mereka.
Tindakan Anwar itu berbeza dengan ramai pemimpin pembangkang lain yang jarang sekali kita dengar mereka sanggup melakukan apa yang Anwar buat di luar negara.
Justeru adalah wajar jika tindakan Anwar kali ini diperangi habis-habisan kerana ini bukanlah kali pertama Anwar bertindak bagaikan duri dalam daging dan gunting dalam lipatan bagi Malaysia.
Kepada rakyat Malaysia dan umat Islam, nilailah tindakan Anwar itu dengan fikiran waras dan tenang, apakah perbuatannya memburuk-burukkan negara sendiri adalah wajar dan apa yang beliau katakan adalah satu kebenaran.
Dalam soal ini, ingatlah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 204 yang bermaksud:
‘‘Antara manusia ada yang tutur katanya mengenai kehidupan dunia menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya padahal dia adalah orang yang sangat keras permusuhannya (kepadamu)’’.
Semoga kita tidak terus dibelenggu oleh politik kebencian yang ditiupkan oleh Anwar terutamanya di bulan yang suci ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment