Sunday, June 1, 2008

MOKHZANI WAJAR LEPASKAN SIC

KUALA LUMPUR 31 Mei - Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said (gambar) hari ini menyertai Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob menggesa Datuk Mokhzani Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai pengerusi Sepang International Circuit (SIC).

Azalina dalam satu kenyataan di sini berkata, beliau terkejut dan kecewa dengan pendirian Mokhzani yang mahu terus menjadi pengerusi SIC apabila semalam Ismail Sabri menggesanya meletakkan jawatan dengan alasan jawatan itu adalah lantikan kerajaan.

"Mokhzani patut tahu yang SIC ialah entiti kerajaan dan beliau patut meletakkan jawatan demi kepentingan sukan itu," kata Azalina yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.

"Kehadiran beliau (Mokhzani) akan menjejaskan sukan itu kerana sokongan kerajaan akan perlu disemak semula," katanya.

Mokhzani yang keluar daripada UMNO pada 21 Mei bagi mengikuti jejak bapanya dan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, menegaskan yang beliau akan terus memegang jawatan itu kerana tiada arahan daripada Malaysia Airports Holdings Berhad atau Kementerian Kewangan meminta beliau meletakkan jawatan.

SIC ialah anak syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad yang dikawal oleh kerajaan menerusi Khazanah Holdings.

"Mokhzani patut bersikap gentleman dengan berpegang kepada prinsip dan meletakkan jawatan dengan penuh bermaruah," kata Azalina. - Bernama

No comments: