Monday, September 8, 2008

GERAKAN UGUT KELUAR BN

KOTA BHARU: Parti Gerakan mengugut akan bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak dilakukan sebarang perubahan atau pembaharuan bagi mengembalikan semula kegemilangan BN.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata Gerakan masih belum menetapkan masa khusus untuk bertindak seperti itu, namun akan berbuat demikian dalam satu tempoh yang dianggap munasabah.

Katanya, pembaharuan yang ingin dilihat dalam BN ialah perubahan sikap dan pendekatan serta semangat musyawarah perlu diwujudkan semula dengan lebih adil di antara parti komponen supaya semua pandangan diambil kira.

"Pendirian Gerakan ialah untuk terus mendesak supaya dilakukan perubahan serta pembaharuan dalam BN. Namun jika selepas ini tidak berhasil, dalam satu tempoh yang munasabah, kami akan mengkaji semula pendirian untuk bersama BN.

"Sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, Gerakan bagaimanapun tidak akan bertindak secara tergesa-gesa untuk keluar daripada BN hanya kerana sikap emosi. Kita akan mengkaji jangka masa selain tengok pada keadaannya.

"Gerakan bukannya sebuah parti yang buta kepada keadaan dan bukan juga sebuah parti pak turut dalam BN," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Kelantan Ke-27, di sini, semalam.

Bulan lalu, dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Bukit Mertajam, Koh memberitahu bahawa tiada cadangan atau hasrat untuk Gerakan meninggalkan BN.

Beliau berkata demikian apabila Najib mengadakan perbincangan dengannya mengenai cadangan perwakilan dari Perak supaya parti itu meninggalkan BN.

Koh berkata, Gerakan berpendirian untuk bersikap telus mengenai pelbagai perkara yang tidak disukainya dan sudah dua kali menyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengenai perkara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap BN dan Umno bertindak tegas terhadap Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail. (6/9/08)

No comments: