Monday, June 30, 2008

UTUSAN TIDAK RACIST

KEPUTUSAN kerajaan pakatan rakyat Pulau Pinang dan Perak memboikot akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan merupakan sesuatu yang biasa. Ia juga terjadi kepada akhbar-akhbar lain sekiranya tidak sesuai dengan cita rasa seseorang atau kumpulan-kumpulan tertentu.

Tetapi alasan yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin Melayu kerajaan pakatan rakyat bagi kedua-dua negeri itu agak luar biasa. Utusan didakwa menggalakkan perkauman. Dengan memboikot akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan orang-orang Melayu negeri Perak khususnya, tidak akan terpengaruh dengan sikap Utusan yang racist.

Persoalannya apakah kerana Utusan memperjuangkan hak-hak Melayu maka ia didakwa racist. Bagaimana pula dengan laman-laman web dan blog- blog yang semakin lantang mempersoal apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu dan Islam.

Tidak mungkin pemimpin-pemimpin Melayu pakatan rakyat tidak membaca laman-laman web serta blog-blog seperti ini. Takkanlah mereka tidak sedikit pun kecil hati.

Sebagai anak jati Perak, lahir di sebuah kampung kecil (tidak jauh dari kawasan Undangan Negeri yang diwakili Menteri Besar) dua tahun selepas Jepun menyerah kalah, pengalaman penulis dengan golongan yang lahir ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sudah tentu banyak perbezaannya.

Begitu juga pengalaman penulis dan orang-orang kampung dengan akhbar keluaran Utusan Melayu. Ketika mula pandai membaca jawi (sekolah Melayu mengajar jawi dan rumi) Utusan Melayu sahajalah merupakan surat khabar yang ada dan dibaca orang budak-budak sekolah Melayu dan orang kampung penulis.

Penulis sendiri tidak pernah melihat akhbar-akhbar bahasa Inggeris. Tidak ada seorang pun orang kampung penulis yang memahami bahasa Inggeris di tahun-tahun 50-an. Setakat yes, no, alright tu adalah. Itupun ditiru dari filem-filem Hollywood yang ditayangkan di balai polis berdekatan kampung.

Selain daripada orang-orang Melayu terdapat dua tiga keluarga Cina yang juga membaca Utusan Melayu di kedai kopi Melayu (satu-satunya). Keluarga Cina ini tidak boleh membaca Cina kerana mereka belajar di sekolah Melayu.

Melalui Utusan Melayu penulis mula mengenali dan memahami politik Malaya di kala umur masih terlalu muda. Utusan juga mengajar penulis tentang politik antarabangsa khususnya masalah Palestin dan Asia Barat.
Penulis masih ingat reaksi kami budak-budak kampung ketika tercetusnya perang Terusan Suez tahun 56. Nama Presiden Nasser, meniti dibibir kami.

Tidak dinafikan Utusan memainkan peranan cukup penting dalam rencana semangat nasionalisme orang-orang Melayu. Malahan tidak kurang pula orang-orang Melayu yang belajar politik melalui akhbar ini.
Kalau hendak dikatakan Utusan menggalakkan perkauman penulis agak sangsi oleh kerana dasar syarikat Utusan dari dahulu hingga sekarang tidak banyak berubah. Takkanlah usaha-usaha Utusan mewujudkan perpaduan dan berjuang untuk hak-hak Melayu dianggap perkauman.

Bagaimana dengan akhbar-akhbar etnik lain yang membuat tuntutan selain daripada memainkan isu sesuatu kaum tertentu. Tidakkah mereka juga boleh dianggap perkauman.

Perjuangan Utusan terhadap orang- orang Melayu adalah satu realiti. Ia diturunkan melalui tulisan, digambarkan melalui lukisan, cerpen dan sajak-sajak. Hakikatnya Utusan melahirkan ramai sasterawan, budayawan juga pejuang kemerdekaan.

Penulis masih ingat setiap hujung bulan ayah akan ke Taiping mengambil gaji (bekerja sebagai buruh jalan enam kaki-jalan negeri). Selain daripada daging kerbau dan lembu (daging tidak dijual di kampung penulis dianggap bahan mewah) ayah akan membawa balik akhbar Utusan Melayu.

Sayang sekali generasi Melayu yang dilahirkan selepas merdeka tidak berpeluang membaca kartun bersiri Utusan Melayu iaitu Dol Keropok dan Wak Tempeh yang cukup menggelikan hati.
Di kala itu radio dianggap bahan mewah dan di kalangan orang Melayu kampung penulis tidak sampai 10 buah rumah yang mempunyai radio. Sesiapa yang tidak ada radio seperti penulis akan ke kedai kopi setiap hari untuk membaca Utusan Melayu. Seringkali terpaksa menunggu sehingga orang dewasa habis membaca. Itulah hubungan erat penulis dengan Utusan Melayu.

Kerajaan pakatan rakyat tidak sepatutnya memboikot akhbar-akhbar keluaran Utusan semata-mata tidak bersetuju dengan pendapat yang disiarkan. Bukankah kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar menjadi asas perjuangan pakatan rakyat.

Kebebasan bersuara bukan bermakna menganggap pendapat kita sahaja yang betul sementara orang lain semuanya salah.

Memboikot akhbar Melayu bermakna juga memboikot bahasa Melayu. Paling malang kalau ia dengan niat menjahanamkan syarikat Melayu dan perbuatan itu berpunca daripada perbezaan politik.
Tetapi usaha-usaha ini pasti akan sia-sia. Pegawai-pegawai kerajaan masih boleh lagi membaca akhbar-akhbar keluaran Utusan dari Internet. Pembaca yang tidak memahami bahasa lain dari Melayu akan terus membaca akhbar-akhbar Melayu termasuk Utusan.

Sebenarnya kalau nak tahu hati budi musuh kita (kalau Utusan dianggap musuh oleh kerajaan pakatan rakyat Perak dan Pulau Pinang) dekatilah mereka. Kalau tidak mana nak tahu apa yang mereka (musuh) lakukan.
Di Amerika Syarikat (AS) ada akhbar-akhbar yang menyokong Parti Demokrat dan tak kurang pula yang menyokong Republikan. Tapi tidak kedengaran pula boikot memboikot akhbar oleh mana-mana parti politik. Jelas sekali kedewasaan mereka berpolitik.

REALITI KETUANAN MELAYU

Oleh MUZAFFAR MOKHTAR

KEBELAKANGAN ini suara- suara sumbang yang mempertikaikan ketuanan Melayu dengan mendakwa bahawa konsep berkenaan bersifat perkauman dan tidak relevan dengan realiti Malaysia yang berbilang kaum semakin lantang kedengaran. Terdapat pula sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan melaga- lagakan konsep ketuanan Melayu dengan ketuanan rakyat.

Sebenarnya dalam konteks politik Malaysia faktor sejarah serta realiti demografik menyebabkan konsep ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat muncul sebagai konsep yang bukan sahaja saling tidak bertentangan malahan ia merupakan sisi yang berbeza bagi satu syiling yang sama, saling lengkap melengkapi.

Bagi Malaysia konsep ketuanan rakyat dalam bidang politik telah mula tertegak semenjak negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris lebih 50 tahun yang lalu. Konsep ketuanan rakyat adalah teras asas bagi mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi pelbagai parti yang berwibawa. Ini kerana dalam sebuah demokrasi rakyatlah yang mempunyai kuasa mutlak melalui undi mereka untuk menentukan parti politik atau gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan.

Melalui konsep ketuanan rakyat aspirasi golongan majoriti dihormati manakala kepentingan sah kaum minoriti dilindungi berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kewujudan ketuanan rakyat tanpa kewujudan ketuanan Melayu di Malaysia bermakna penindasan golongan minoriti terhadap kaum majoriti. Jika ini berlaku maka ia tiada beza dengan apa yang pernah berlaku sebelum tahun 1994 di negara Afrika Selatan iaitu yang dinamakan sistem aparteid.

Dalam membicarakan konsep ketuanan Melayu perkara pertama yang harus diinsafi oleh semua pihak adalah konsep ini tidak sekali-kali membawa konotasi perhubungan submisif yang wujud antara tuan dan hamba sebagaimana yang lazimnya difahami.

Konsep ketuanan Melayu wujud semata-mata hasil manifestasi faktor demografik negara dan kontrak sosial antara kaum yang diijmakkan semasa negara mencapai kemerdekaan.

Ia sebenarnya telah dibayar dengan harga yang cukup mahal oleh orang Melayu apabila mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Tanah Melayu akan selama-lamanya berubah dari negara yang bersifat eka kaum kepada pelbagai kaum. Orang Melayu tidak mempunyai pilihan di dalam soal ini. Sudahlah apabila golongan imigran di bawa masuk ke bumi Tanah Melayu orang Melayu tidak dirundingi, untuk memperoleh kemerdekaan mereka terpaksa pula menerima kerakyatan yang diberikan kepada kaum imigran.
Persepsi bahawa wujud pertembungan di antara ketuanan rakyat dan ketuanan Melayu timbul kerana ketidakprihatinan malahan ketidakpedulian sesetengah pihak terhadap dokumen paling asas negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Sebenarnya kajian yang teliti terhadap dokumen ini akan membawa kita kepada satu kesimpulan yang jelas iaitu konsep ketuanan rakyat (antara lainnya dilambangkan melalui peruntukkan-peruntukkan Perkara 40 (1) & (1A), Perkara 43 (2),(3),(4) & (5), Perkara 46 (1) dan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan).
Ketuanan Melayu adalah konsep- konsep yang sememangnya sudah dimaktubkan oleh undang-undang tertinggi negara.

Semenjak merdeka orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini, hari ini orang Melayu membentuk 65 peratus penduduk Malaysia. Disebabkan faktor ini jawatan Perdana Menteri dan majoriti anggota Kabinet serta ahli-ahli Parlimen semenjak merdeka dipegang oleh orang Melayu.

Selain daripada fakta bahawa orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini asas utama yang mengukuhkan lagi konsep ketuanan Melayu di dalam sistem pemerintahan negara adalah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan yang mewujudkan institusi Yang di- Pertuan Agong selaku Ketua Negara bagi Malaysia.

Mengikut Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Cabang Eksekutif (Perkara 39) di mana selaku Ketua Negara pemerintahan Malaysia dijalankan di atas nama baginda.

Baginda juga adalah salah satu elemen yang membentuk cabang legislatif selain Dewan Negara serta Dewan Rakyat.
Baginda melantik Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja, melantik Perdana Menteri, Kabinet dan anggota pentadbiran persekutuan yang lain, melantik hakim-hakim persekutuan, dan merupakan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Konsep ketuanan Melayu termeterai melalui pemegang jawatan ini kerana Yang
di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-Raja dari kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu yang sedang bertakhta. Hanya Raja-Raja Melayu yang berhak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Asas ini diperkukuhkan lagi melalui peruntukan Perkara 3(1), 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara, agama yang menjadi asas kemelayuan itu sendiri. Mengikut Perkara 160 tiga kriteria utama untuk seseorang itu diktiraf Melayu adalah individu tersebut mestilah seorang penganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu.

Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara tidak pula menjadikan penganutan agama tertentu sebagai syarat pengiktirafan etnik tertentu bagi seseorang individu mahupun memberikan taraf agama rasmi kepada agama anutan individu terbabit.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula menjadikan Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia) sebagai bahasa kebangsaan tunggal negara, peruntukkan ini diperkukuhkan lagi oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Tanggapan banyak pihak bahawa hanya Peruntukan Perkara 153 yang memaktubkan hak-hak istimewa orang Melayu satu-satunya bukti ketuanan Melayu dalam konteks politik adalah tersasar jauh dari realiti yang ada.
Pihak-pihak yang menolak konsep ketuanan Melayu sebenarnya menolak Perlembagaan negara yang sedia ada dan rata-ratanya bersifat perkauman.

Ini kerana penolakan ketuanan Melayu bermakna mereka sebenarnya menolak legitimasi sistem Raja Berperlembagaan yang sedang kita amalkan hari ini.

Mereka menolak kedudukan Islam sebagai agama rasmi tunggal negara, mereka menolak kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta mereka menolak hak-hak keistimewaan orang- orang Melayu sebagai pribumi asal Tanah Melayu.

Sunday, June 29, 2008

MEREKA SEMAKIN BERANI

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pelbagai pihak membantah cadangan supaya semua papan tanda di jalan utama di Pulau Pinang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu.Menurut mereka, cadangan berkenaan lebih bersifat politik perkauman yang sempit dan boleh menyalakan lagi api kemarahan penduduk Melayu di negeri itu.

Seorang budayawan, Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, cadangan itu turut mengundang kontroversi yang tidak diingini di kalangan masyarakat Malaysia.

''Ia cadangan yang tidak relevan dan akan mengundang kontroversi yang melibatkan perpaduan kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Teoh Seang Hooi supaya semua papan tanda di jalan utama Pulau Pinang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu.

Firdaus menambah, penukaran bahasa itu adalah satu kesalahan kerana ia bertentangan dengan peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

''Kenapa perlu kita tukar nama pada papan tanda itu kerana kita sudah mempunyai bahasa rasmi yang patut kita hargai dan popularkan.
''Penukaran bahasa itu akan menyebabkan insentif dan inisiatif untuk memperluaskan bahasa rasmi akan terbantut," jelasnya.

Seorang lagi budayawan, Prof. Dr. Siti Zainun Ismail berkata, rakyat perlu menghormati dan menghayati bersama bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu.

''Jika penukaran nama pada jalan-jalan utama ini dilaksanakan, maka ia adalah tidak wajar kerana meminggirkan bahasa rasmi kita," katanya.

Jelasnya, masyarakat perlu peka dalam soal bahasa kerana negara telah mempunyai bahasa rasmi yang perlu digunakan.

Dalam pada itu, di Pulau Pinang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim menyifatkan cadangan tersebut sebagai sia-sia dan membazirkan wang rakyat.

''Jika alasan yang digunakan bagi memudahkan pelancong khususnya dari China yang ramai berkunjung ke negeri ini, ia adalah satu alasan lemah kerana pelancong Arab juga banyak di sini.
''Jadi mengapa tidak dicadangkan papan tanda tulisan Jawi? Selama ini berapa ramaikah pelancong dari China yang sesat kerana tidak memahami papan tanda bahasa Melayu,'' katanya.
Beliau berkata, cadangan seumpama itu bukan perkara baru malah pernah ditimbulkan semasa tahun 90-an lagi, namun tidak dilaksanakan kerana tidak praktikal.

Malah jelasnya, negara-negara seperti Jepun, Thailand dan Indonesia yang menerima kemasukan ramai pelancong asing juga tidak menggunakan papan tanda pelbagai bahasa.
Sementara itu, ADUN Seberang Jaya, Datuk Ariff Shah Omar Shah berkata, memandangkan bahasa Melayu dipersetujui sebagai bahasa rasmi negara ini, adalah lebih baik jika papan tanda menggunakan hanya satu bahasa.

''Kalau setiap jalan ada papan tanda menggunakan tulisan Mandarin dan Tamil, maka mereka perlu juga masukkan Jawi atau Arab untuk kegunaan pelancong berkenaan.
''Apabila satu papan tanda mempunyai pelbagai bahasa, papan tanda itu akan menjadi berserabut. Sepatutnya mereka memandang ke depan, bukan menoleh ke belakang," katanya.

Sebagai ahli majlis MPSP, ujar Ariff, Seang Hooi sepatutnya memikirkan cadangan lain yang lebih bernas bagi membantu rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang dan harga minyak.

ADUN Permatang Berangan, Shabudin Yahaya pula berkata, cadangan itu adalah tidak logik dan merupakan pembentukan kepada satu sentimen perkauman yang boleh memecahbelahkan kaum di negeri ini.

''Ahli majlis itu tidak perlu membawa usul yang retorik untuk gimik politik semata-mata kerana kalau tiada tulisan Mandarin sekali pun, pelancong China akan tetap masuk ke sini.
''Malah kalau pelancong tidak memahami papan tanda, mereka mempunyai pemandu pelancong untuk memberikan penjelasan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir memberi ingatan kepada ahli Majlis berkenaan supaya tidak menyakiti hati orang Melayu dengan mengemukakan cadangan tersebut.

''Beliau bekas pendidik dan pernah mengajar bahasa Melayu, sepatutnya beliau faham. Saya tidak tahu sama ada cadangan itu dikemukakan untuk semata-mata menyakiti hati orang Melayu," katanya.

TOK ALI BIDAS FORUM MAJLIS PEGUAM

MELAKA 28 Jun - Penganjuran Forum Kontrak Sosial oleh Majlis Peguam hari ini boleh mengundang kemarahan orang Melayu, lebih-lebih lagi ahli panelnya disifatkan tidak layak membincangkan hak dan kedudukan kaum itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan Majlis Peguam itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menekan dan menghina orang Melayu serta agama Islam di negara ini.

''Mereka sudah lupa bahawa orang Melayu di negara ini adalah kumpulan majoriti, dulu selepas negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu sanggup berkongsi kuasa tetapi mereka kena ingat, ia bukan bermakna mereka boleh menghilangkan hak orang Melayu dan semua ini sudah ditulis dalam Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Melaka di sini hari ini.

Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam disertai beberapa ahli panel antaranya Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mavis Puthucheary, Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr. Kua Kia Soong dan peguam, Tommy Thomas serta ahli akademik, Dr. Farish Noor.

Di KOTA BHARU, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan langkah Majlis Peguam menganjurkan forum berhubung ketuanan Melayu sedangkan ahli panelnya terdiri daripada bukan Melayu, sebagai satu perkembangan yang tidak sihat.

"Kontrak sosial berhubung kedudukan dan hak orang Melayu ini fakta sejarah. Kenapa adakan forum untuk membincangkan perkara yang ada hubungkait dengan Melayu tetapi yang dijemput sebagai ahli panelnya terdiri daripada bukan Melayu.

"Fakta sejarah apa yang dibincangkan oleh pihak ini akan menjadi tanda tanya kalau ia berkait dengan ketuanan Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Pendidikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.

Dalam pada itu, Hishamuddin menyifatkan tindakan ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya papan tanda di jalan-jalan utama di Pulau Pinang diletakkan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu sebagai percubaan untuk mendapatkan publisiti murahan.

"Hari ini macam-macam perkara dibangkitkan, sebagai contoh, baju kurung terlalu seksi dan isu anak-anak sakit perut minum susu kotak yang dibekalkan, ia menjadi perbincangan satu dua hari selepas itu senyap.

"Kita mesti terima dan terbuka dengan cadangan itu tetapi mesti realistik dan tidak semestinya diterjemahkan," katanya.

Friday, June 27, 2008

"SAYA BELUM BERCADANG"

KUALA LUMPUR 26 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, belum tiba masa untuk beliau mengumumkan mengenai perkara itu.

"Saya akan buat ketetapan apabila sampai masanya, ada masa lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam ini.

Mengikut peraturan UMNO, calon jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan bahagian UMNO di seluruh negara. - Bernama

Monday, June 23, 2008

KURANGKAN DEFISIT NEGARA

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan mengambil langkah menstruktur semula subsidi minyak bagi mengurangkan defisit negara sebagai persediaan menghadapi risiko tinggi kemelesetan ekonomi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata langkah ini berikutan krisis subprima yang dihadapi Amerika Syarikat sekarang yang diramal mengakibatkan kemelesetan ekonomi, yang dijangka merebak ke seluruh dunia.

"Dengan ini adalah lebih baik kita bersedia dengan kemungkinan ini, dengan mengukuhkan pengurusan fiskal kerajaan demi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal teguh dalam mengharungi cabaran global kelak.

"Jika sistem subsidi tidak distruktur semula, tahap defisit bajet kerajaan akan melambung tinggi lebih 6 peratus tahun ini demi menanggung subsidi yang besar berbanding 3.1 peratus yang disasarkan bagi 2008.

"Tahap defisit tinggi dapat ditampung kerajaan dalam jangka masa pendek namun ia hanya perlu dilaksanakan oleh kerajaan bila negara menghadapi kemelesetan ekonomi," katanya semasa membentangkan usul kenaikan harga petroleum dan barangan.

CADANGAN NAIK GAJI PEGAWAI TINGGI GLC DITOLAK

Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Jun – Kerajaan hari ini menolak cadangan untuk menaikkan gaji pegawai tinggi syarikat milik kerajaan (GLC).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, walaupun cadangan mengenainya telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan, ia bagaimanapun tidak mendapat kelulusan.

“Semua cadangan untuk kenaikan itu dikemukakan kepada Perbendaharaan dan Perbendaharaan telah buat keputusan untuk tidak meluluskan cadangan-cadangan itu,” katanya tanpa mengulas lanjut sebab penolakan tersebut.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas Penstrukturan Semula Subsidi Minyak Kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Angkasapuri di sini hari ini.

Taklimat yang berlangsung lebih tiga jam itu turut dihadiri oleh anggota Dewan Negara BN, anggota Kabinet dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini media melaporkan terdapat cadangan untuk menaikkan gaji pegawai tinggi GLC sehingga sebanyak 100 peratus.

Antara yang dilaporkan terlibat dengan cadangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja yang menyifatkan ia sebagai tidak sensitif dengan keadaan kelembapan ekonomi semasa yang memerlukan rakyat berjimat cermat.

Cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad ketika mempertahankan cadangan itu mengemukakan alasan tindakan tersebut dilakukan selepas pertimbangan secara berhati-hati selain usaha mengekalkan tenaga mahir yang ada dalam GLC.